Memang cukup membanggakan apabila anak Malaysia disenarai pendek dalam 10 kedudukan terbaik untuk memenangi hadiah US$1 juta sempena Global Teacher Prize 2020. Guru Bahasa Inggeris dari Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah, Pahang itu telah dipilih dari lebih 12’000 pencalonan dari lebih 140 negara di seluruh dunia. Anugerah ini merupakan program pengiktirafan guru yang dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Dalam satu kenyataan menerusi laman sesawang globalteacherprize.org. Setelah menamatkan ijazah sarjana muda pada tahun 2011, jejaka ini berharap dapat berkhidmat di sekolah bandar elit dengan kemudahan dan persekitaran terbaik di mana dia dapat menerapkan idea pendidikannya dan memulakan kerjaya yang hebat.
Namun tidak seperti apa yang diinginkan, Cikgu Samuel ditempatkan di sekolah rendah desa untuk anak-anak orang Asli yang mana pada hari pertamanya, seorang guru lain mengatakan kepadanya, “Samuel, kamu tidak perlu banyak melakukan apa-apa perubahan, mereka hanyalah anak orang asli”.
Tidak endah dengan kata-kata itu, sebaliknya Cikgu Samuel menjalin hubungan dengan pelajar orang Asli dan menerapkan budaya serta memimpin untuk melihat potensi mereka. Namun, dia juga mendapati bahawa mereka tidak memiliki peluang yang sama jika hendak dibandingkan dengan sekolah bandar dek kekurangan kemudahan.
Oleh itu, dia menubuhkan projek mengumpul dana untuk membuat kelas bahasa Inggeris abad ke-21 yang lengkap dengan peralatan canggih seperti tablet dan komputer. Hasil usaha itu, kini kanak-anak Orang Asli menggunakan teknologi dan merasai pembelajaran bahasa Inggeris setaraf dengan sekolah bandar.
Selain itu dia juga telah melancarkan projek-projek lain untuk mempercepat pembelajaran bahasa Inggeris muridnya, termasuklah projek pertukaran e-mel di mana anak-anak muridnya boleh mempraktikkan komunikasi dalam bahasa Inggeris dengan sukarelawan di seluruh Malaysia dan luar negara.
Majlis pengumuman pemenang tahun ini akan dilangsungkan secara virtual pada 3 Disember 2020 dan akan diacarakan dari Muzium Sejarah Semulajadi, London oleh Stephen Fry yang merupakan seorang pelawak, pengacara, pelakon dan penulis.
Sumber: Bernama & globalteacherprize.org