Ternyata hanya kerana dilarang keluar bermain dan disuruh menumpu kepada pelajaran, seorang pelajar sekolah di Pandan Indah sanggup mereka cerita dia hampir diculik oleh dua lelaki menaiki van berwarna putih.
Remaja ada menyiarkan kisah ini semalam dan ternyata berita ini tidak benar sama sekali. Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pelajar berkenaan juga telah menarik semula laporan polis yang telah dibuat. Malah katanya tiada dakwaan akan dilakukan terhadap pelajar berkenaan kerana mahu terus menambah tekanan sedia ada dialaminya.
“Tujuan pengadu mereka-reka cerita adalah dia tertekan kerana tidak dibenarkan banyak bermain serta perlu tumpukan kepada pelajaran,” katanya.
Beliau turut menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak cepat tularkan cerita-cerita yang tidak tentu kesahihannya sehingga boleh mengakibatkan kegusaran kepada masyarakat.
Isu pelajar mendakwa diculik bukan baru namun siasatan rapi pihak polis mendapati kebanyakan cerita seperti didakwa adalah tidak benar.
Semalam Remaja menyiarkan kisah seorang pelajar hampir diculik dua lelaki namun berjaya melarikan diri selepas meronta.
Beberapa tahun lalu, kecoh kisah van putih yang aktif menculik kanak-kanak sekolah. Isu ini sememangnya menakutkan ramai ibu bapa malah pelajar juga diajar untuk berkata tidak kepada orang tidak dikenali.
Memandangkan isu ini pernah menjadi viral, pihak polis pernah mengeluarkan kenyataan mereka akan mengambil tindakan jika benar malah menafikan kewujudkan van putih yang sangat misteri ini.
Senyap untuk beberapa ketika, isu van putih kembali lagi apabila Jumaat lepas tular seorang pelajar didakwa hampir menjadi mangsa culik van putih ini dalam satu kejadian di Ampang.
Gambar pelajar ini bertebaran di media sosial dan masa yang sama ibu bapa dinasihati agar berwaspada dengan van putih yang mulai mengganas. Tular juga tangan mangsa berdarah-darah.
Berkaitan isu penculikan Jumaat lepas yang didakwa berlaku, pihak polis sedang menyiasat kes seorang pelajar lelaki tingkatan satu di sebuah sekolah menengah yang mendakwa dirinya cuba diculik oleh dua individu yang menaiki van berwarna putih, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kes itu.
“Walau bagaimanapun, kita belum pasti kesahihan cerita yg diberikan oleh mangsa. Kita masih siasat dan setakat ini tiada saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh membantu siasatan.
“Difahamkan berkaitan luka di tangan mangsa itu…bukan disebabkan cedera masa kejadian cuba diculik, tetapi luka akibat tergesel pada pintu ketika dia di sekolah,” katanya.
Ketika kejadian jam 12 tengahari itu, mangsa sedang menunggu bas di perhentian bas di Taman Pandan Indah, sebelum mangsa didatangi oleh dua suspek yang menaiki sebuah van, mangsa kemudian ditarik masuk ke dalam kenderaan tersebut.
Ketika dalam kenderaan itu, mangsa mendakwa telah ternampak papan tanda Pandan Jaya, kemudian bertindak menggigit tangan suspek.
Rakan suspek yang sedang memandu telah memberhentikan kenderaan itu, lalu membuka pintu. Mangsa kemudian menendang suspek untuk melarikan diri, mangsa telah menaiki sebuah bas pergi ke sekolahnya.
Mangsa telah memaklumkan insiden itu kepada gurunya pada jam 5.30 petang ketika menerima rawatan di Hospital Ampang akibat tangannya cedera kerana terlanggar pintu sekolah, guru berkenaan terus menghubungi ibu bapa mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.