![Untitled design-70](https://www.remaja.my/wp-content/uploads/2020/11/308172-696x365.jpeg)
Penyanyi dan pelakon terkenal kini, Nabila Razali terpaksa menarik diri daripada membuat persembahan di Semi Final Muzik-Muzik ke 35 (SFMM35) atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.
Dalam laporan Sinar Harian, pengurus Nabila, Ash menerusi satu kenyataan media petang tadi. Atas nasihat doktor, Datuk Syafinaz Selamat selaku guru vokal dan juga Hael Husaini selaku komposer, Nabila tidak akan muncul untuk menyanyikan lagu ‘Peluang Kedua’.
Jelasnya, “Dukacita saya ingin memaklumkan bahawa artis di bawah jagaan saya Nabila Razali tidak dapat membuat persembahan di SFMM35 atas masalah kesihatan yang tidak dapat dielakkan.
“Pelbagai usaha rawatan sudah dilakukan termasuk khidmat doktor pakar namun berehat dalam jangka masa yang panjang adalah jalan terbaik. Ini adalah keputusan yang sangat sukar buat Nabila berikutan peluang untuk menyanyi di pentas SFMM antara yang menjadi impian beliau sebagai penyanyi.
“Dia sudah menjalani latihan vokal sejak September lalu bersama Datuk Syafinaz sebagai persiapan awal. Namun masalah ini dikesan sejak minggu lalu dan menjadi semakin teruk.”
Lagu Peluang Kedua mencapai populariti yang cukup membanggakan di dalam industri muzik tempatan apabila sehingga kini di YouTube sahaja, muzik video lagu tersebut telah dimainkan lebih 23 juta kali oleh para penonton.
![Disebabkan Faktor Kesihatan, Nabila Razali Tarik Diri Dari Sertai Semi Final Muzik-Muzik.](https://www.remaja.my/wp-content/uploads/2020/11/Screenshot-2020-11-20-at-8.08.33-PM-1024x658.png)
Tinjaun Remaja ke Instagram Nabila pula mendapat dia memuat naik satu hantaran dengan kapsyen “My Heart Is Broken”.
Apa-pun, kami di editorial Remaja mendoakan agar Nabila sempat sembuh seperti sedia kala. Buat masa ini pihak pengurusan Nabila, masih lagi mencari pengganti yang sesuai untuk menyanyikan lagu tersebut di SFMM35 yang dijangka berlangsung malam Ahad nanti.
Tahun lalu, Nabila ada menyertai team Remaja dan Media Hiburan dalam kerja amal menceriakan kanak-kanak di PPUM.
Apa Maksud DARURAT? Ini 15 Perkara Anak Muda Kena Tahu Tentang Situasi Genting Politik Negara
![](https://www.remaja.my/wp-content/uploads/2020/10/293056.jpeg)
Hari ini diadakan mesyuarat khas melibatkan barisan Menteri kabinet. Walau sudah selesai tengahari tadi namun kesemua Menteri yang menghadiri mesyuarat ini mengunci mulut apa yang diperbincangkan.
Ura-ura usul tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri mulai timbul sejak beberapa minggu ini dan kemuncaknya Tan Sri Muhyiddin dipanggil ke Istana Negara untuk bertemu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Di sebalik itu timbul cakap-cakap mengenai darurat politik. Apa yang dimaksudkan dengan darurat yang perlu anak muda tahu.
![Apa Maksud DARURAT? Ini 15 Perkara Anak Muda Kena Tahu Tentang Situasi Genting Politik Negara](https://www.remaja.my/wp-content/uploads/2020/10/293055.jpeg)
Pakar Perlembagaan Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkongsi 15 perkara mengenai darurat yang perlu kita tahu.
Apakah maksud darurat?
Jawapan:
Darurat maksudnya suatu keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa.
Pengisytiharan darurat adalah suatu pemasyhuran yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong melalui suatu pewartaan bahawa keadaan tersebut telah wujud atau hampir berlaku.
