Serangan Rusia ke atas Ukraine memaksa ratusan ribu penduduk mencari perlindungan. Ramai yang menuju ke sempadan negara-negara berdekatan demi keselamatan diri.
Dalam suasana yang tidak menentu dan roket tentera Rusia mula mengebom beberapa tempat di Ukraine, semestinya keberadaan warganegara Malaysia yang berada di sana menjadi tanda tanya.
Khabar terbaharu yang telah dikemaskini, sembilan warganegara Malaysia bersama dua tanggungan mereka yang disertai seorang warganegara Singapura telah selamat tiba di Korczowa-Krakovets sebuah bandar kecil terletak di sempadan Ukraine dan Poland pada jam 5.45 pagi (waktu Malaysia). Ketibaan mereka telah disambut oleh wakil kedutaan Malaysia di Poland.
Dalam satu ciapan oleh Menteri Luar Negeri, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, beliau berkata, “Alhamdulillah, konvoi yang memindahkan 9 rakyat Malaysia & 2 tanggungan mereka serta seorang warga Singapura dari Kyiv yang diketuai oleh Kuasa Usaha Sementara @MYEmbKyiv, Cik Fadhilah Daud telah selamat tiba di Korczowa-Krakovets, sempadan Ukraine dengan Poland.
“Konvoi tersebut telah disambut oleh dua pegawai dari Kedutaan Malaysia di Poland @EmbMy. Mereka sedang menuju ke Warsaw pada waktu ini dan dijangka pulang ke Kuala Lumpur dalam masa yang terdekat.”
Dalam laporan Malay Mail, sebelum ini konvoi tersebut yang diketuai oleh Setiausaha Pertama kedutaan Malaysia di Kyiv, Cik Fadhilah Daud telah memulakan perjalanan lebih 782km menggunakan empat kenderaan menuju ke sempadan Poland bagi memastikan keselamatan warganegara Malaysia.
Difahamkan, Fadhilah merupakan pegawai tertinggi kedutaan Malaysia di Kyiv kerana jawatan duta tidak diisi. Sebelum ini 13 warganegara Malaysia telah terlebih dahulu meninggalkan negara tersebut ketika ketegangan di antara Rusia dan Ukraine mula-mula terjadi.
+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.