“Dik, Anak Saya Lapar..” Hantu Susu Bertukar Wajah Hodoh Merayu Minta Susu

Share

Sarah mengusap-usap perutnya yang semakin membesar. Kira-kira sebulan lagi, dia bakal bergelar ibu, benih cintanya bersama suami tercinta, Amirul. Sesekali tendangan bayi dalam perut membuatkan dia semakin teruja, suaminya juga sama.

Sebagai suri rumah, dia hanya duduk di rumah. Menunggu suaminya yang keluar bekerja sebagai pemandu lori. Buat masa ini mereka menyewa sebuah rumah kampung di pinggir kota kerana belum berkemampuan membeli rumah sendiri.

Namun malam itu gempar. Kecoh sekampung apabila Sarah ditemui mati dalam keadaan menggerikan. Rumahnya dimasuki perompak dan ibu malang ini bukan saja dirogol malah dicekik sebelum mati. Akibat mati dicekik, matanya terbonjol keluar. Sewaktu dirinya ditemui oleh suaminya, Sarah sudah disahkan mati, begitu juga anak dalam kandungan.

Ramai tertanya-tanya kenapa sampai begitu kejam membunuh seorang perempuan sarat mengandung. Pelbagai teori kedengaran tetapi polis juga buntu mencari bukti. Kisah benar yang berlaku tahun 90-an di ibu kota ini benar-benar menakutkan kerana sudah ramai yang terserempak dengan wajah menakutkan yang meminta susu untuk anaknya.

Menjelang tiga hari kematiannya, berlaku kejadian aneh. Malam itu kedengaran suara Amirul menjerit sehingga pintunya diketuk bertalu-talu oleh tuan rumah. Dalam ketakutan, kata Amirul, dia ternampak bayangan Sarah datang dalam keadaan menggerikan sambil mengendong bayi di tangan dan penuh berlumuran darah.

Ekoran kejadian itu, Amirul mengambil keputusan berpindah ke rumah bujang kerana katanya, dia seram duduk sendirian. Tambah lagi, hatinya masih sayu mengenang nasib isteri yang mati dalam keadaan menggerikan.

Satu malam, keluarga Tok Penghulu Zahid didatangi seorang perempuan muda. Di tangannya mengendong bayi kecil yang nampak keletihan. Dalam pakaian serba hitam, perempuan itu memberi salam.

Memandangkan rumahnya biasa dikunjungi orang kampung, tiada syak apa di hatinya. Kebetulan isterinya, Mak Mah membuka pintu selepas mendengar salam itu.

Sebaik menjawap salam diberi, perempuan muda itu menyatakan hasrat.

“Kak, saya nak susu sedikit, anak saya sudah tiga hari tak minum,” katanya dengan wajah sayu.

Melihat tubuhnya yang keletihan dan bayi yang tak henti menangis, timbul rasa kasihan di hati Mak Mah. Kebetulan cucunya tinggal bersama, dia pantas memberikan sebotol susu atas dasar kasihan.

Sebaik susu bertukar tangan, pantas suara perempuan berkelubung hitam itu menggilai panjang dan wajahnya bertukar hodoh serta menggerutu. Bayi ditangan juga sudah bertukar menjadi batu nesan. Mak Mah terus pengsan di situ.

Berita ini tular dengan pantasnya. Kecoh sekampung tentang perempuan berkerudung berwajah ngeri dan bayinya bertukar menjadi batu nesan. Sehari selepas itu, rumah Pak Kassim pula didatangi. Masih sama, meminta susu dan selepas mendapat, bertukar hodoh.

Sejak itu, tular kisah hantu susu yang membuatkan segelintir remaja akan berebut-rebut pulang awal ke rumah. Sebelum Maghrib masing-masing sudah lekat di dalam rumah.

Namun Nora antara remaja yang degil dan katanya tak mungkin ada hantu. Sehinggalah senja itu, rumahnya didatangi perempuan berkerudung yang meminta susu untuk anaknya.

“Adik, ada susu tak untuk anak akak,”katanya yang kemudian terus menampakkan wajah hodohnya sambil Nora terus pengsan akibat terlalu takut. Ternyata kisah hantu susu ini terus menjadi bualan dari mulut ke mulut. Ada dua versi di mana katanya kes ini melibatkan seorang ustazah yang sarat mengandung, pandai mengaji namun suaminya kaki judi dan pemabuk. Ada juga versi, anak dalam kandungan di belah untuk tujuan ilmu hitam. Nauzubillahminzalik. Tetapi apa yang pasti kisah hantu susu ini amat popular di awal tahun 90-an dan menjadi bualan.

Jangan lupa saksikan malam ini, Episod 6, Hantu Susu di Suri Ram di Maya Hd dan Astro Prima jam 11.00 malam ini.

Published by
Almaswa Haji Che Ros