Masjid Linwood serta Masjid Al Noor di Christchurch menjadi saksi kepada kejadian berdarah yang meragut 51 nyawa (angka terkini) pada hari Jumaat mulia.
Menurut laporan media di stuff.co.nz, ahli jawatankuasa Masjid Linwood yang terkesan dengan serangan tembakan rambang itu berharap agar bulan Ramadan ini akan menjadi ‘bulan terapi’ bagi komuniti Islam di kejiranan tersebut.
Imam Abdul Lateef berkata, mereka telah memasang lantai serta karpet baru untuk menyambut kehadiran Ramadan. Begitu juga dengan dinding yang sudah dicat baru. Ini semua bagi menerima kunjungan jemaah yang akan memenuhi ruang legar bagi menunaikan solat sunat Tarawikh.
”Ya, kami masih trauma dan sukar untuk lupakan ‘luka mendalam’ itu. Tapi apabila komuniti di sini semakin kuat dan bersatu, kami boleh mengharapkan antara satu sama lain,” kata beliau.
***
Di Masjid Al Noor Christchurch pula, orang ramai termasuklah yang bukan beragama Islam masih mengunjungi pada setiap hari untuk memberikan penghormatan dan sokongan. Orang ramai kelihatan tak kekok untuk memasuki ke pekarangan masjid yang kini dikawal oleh anggota polis selama 24 jam itu.
Aktiviti keagamaan seperti sesi tutor fardhu Ain, bersolat dan menjemput tetamu bukan Islam menyarungkan tudung sebelum melawat masjid itu berjalan lancar seperti biasa.
Masjid yang menjadi saksi kepada 41 jemaah terkorban seakan menyatukan umat Islam dan pada masa yang sama menarik minat orang luar terhadap Islam.
REMAJA rasakan kita sendiri boleh mengambil contoh bagaimana komuniti Islam di sana mengimarahkan masjid mereka lebih-lebih lagi dengan kehadiran bulan Ramadan ini.
Masjid menjadi tempat mereka berteduh, bergaul dan menuntut ilmu. Mungkin kita sebagai penerus generasi juga seharusnya berbuat sedemikian.