Charissa Chong Su Huey yang berasal dari Subang Jaya, Selangor bukanlah nama baru dalam dunia ratu cantik di Malaysia. Ketika berusia 19 tahun dia telah memenangi gelaran Miss Global International Malaysia dan telah mewakili Malaysia di pentas Miss Globe 2013 dan Miss International 2013.
Setelah hampir tujuh tahun berlalu, dia mencuba nasib sekali lagi sebagai salah seorang finalis Miss Universe Malaysia 2020. Walaupun dia di antara persona yang dikatakan bakal menggondol mahkota tersebut, namun nasib tidak menyebelahinya apabila dia terpaksa berpuas hati merangkul gelaran naib juara.
Kemudian pada 2021 pula, dia menyertai pertandingan Miss World Malaysia. Apabila keputusan diumumkan dia hanya berada dikedudukan ketiga.
Kekalahan yang dilalui tidak sedikitpun memadam semangat dan daya juang yang dimilikinya. kekalahan bukan bererti gagal selamanya. Setahun kemudian dia mempersiapkan dirinya dengan cabaran baharu sebagai salah seorang finalis Miss Grand Malaysia 2022.
Ternyata nasib menyebelahinya apabila dia dinobat sebagai juara dalam majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Sabah International Convention Centre. Dia yang merupakan pemegang Diploma Komunikasi Massa dari INTI International College, Subang Jaya berjaya mengetepikan cabaran enam peserta lain untuk bergelar juara.
Dalam sesi soal jawab, Charissa menerima soalan mengenai penyertaan wanita di dalam bidang ketenteraan. Jawabnya, “Sebagai wanita, kita memiliki pelbagai skil untuk disumbangkan dalam bidang ketenteraan sebagai contoh menjadi barisan hadapan, ketua mahupun pegawai.
“Diberikan peluang sebegitu, kita sebagai wanita Malaysia harus memiliki peluang dan pilihan untuk melakukan keputusan sendiri. Fokus kepada potensi dan katakan tidak kepada diskriminasi gender dan katakan ya kepada inklusiviti gender.”
Pada malam tersebut selain Charissa sebagai juara, wakil Sarawak, Viviana Alfred berada di kedudukan kedua manakala wakil Johor, Angela Quah berada di kedudukan ketiga.
Malaysia mula menghantar wakil ke pertandingan Miss Grand International pada tahun 2013. Setakat ini hanya tiga wakil berjaya bergelar semi-finalis. Ranmeet Jassal pada 2016 berada di kedudukan top 20, Jasabel robert pada 2021 di kedudukan top 10 dan Lishallinny Kanaran pada 2021 mara sebagai peserta top 20.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Kredit foto: Instagram Charissa Chong