Semoga segala usaha tersebut dipermudahkan?
Jika kita mengikuti media sosial, banyak ungkapan seperti yang di atas ini dapat kita baca. Adakah ungkapan tersebut betul dari segi penggunaan bahasa yang baku?
Persoalannya ialah mengapakah kita membiasakan diri kita dengan mengungkapkan sesuatu perkara dengan bahasa yang salah?
Jika maksud yang hendak kita sampaikan itu dengan menggunakan bahasa yang betul, kita telah melakukan dua perkara yang baik ibarat sambil menyelam minum air. Sambil kita berdoa, kita memartabatkan penggunaan bahasa Melayu.
Oleh yang demikian, ayat tersebut sepatutnya diungkapkan seperti yang berikut:
“Saya berdoa semoga segala usaha tersebut dipermudah..”
Mengapakah ayat tersebut tidak gramatis? Ayat tersebut tidak gramatis kerana dua sebab.
Sumber Foto Hiasan: Pexels (Rodnae Production)
Sebab yang pertama ialah ayat “semoga segala usaha dipermudahkan” merupakan ayat tergantung, iaitu ayat yang tidak lengkap.
Ayat yang lengkap memerlukan ayat induk kerana binaan semoga segala usaha tersebut dipermudahkan merupakan ayat kecil atau ayat bawahan yang dikepalai oleh kata hubung.
Sebab yang kedua ialah perkataan dipermudahkan dalam ayat tersebut mempunyai unsur kelewahan bahasa atau maksud yang berlebihan. Perkataan dipermudahtidak memerlukan akhiran -kan kerana mempermudah bermaksud menjadikan sesuatu perkara atau usaha atau perbuatan menjadi lebih mudah.
Oleh itu, gunakanlah perkataan mempermudah sahaja dalam ayat tersebut.
Oleh hal yang demikian, diharapkan semua remaja dapat meningkatkan ilmu tentang bahasa kerana apabila bahasa dikuasai, kita dapat menyampaikan ilmu dengan lebih mudah dan lancar.
Secara tidak langsung, kita dapat menyebarkan penggunaan bahasa yang betul, sekali gus kita dapat memartabatkan bahasa Melayu dengan cara yang betul. Ingatlah bahawa Bahasa Jiwa Bangsa. Hilang bahasa lenyaplah bangsa.
Pada hari ini, kerajaan memerlukan remaja yang berwawasan dan berdaya maju. Oleh itu, satu daripada caranya ialah remaja perlu menjadi duta kecil negara dalam usaha untuk menyebarkan penggunaan bahasa yang betul dan tepat.
Ingatlah bahawa maju bahasa majulah negara.
*
Penyiaran artikel ini merupakan hasil kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Encik Ghalib Bin Yunus.