Wanita berusia 40 tahun ini mencipta sejarah apabila dia memecah kemarau Kanada dengan memenangi gelaran Miss Universe pada tahun 2005 setelah negara tersebut memenangi mahkota tersebut kali pertama pada tahun 1981.
Berasal dan dilahirkan pada 1 November 1981 di Rusia, Natalie Glebova membesar di sana sehingga berusia 13 tahun sebelum dia dan keluarganya berhijrah ke Kanada. Selepas tamat pengajian sekolah menengah, Natalie berkerja secara sambilan sebagai seorang peragawati. Dia merupakan graduan dalam bidang Pengurusan & Pemasaran dari Universiti Ryerson.
Pada usia 23 tahun dia menyertai pertandingan Miss Universe Canada 2004 namun hanya berada di kedudukan keempat. Kekalahan ini tidak mematahkan semangatnya, setahun kemudian dia mengambil bahagian lagi dan akhirnya dinobatkan sebagai juara.
Seiring itu, dia mendapat hak untuk mewakili Kanada di pertandingan Miss Universe yang diadakan di Thailand. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Dengan kecantikan, kebijaksanaan dan personaliti yang menarik, Natalie dinobatkan sebagai Miss Universe 2005 mengalahkan 80 peserta lain yang datang dari seluruh dunia
JATUH CINTA
Kenapa penulis menyatakan yang wanita anggun ini jatuh cinta dengan negarta gajah putih ini? Selepas memenangi takhta Miss Universe 2005, dia banyak berulang alik di antara negaranya dan juga Thailand atas faktor kerja. Pada tahun 2006 Natalie telah bertemu cinta dengan pemain tenis profesional Thailand, Paradorn Srichapan dan berkahwin setahun kemudian. Namun jodohnya tidak panjang, pasangan ini bercerai empat tahun kemudian pada tahun 2011.
Natalie pernah mewakli Thailand dalam The Amazing Race Asia pada tahun 2008 dan berjaya menduduki tempat ke-8 dalam pertandingan itu.
Selepas lima tahun bercerai, Natalie berkahwin dengan usahawan Panama dan pengasas ‘Travelbook Inc.’ dan Mister Panamá 2001 Dean Kelly pada 2016. ‘Travelbook’ ialah platform perkongsian perjalanan untuk menemui dan menempah pengalaman. Kedua-duanya adalah pengembara yang gemar dan telah pergi ke lebih 100 negara.
Pasangan ini suka berkongsi pengalaman dengan orang lain dan menggalakkan mereka melihat lebih banyak dunia kerana mereka percaya mengembara adalah cara terbaik untuk berkembang, belajar dan menjadi orang yang lebih berpendidikan. Mereka mempunyai seorang anak perempuan dan kini menetap di Bangkok, Thailand.
BACA JUGA: Gadis Kacukan Pertama Menang Gelaran Miss Thailand, Manita Farmer Pecah Rekod 88 Tahun Pertandingan
Dalam satu temubual bersama Property Guru, Natalie menyatakan kecintaannya kepada Thailand dan mengapa dia memilih untuk menetap di negara itu.
“Negara dan rakyat di sini memberi kami sambutan yang begitu mesra, sukar untuk tidak jatuh cinta dengannya. Saya berasa begitu selesa di Thailand dan orang Thai telah memberi saya nama panggilan tempatan, Fah. Saya sangat gembira dengan keputusan saya untuk menetap di sini, kerana begitu banyak perkara yang indah dan menakjubkan telah berlaku kepada saya sekaligus menjadikan ini tempat yang sangat istimewa di hati saya,” ujarnya.
Gelaran Fah yang diberikan kepadanya oleh orang Thai adalah kerana matanya yang biru seperti warna langit.
+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.