Serangan Rusia ke atas Ukraine memaksa ratusan ribu penduduk mencari perlindungan. Ramai yang menuju ke sempadan negara-negara berdekatan demi keselamatan diri.
Dalam suasana yang tidak menentu dan roket tentera Rusia mula mengebom beberapa tempat di Ukraine, semestinya keberadaan warganegara Malaysia yang berada di sana menjadi tanda tanya.
Khabar terbaharu yang telah dikemaskini, sembilan warganegara Malaysia bersama dua tanggungan mereka yang disertai seorang warganegara Singapura telah selamat tiba di Korczowa-Krakovets sebuah bandar kecil terletak di sempadan Ukraine dan Poland pada jam 5.45 pagi (waktu Malaysia). Ketibaan mereka telah disambut oleh wakil kedutaan Malaysia di Poland.
Dalam satu ciapan oleh Menteri Luar Negeri, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, beliau berkata, “Alhamdulillah, konvoi yang memindahkan 9 rakyat Malaysia & 2 tanggungan mereka serta seorang warga Singapura dari Kyiv yang diketuai oleh Kuasa Usaha Sementara @MYEmbKyiv, Cik Fadhilah Daud telah selamat tiba di Korczowa-Krakovets, sempadan Ukraine dengan Poland.
“Konvoi tersebut telah disambut oleh dua pegawai dari Kedutaan Malaysia di Poland @EmbMy. Mereka sedang menuju ke Warsaw pada waktu ini dan dijangka pulang ke Kuala Lumpur dalam masa yang terdekat.”
Dalam laporan Malay Mail, sebelum ini konvoi tersebut yang diketuai oleh Setiausaha Pertama kedutaan Malaysia di Kyiv, Cik Fadhilah Daud telah memulakan perjalanan lebih 782km menggunakan empat kenderaan menuju ke sempadan Poland bagi memastikan keselamatan warganegara Malaysia.
Difahamkan, Fadhilah merupakan pegawai tertinggi kedutaan Malaysia di Kyiv kerana jawatan duta tidak diisi. Sebelum ini 13 warganegara Malaysia telah terlebih dahulu meninggalkan negara tersebut ketika ketegangan di antara Rusia dan Ukraine mula-mula terjadi.
+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
[VIDEO VIRAL] Hobi Camping Bawa Padah! Ular Sepanjang 1.2 Meter Dikeluarkan Dari Mulut Gadis
Menyertai perkhemahan antara hobi disukai ramai anak muda yang sukakan aktiviti lasak. Memanjat gunung atau bukit biasanya memerlukan masa beberapa hari untuk disertai. Bukan saja menguji fizikal, ia turut menguji minda bagaimana untuk mengatasi rintangan jika ada bahaya datang secara tiba-tiba.
Namun hobi lasak ini juga boleh membawa padah jika tidak berhati-hati.
Di Russia, viral satu video menunjukkan sepasukan doktor mengeluarkan seekor ular kecil berukuran 1.2 meter dari mulut seorang gadis yang melakukan aktiviti perkhemahan di hadapan rumahnya.
Dalam video tersebut, kelihatan sepasukan doktor memasukkan sejenis alat sebelum mengeluarkan seekor ular kecil yang tidak pasti masih hidup atau tidak dari tekaknya. Malah sebelum dikeluarkan salah seorang dari team perubatan sempat berkata “kita tengok apa yang ada di tekaknya”.
Ternyata amat mengejutkan dan menggelikan kerana yang dikeluarkan adalah seekor ular, ianya agak panjang dan berwarna putih.
Sebelum pasukan perubatan mengeluarkan ular berkenaan, selepas aktiviti berkhemah itu, gadis ini bertemu doktor kerana merasa ada sesuatu di tekaknya selain rasa tidak sedap badan.
Kementerian Kesihatan Dagestan, satu daerah di Russia mengatakan mereka sedang menyiasat video yang tular di media sosial tersebut.Sementara itu Patimat Abdurashidova, pengarah hospital di Daerah Levashinsky berkata, dia tidak tahu tentang pembedahan yang dilakukan di hospitalnya dan berjanji akan menyiasatnya.
