Siri terbaharu Indonesia, Layangan Putus nampaknya berjaya menarik perhatian masyarakat Malaysia kerana jalan ceritanya yang mengisahkan kisah curang si suami terhadap isteri yang sememangnya menjadi plot cerita ‘kegemaran’ ramai.
Drama 10 episod ini menceritakan tentang Kinan (Putri Marino) dan Aris (Reza Rahadian), pasangan suami isteri berhadapan dengan konflik rumah tangga gara-gara si suami berlaku curang. Apa yang lebih menyakitkan apabila si isteri ditipu dan diperbodohkan oleh suami sehingga banyak menghabiskan masa di luar berbanding bersama keluarga sendiri.
Berikut kami senaraikan antara lima fakta menarik tentang siri viral ini.
1. Diadaptasi daripada sebuah perkongsian viral di media sosial
Untuk pengetahuan korang, drama bersiri ini diadaptasi daripada novel dan cerita ini adalah kisah benar yang berlaku kepada seorang wanita.
Kisah ‘Layangan Putus’ ini pertama kali dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook yang bernama Mommy ASF. Dia menceritakan kisah hidupnya ibarat layangan putus setelah berpisah dengan suami. Hantaran itu mendapat banyak perkongsian dan dibahaskan oleh warganet.
2. Bermula daripada kehidupan rumah tangga yang harmoni sebelum konflik berlaku
Dalam hantaran di Facebook yang dikongsi, pada mulanya kehidupan rumah tangga Mommy ASF dan suaminya berada dalam keadaan harmoni dan boleh dikatakan hampir sempurna. Mereka telah bernikah selama lapan tahun dan mempunyai lima orang anak. Namun, anak kelimanya meninggal dunia sewaktu masih bayi.
3. Ditinggal suami tanpa khabar berita selama 12 hari
Namun, pada suatu pagi tiba-tiba si suami yang dikenali sebagai seorang yang kuat agama bahkan mempunyai saluran YouTube dakwah diketahui berlaku curang dengan seorang pempengaruh media sosial dan telah bernikah secara diam-diam.
Suaminya telah menghilang selama 12 hari dan si isteri pula kebingungan dan berusaha mencarinya. Rupanya selama 12 hari menghilang, si suami mengaku yang dia baharu sahaja pergi berbulan madu bersama isteri kedua.
Selepas mengetahui kecurangan suami, Mommy ASF memilih untuk bercerai dan berjuang untuk menjaga anak-anak mereka sendiri.
4. Siri ‘Layangan Putus’ menggambarkan kisah yang dialami Mommy ASF
Hampir sama dengan kisah yang dikongsi Mommy ASF, siri ‘Layangan Putus’ ini memfokuskan kepada kisah rumah tangga yang mengalami keretakan akibat curang. Mommy ASF menggambarkan bahawa kehidupan rumah tangga yang dijalaninya ibarat layangan.
Sebelum memutuskan untuk bercerai, Mommy ASF tidak berdiam diri. Kecurigaan tersebut digambarkan sama seperti karakter Kinan yang dilakonkan oleh Putri Marino itu. Disebabkan si suami yang bersikap dingin, isterinya berasa aneh dengan perubahan sikap tersebut dan berusaha mencari kebenaran yang dilakukan oleh suami dibelakang mereka.
5. Jalan cerita yang realistik dan mungkin dialami oleh pasangan lain
Penerbit drama ini juga, Manoj Punjabi mengatakan jalan cerita siri ini sangat realistik dan berkaitan dengan kehidupan harian dan mungkin masalah yang dialami Kinan ini juga turut dirasai oleh mereka yang sudah berumah tangga.
Bagi mereka yang mengikuti drama siri ini, tidak dinafikan pastinya korang berasa sakit hati melihat kecurangan si suami lakonan Reza Rahadian kan? Masih berbaki lebih kurang empat episod lagi, korang boleh tonton drama ini di aplikasi WeTv.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: (1)