“Dia Suka KFC, Nasi Goreng No Pedas,” – Rina Harun Luang Masa Beraya Bersama Bella

Share

Kes penderaan kanak-kanak kurang upaya sindrom down, Bella sememangnya mendapat perhatian ramai. Tidak kira bangsa dan agama, semuanya prihatin dan tidak jemu berkongsi perkembangan kes ini agar tidak dilupakan.

Setelah terbongkarnya keadaan Bella yang berada dalam jagaan Rumah Bonda yang kini telah disita, nasib kanak-kanak malang itu kini semakin baik dalam jagaan rumah kebajikan Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban, Negeri Sembilan.

Terbaharu kemaskini mengenai anak syurga itu, seperti yang dimuat naik oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, keadaan kanak-kanak berusia 13 tahun itu semakin baik. Dia yang berkunjung ke rumah kebajikan tersebut meluangkan masa melawat Bella dan juga penghuni yang lain pada hari raya keempat.

“Hari ini masuk hari keempat kita berhari raya. Saya meraikan hari raya keempat hari ini bersama Bella dan rakan-rakan. Bella manis dan ceria berbaju tema ungu menikmati juadah yang dihidangkan. Saya turut membawa nasi goreng kegemaran Bella yang saya masak sendiri dari rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Akan Gunakan Kuasa Yang Ada…”- Che Puan Besar Khaleeda Prihatin Nasib Bella, Ingin Bantu Tuntut Keadilan

“Selain KFC, Bella memang suka nasi goreng ‘no pedas’, berselera sungguh dia menikmati hidangan-hidangan yang saya bawa. Saya juga membawa nasi impit, lemang, rendang, ayam goreng kek dan kuih muih khas buat Bella dan rakan-rakan,” kongsinya mengenai juadah yang dibawa ketika membuat lawatan.

Ujarnya lagi, “Terima kasih kepada warga kerja pusat pelindungan kanak-kanak ini yang tanpa jemu menjaga dan melindungi kanak-kanak yang ditempatkan di tempat selamat ini setiap hari. Alhamdulillah mereka dijaga dengan baik dan sempurna dari sudut keperluan fizikal dan emosi.”

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas Che Puan Besar Khaleeda, Kini Tunku Mahkota Johor Pula Bersuara Tentang Kes Penderaan Bella

Sekadar informasi mengenai Kes Bella yang mana tertuduh Siti Bainun Ahd Razali ketika ini sedang didakwa di mahkamah. Tunku Mahkota Johor dan isteri, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam bulan lalu telah menyuarakan kekesalan mengenai situasi penderaan yang dialami kanak-kanak malang itu.

Kedua-dua baginda mengikuti rapat kes tersebut dan menghantar peguam sebagai pemerhati kepada kes ini. Dengan adanya sokongan dari Istana, masyarakat menjadi lebih cakna dan tidak membiarkan kes ini sekadar di angin lalu. Kebenaran harus ditegakkan dan mereka yang bersalah harus dihukum.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Kredit foto: Instagram Rina Harun

 

 

Published by
Fiezreen