Dalam pada itu anak muda terus dinasihati agar tidak melakukan aktiviti perkhemahan di rumah kerana ular berpotensi memasuki tubuh mereka melalui mulut. Dalam pada itu selepas video itu tular, ada mengatakan ia bukan ular tapi cacing besar atau parasite. Namun melihat kepada besarnya binatang berkenaan, orang ramai mempercayai ianya adalah anak ular.
Saksikan video di bawah
“Tak Payah Mimpi Ala-Ala Kota London”, Jabatan Meteorologi Nafi Malaysia Bakal Dilanda Musim Sejuk
Setiap akhir tahun, boleh dikatakan kebanyakan kawasan di sekitar Pantai Timur akan mengalami hujan yang berpanjangan hingga banjir . Hal ini disebabkan Fasa Monsun Timur Laut telah bermula pada 11 November lalu dan dijangka akan berterusan sehingga Mac 2021
Memang seronok musim sejuk sebab kita di Malaysia memang dah biasa ‘berpeluh’. Semalam viral di media sosial apabila ada ‘info’ yang mengatakan Malaysia bakal dilanda musim sejuk. Terbaru, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam satu kenyataan di laman sosialnya menafikan penularan maklumat cuaca berkaitan musim sejuk seperti Kota London bakal melanda negara pada Februari ini.
Khabarnya, berita palsu ini tersebar di pelbagai platfrom media sosial seperti WhatsApp adalah berita palsu pada 2016 yang diulang siar.
Jelas MET Malaysia, keadaan cuaca sejuk yang dialami di kebanyakan kawasan di Semenanjung terutamanya Pantai Timur dan Patai Barat pada ketika ini, adalah disebabkan cuaca lembap dan mendung yang berterusan dalam tempoh beberapa hari akibat luruan angin sejuk yang melanda negara.
”Keadaan rantau negara yang berawan dan tiada sinaran matahari secara terus untuk tempoh beberapa hari yang lepas turut menyumbang kepada berlakunya keadaan cuaca yang lebih sejuk daripada biasa.
Rata-rata warganet bijak menilai berita palsu atau tidak. Dan di ruangan komen rata-ratanya menjadikan info ini sebagai ‘bahan’ untuk berjenaka.
Met Malaysia turut mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat sahih berkenaan amaran cuaca melalui laman web rasmi dan laman media sosial rasmi MET Malaysia atau melalui talian hotline 1-300-22-1638 dan aplikasi myCuaca.
Tak apa la, yang dah beli baju sejuk tu kita pakai jela kang membazir pulak kan….hiks
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia
Tak Perlu Naik Roket Pun, Sejak Dulu Ulama Sepakat Sifat Bumi Bulat! Sebabnya Ada Tulis Dalam Quran
Isu bumi bulat atau sfera seperti dibahaskan mendatangkan “minat” yang tinggi dalam kalangan masyarakat untuk memperkatakan isu ini. Biarpun dimulakan oleh Sufian Saad dan berbagai kenyataan timbul, isu ini mendapat perhatian dari Mufti Wilayah Persekutuan, Dato Sri Zulkifli Mohamad Al Bakri untuk tampil mengulasnya.
Sangat detail dan begitu berkesan di mana Mufti Wilayah, Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri mengulasnya termasuk menyenaraikan pendapat ulama terdahulu.
Kesimpulannya, ya, ulama telah sepakat. Bumi itu bulat tapi bukan bulat seperti bola sebaliknya sfera. Tak perlu ulama naik roket untuk ke bulan membuat kajian sebaliknya semuanya sudah tertulis di dalam al-Quran. Ternyata kalam Allah yang diturunkan sejak 1400 tahun dahulu ini adalah kalam kebenaran.
Manusia hanya perlu baca, faham dan amalkan.
Baca penerangan dari Mufti Wilayah, Dr Zulkifli Mohamad.
Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada-Nya, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Begitu juga kepada kaum keluarganya, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari Akhirat.
Pertamanya, kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada akhir-akhir ini dihujani dengan isu yang sedang menular dikalangan masyarakat terutamanya disampaikan melalui media-media massa berkenaan isu bumi datar (flat earth). Hasil daripada carian kami menerusi media massa, kami melihat isu ini semakin hari semakin menjadi barah dalam kalangan masyarakat.
