Difitnah & Dimalukan Adalah Dua Perkataan Berbeza, Peguam Bagi Pendapat Komen Panas Anju

Share

Sehari dua ini, media sosial panas apabila Zarina Anjoulie  membuat teguran secara terbuka untuk artis yang meminta bantuan kerajaan selepas didakwa terjejas sumber pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tanpa menyebut nama mana-mana artis, namun kenyataan ini dilihat sangat pedas sehingga ada laporan polis dibuat terhadapnya. Malah semalam juga terbongkar di mana wujudnya grup telegram yang ahli-ahlinya terdiri dari artis-artis tanahair yang  ada mengeluarkan kenyataan tidak sewajarnya kepada netizen malah ada disebut juga mahu menyerahkan kepada peguam agar satu tindakan saman diambil terhadap Zarina Anjoulie.

Di sebalik kisah panas ini, tentu ramai di antara kita ingin tahu ada asas dakwaan atau tidak untuk mendakwa Zarina Anjoulie berikutan kenyataan pertama dikeluarkannya di IQ miliknya sebelum ini.

REMAJA kongsikan kenyataan seorang peguam Hasif Hassan dari Tetuan Hasif Kumar & Co yang menulis berdasarkan pandangan peribadinya sahaja berkenaan isu ini. Seperti katanya, difitnah dan dimalukan adalah dua asas perkataan berbeza.

Bacalah perkongsiannya. Buat kita lebih faham beza fitnah dan dimalukan.

Kenyataan ZA juga bagi saya adalah satu ‘fair comment’ dan justified (berasas) – Peguam Hasif Hassan

Ada rakan fb meminta saya memberi pandangan mengenai kenyataan pelakon
Zarina Anjoulie (ZA) yang mengkiritik rakan artis yang meminta bantuan kerajaan akibat terjejas sumber pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Soalan beliau kepada saya ialah, adakah kenyataan ZA ini mempunyai unsur fitnah dan boleh disaman?

Bagi menjawab soalan rakan, saya telah mendengar keseluruhan kenyataan beliau di IG.

Kenyataan ZA menjadi viral dan mendapat kecaman rakan artis kerana mempersoalkan tindakan setengah artis yang menayangkan gaya hidup mewah dan pendapatan lumayan di media sosial.

Saya petik sebahagian kenyataan ZA,

‘Aku nak menangis bila ada artis layak nak minta bantuan. Memanglah penggambaran, persembahan dibatalkan tetapi ada gaji beribu bukan puluh-puluh ringgit’.

‘Sebab itu penting bila dapat gaji simpan bukan beli kereta mewah, beg mewah dan sibuk nak flex. Ikut kemampuan’.

Jawapan saya:

~Dua perkataan yang perlu diketahui ialah difitnah dan dimalukan.

Jika saya difitnah, tentu saya malu tetapi jika saya dimalukan, belum tentu saya difitnah.

Saya difitnah apabila kenyataan tersebut tidak benar dan berniat jahat.

Seperti contoh, A membuat hebahan bahawa B seorang yang bankrup dan tidak layak bertanding dalam pilihanraya dan B sebenarnya tidak pernah bankrup. Kenyataan A ini fitnah, berniat jahat dan memalukan B.

Tetapi sekiranya B penah bankrup dan A menghebahkan kepada umum yang B pernah bankrup dan tidak layak bertanding dalam pilihanraya, B dimalukan tetapi tidak difitnah.

~Kenyataan perlu ditujukan secara terus kepada pihak yang difitnah atau walaupun tidak disebut secara nyata dan jelas namun orang ramai mengetahui kepada siapa kenyataan berunsur fitnah dituju.

Kenyataan panas dari Anju buat ramai artis mengecamnya

Sebagai contoh. A mengatakan B seorang yang bankrup dan tidak layak bertanding dalam pilihanraya. Kenyataan fitnah A secara terus kepada B.

A menyatakan seorang ingin bertanding pilihanraya adalah seorang yang bankrup, seorang ketua cawangan dari kampung C. Orang ramai tahu yang kenyataan A merujuk kepada B.

Kenyataan fitnah A dibuat bukan secara terus kepada B tetapi diketahui umum yang A merujuk kepada B.

~Kenyataan berunsur fitnah oleh A kepada B perlu dikongsikan kepada orang ramai.

Kembali kepada kisah ZA di instagram, sekiranya kenyataan beliau dibuat secara umum dan bersandarkan fakta fakta yang benar walaupun ada pihak yang malu tetapi malangnya bagi pendapat saya, kenyataan tersebut adalah bukan fitnah.

Kenyataan ZA juga bagi saya adalah satu ‘fair comment’ dan justified (berasas).

Mungkin saya silap tetapi itu pandangan peribadi saya dan peguam lain, lain pula pandangan mereka.

Sekian.

(boleh dikongsi oleh semua)

Published by
Almaswa Haji Che Ros