Ternyata ajal belum menjemput.
Dalam satu kejadian yang tular di media massa petang ini, tular rakaman sebuah kereta remuk di Jalan Sungai Besi apabila dihempap kepingan konkrit pada jam 5.48 petang berhampiran TBS.
Walau bagaimana pun, di sebalik kepingan konkrit itu, dimaklumkan wanita yang berada di dalam kenderaan itu terselamat .
Memetik laporan Harian Metro, tular satu rakaman video menunjukkan mangsa dibantu keluar daripada kenderaannya oleh orang ramai selepas dihempap konkrit berkenaan.
Video berdurasi 27 saat itu turut menunjukkan konkrit sebesar satu meter persegi yang menghempap bumbung kereta mangsa.
Insiden berkenaan disahkan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya.
"Kepingan konkrit pembinaan lebuh raya anggaran satu meter persegi jatuh atas kereta Proton Saga FLX milik mangsa.
"Mangsa cedera di tangan dan (sudah) dibawa ke hospital untuk rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan kesesakan teruk di lokasi dan satu lorong terpaksa ditutup bagi kerja mengalihkan kenderaan.
Katanya, kerja pengalihan dan pembukaan semula lorong mengambil masa selama dua jam.