Setiap insan pasti memiliki warna kegemaran mereka tersendiri sebagai identiti diri. Malah, apabila terlalu ‘obses’ dengan warna yang disukai sehingga dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki pasti mahu warna yang sama.
Pastinya, warna yang digemari juga dapat melahirkan suatu aura yang positif terutama apabila seseorang memilih rona hijau sebagai warna kesukaannya. Tambahan pula, rona hijau juga warna ketenangan dan ‘sejuk’ sahaja mata apabila dilihat.
ARTIKEL BERKAITAN: Berlari & Pemakanan Seimbang ‘Rahsia’ Sofia Jane Kekal Jelita Dan Sihat
Di Brooklyn, Amerika Syarikat, ada seorang warga emas yang juga artis, telah meraih perhatian ramai apabila dilihat dirinya dari hujung rambut sampailah ke kaki, setiap apa yang gayakan wanita itu adalah berona hijau.
Obsesinya terhadap hijau yang disifatkan sebagai warna dengan elemen positif, warga emas yang dikenali sebagai Elizabeth Sweetheart, hanya memakai pakaian dan barangan berwarna hijau sejak lebih dua dekad lalu.
Bukan setakat apa digayakan yang ada di setiap ‘inci’ tubuh badannya, barang-barang lain di kediaman wanita itu seperti cadar, permaidani, laci pakaian serta pinggan mangkuk menjadi pilihan berwarna hijau.
“Hijau adalah warna yang cukup positif dan melambangkan kegembiraan. Bagi saya, warna ini sentiasa kelihatan segar, walaupun pada hari suram. Saya sememangnya amat meminati warna memandangkan saya merupakan seorang artis.
“Saya menganggap bermain dengan warna dan motif adalah sesuatu yang menyeronokkan. Semakin lama, minat terhadap warna hijau semakin berkembang,” katanya.
Tambah Sweetheart yang kini berusia 82 tahun itu, dia tidak begitu pasti sejak bila kegilaannya terhadap warna hijau bermula. Selain, rona hijau pilihannya juga adalah agak spesifik.
Disebabkan itu, dia mewarnakan sendiri kebanyakan pakaiannya. Dia turut mewarnakan kukunya dengan warna hijau. Sweetheart menggabungkan pewarna kuku biru dan kuning bagi mendapatkan warna hijau terang.
Digelar sebagai ‘Green Lady of Brooklyn’, menariknya, orang awam serta jiran-jiran amat memahami minat wanita itu terhadap warna berkenaan dan akan memberikan barangan berwarna tersebut kepada wanita berkenaan.
“Kami tidak pernah beli barang-barang berwarna hijau ini. Kebanyakan barangan berwarna hijau yang ada di rumah kami ketika ini diberikan oleh orang awam serta jiran-jiran.
“Adakalanya, apabila jiran-jiran terjumpa barangan berwarna hijau di stor, mereka akan hantarnya ke rumah saya. Mereka tahu, saya merupakan penggemar barang berwarna hijau,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Sweetheart berkata biarpun sudah terlalu lama ‘hidup’ dengan warna hijau, namun dia tidak pernah berasa bosan atau terfikir untuk menukar warna kegemarannya itu.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Daily Mail