Perbahasan ini secara langsung dibincangkan oleh masyarakat awam yang sebahagiannya menyokong dan sebahagiannya pula tidak menyokong berkenaan konsep flat earth ini. Ini membuktikan bahawa manusia adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang terikat dengan keterbatasan. Kefahaman manusia dalam memahami sesuatu perkara seperti alam sekitar adalah berbeza-beza kerana hanya terhad dengan apa yang disahkan oleh pancaindera terutamanya mata kasar. Namun begitu, perkembangan dan evolusi ilmu sains dan teknologi telah banyak membantu manusia dalam memberi penjelasan yang lebih tuntas bagi kehidupan manusia, bahkan ia juga merupakan penyumbang di dalam sumber rujukan agama seperti penetapan hukum ke atas sesuatu perkara
Justeru, Bayan Linnas pada kali ini menjelaskan berkenaan dengan tajuk Polemik Flat Earth: Sisi Pandang Islam. Semoga pencerahan ini dapat meredakan kefahaman kita semua sehingga menemui satu natijah serta titik kebenaran berkenaan hakikat bentuk sebenar bumi.
Kita Beriman, Bumi Adalah Ciptaan Tuhan
Ini merupakan satu perkara yang tidak dapat dinafikan lagi secara badihi (self-evident) bahawa bumi dan seluruh galaksi ini adalah ciptaan Allah SWT. Hal ini berdasarkan banyak nas, antaranya:
Maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”.Surah al-Zumar (38)
Syeikh al-Maraghi berkata: Sebenarnya orang musyrik itu mengakui adanya Tuhan Yang Maha Mengetahui dan Bijaksana, kerana buktinya sangat jelas dan terang. Buktinya, apabila mereka ditanya, “Siapa yang mencipta bumi dan langit,” Dengan spontan mereka menjawab, “Allah yang telah menciptakan.” Sebaliknya mereka tetap menyembah selain daripada Allah SWT dan di sinilah kejahilan serta kedunguan mereka. Padahal mereka memang terkenal bijak dan berfikiran cerdas. Mereka tidak mahu mengikut akal mereka yang sihat tetapi hanya mengikut hawa nafsu mereka.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 12/5898)
Ciptaan Langit dan Bumi Menjadi Tanda Bagi Yang Berilmu
Maksudnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;Surah Ali Imran (190)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Dimaksudkan dengan orang yang berakal ialah mereka yang menggunakan akal fikiran, cekap mengambil manfaat, mengikut petunjuk dan merenungkan segala kebesaran Allah SWT, mengingatkan tentang kebijaksanaan-Nya, rahmat-Nya, keagungan nikmat-Nya dalam segala keadaannya, sama ada ketika dia berdiri, duduk atau berbaring. Kesimpulannya, sepanjang menjalani kehidupan, mereka tidak pernah lupa kepada Allah SWT, malahan mereka sering mengingati Allah SWT dengan hati yang terang dan menyedari sepenuhnya bahawa Allah SWT sentiasa mengawasi dirinya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1056)
Kedua-dua ayat al-Qur’an ini memberi kita satu kefahaman bahawa penciptaan bumi dan seisinya adalah untuk manusia berfikir tentang kekuasaan-Nya, rahmat-Nya dan keagungan-Nya. Bumi bukan hanya wujud secara tiba-tiba tanpa pencipta dan tujuannya.
Bumi Sebagai al-Ardh
Ibn Manzur berkata al-ardh adalah tempat tinggal manusia dalam bentuk feminin yang merupakan kata nama kolektif yang merujuk kepada kelas (Lihat Lisan al-Arab, 7/11). Di dalam al-Qamus al-Muhit, (m. 820) disebut: Al-Ardh adalah feminin , kata nama kolektif yang merujuk kepada kelas atau himpunan yang bukan satu. Justeru, tidak dinamakan ardhah . Perkataan al-Ardh ini memberi makna:
Setiap yang bawah seperti di bawah tapak kaki haiwan.
Ia juga memberi makna perkampungan seperti kita katakan ardhu Nuh iaitu sebuah perkampungan yang terletak di Bahrain. Apabila kita sebut seseorang itu dengan Ibnu Ardhin ia memberi makna orang asing. Begitu juga Ibnu Ardhin , ia memberi maksud tumbuhan seperti bulu yang dimakan.
Kami cenderung untuk berpandangan bahawa kekeliruan golongan penyokong flat earth yang beragama Islam adalah salah faham dalam memaham kalimah al-ardh.
Apabila Allah SWT menyebutkan al-ardh, ianya menunjukkan kepada tanah tempat kita berpijak yang kita lihat di sekeliling kita. Ianya tidak merujuk kepada planet bumi seperti yang difahami oleh mereka. Hal ini juga bertepatan dengan kaedah memahami al-Qur’an seperti yang digariskan oleh Imam Ibn Kathir dalam mukadimah tafsirnya. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, m. 4-5)
Kondisi Bumi Dalam al-Qur’an
Kami dapati, Allah SWT menyebut tentang bumi dengan beberapa sebutan sebagai sifat atau gambaran. Terdapat beberapa perkataan yang digandingkan dengan bumi seperti “kami hamparkan” (Surah al-Hijr: 19),
“hamparan/bentangan (Surah al-Naba’: 6, Surah al-Baqarah: 22, Surah Nuh: 19, Surah al-Nazi’at: 30) dan “dihamparkan”(Surah al-Ghasyiah: 20).
Allah SWT berfirman:Maksudnya: Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya);Surah al-Baqarah (22)
Allah SWT berfirman:Maksudnya: Dan bumi ini Kami bentangkan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya.Surah al-Hijr (19)
Allah SWT berfirman:Maksudnya: Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir).Surah al-Ra’d (3)
Allah SWT berfirman:Maksudnya: Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya), – Ia mengeluarkan dari bumi itu: airnya dan tumbuh-tumbuhannya;Surah al-Nazi’at (30-31)
Allah SWT berfirman: Maksudnya: Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan?Qatadah, al-Suddi dan Sufyan al-Thauri memahaminya dengan maksud menghamparkan.
Justeru, perkataan-perkataan yang difahami sebagai datar, rata dan lain-lain yang semakna dengannya tidak boleh difahami hanya dengan literal semata-mata kerana ia mempunyai maksud yang tersendiri.
Pendapat Ulama’ Tafsir Berkenaan Bulatnya Bumi
Para ulama’ telah bersetuju bahawa sifat bumi adalah bulat. Adapun kebulatannya bukanlah dalam erti kata bulat keseluruhan tetapi boleh jadi bulat yang berbentuk sfera atau bulat seperti sebiji telur. Ini semua boleh dilihat menerusi penemuan moden.
Pendapat Mufti Wilayah Persekutuan
Kami tegaskan di sini bahawa sifat bumi adalah bulat seperti perbahasan di atas. Antara hujah yang menunjukkan kebulatan bumi berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya);
Ini disahkan lagi oleh kenyataan angkasawan negara Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang menyatakan “Bumi berbentuk sfera atau lebih tepat, berbentuk geosfera. Tidak seperti bola tetapi seakan-akan bentuk telur.”[1]
Justeru, kami nyatakan bahawa penafian sifat bulatnya bumi adalah pendapat yang tersilap sementelahan lagi ia bertentangan dengan ijma’ yang tidak boleh dibangkangnya.
Penutup
Alhamdulillah, setelah kami menelaah beberapa kitab dalam masa beberapa hari ini, makanya kami mendapati ulama silam telah lama membahaskan isu ini. Bahkan sebahagian mereka telah membincangkan isu ini lebih dari seribu tahun. Justeru kefahaman kami menunjukkan Islam telah memimpin dunia dari sudut keilmuan dan makrifah alam jauh mendahului mana-mana negara yang hebat di muka bumi hatta empayar Parsi, Rom, Mesir Kuno, Ethopia, India, China dan Greek.
Keterbatasan pancaindera kita membuatkan kita tidak mampu untuk memahami ayat ini hanya dengan merujuk teks atau terjemahan semata-mata tanpa melihat tafsiran para ulama’ dan juga fakta-fakta dari sudut ilmu falak dan astronomi. Apatah lagi berhujah semata-mata dengan apa yang kita lihat di hadapan mata kita yang sudah tentu sangat jelas keterbatasannya.
Marilah sama-sama kita menginsafi untuk meyakini betapa bumi sebagai tempat tinggal manusia hendaklah diiisi dengan acara ibadat, ketaatan dan kepatuhan kepada Allah, pada saat yang sama menjauhkan daripada perdebatan yang boleh membawa pertelingkahan serta perkataan nista sesama sendiri.
Bacaan penuh di sini : BAYAN LINNAS SIRI 166: POLEMIK FLAT EARTH: SISI PANDANG ISLAM