Soalan 2: Apakah kesan pengisytiharan darurat?
Jawapan:
Kesan umum pengisytiharan darurat ialah, Perlembagaan digantung dan pentadbiran negara adalah ditentukan oleh pihak eksekutif.
Tentera juga boleh mengambil alih teraju dalam hal berkaitan keselamatan sekiranya keadaan memerlukan, lebih-lebih lagi apabila darurat diisytiharakan kerana berlakunya ancaman kepada keselamatan negara.
Parlimen masih boleh bersidang sekiranya tidak dibubarkan.
Ketika proklamasi darurat berkuat kuasa, kuasa eksekutif Persekutuan adalah juga meliputi semua perkara dalam kuasa perundangan Negeri dan memberi arahan kepada kerajaan negeri atau mana-mana pegawai atau pihak berkuasa Negeri. (Perkara 150(4)).
Kesan lain, dari segi pentadbiran dan perundangan dibincangkan dalam jawapan kepada soalan seterusnya.
Soalan 3: Adakah pengisytiharan darurat dibenarkan oleh Perlembagaan?
Jawapan:
Ya. Perlembagaan membenarkan pengisytiharan darurat melalui Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 150 adalah satu daripada tiga peruntukan yang berada di bawah Bahagian XI Perlembagaan Persekutuan, iaitu Bahagian berkaitan Kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversif, Keganasan Terancang, Dan Perbuatan Dan Jenayah Yang Memudaratkan Orang Awam Dan Kuasa Darurat.
Bahagian XI ini membenarkan undang-undang bagi tujuan pencegahan dibuat, termasuklah tahanan pencegahan bagi tujuan menangani keadaan darurat.
Soalan 4: Apakah yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong membuat pengisytiharan darurat?
Jawapan:
Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat di bawah Per 150(1) Perlembagaan Persekutuan jika darurat besar kepada keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya (TELAH) wujud.
Di bawah Perkara 150(2), Yang di-Pertuan Agong juga boleh membuat proklamasi darurat sekiranya baginda berpuas hati ancaman darurat besar, atas sebab keselamatan negara, atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam HAMPIR BENAR berlaku.
Tiga asas atau alasan boleh digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi membuat pengisytiharan darurat, iaitu, ancaman ke atas :
i. Keselamatan negara; atau
ii. Kehidupan ekonomi; atau
iii. Ketenteraman awam
Soalan 5: Bilakah dan di manakah darurat boleh diisytiharkan?
Jawapan:
Darurat boleh diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada bila-bila masa, sama semasa Parlimen masih ada, sedang bersidang atau pun tidak, atau juga semasa parlimen bubar.
Syarat yang diperlukan ialah, telah dibuktikan elemen yang dinyatakan, iaitu ancaman atau darurat atas keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam telah atau hampir benar berlaku.
Darurat boleh diisytihar atas seluruh Persekutuan atau mana-mana bahagian dalam Persekutuan. Perkara 150(1) dan (2).
Soalan 6: Adakah Yang di-Pertuan Agong membuat pengisytiharan darurat atas kuasanya sendiri atau atas nasihat Perdana Menteri?
Jawapan:
Pengisytiharan darurat ialah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Kuasa prerogatif ringkasnya bermaksud kuasa yang dimiliki oleh institusi beraja dari awal bahkan jauh sebelum gubalan Perlembagaan Persekutuan bagi Tanah Melayu (Malaysia).
Kuasa tersebut kekal dalam milik institusi beraja. Walau bagaimana pun persoalan timbul ialah adakah kuasa prerogatif tersebut dilaksanakan secara budi bicara atau atas nasihat Perdana Menteri?
Perkara 150(1) menyatakan “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian”.
Frasa “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati” atau dalam bahasa Inggeris, “if the Yang di-Pertuan Agong is satisfied” menjadi persoalan, adakah puas hati Yang di-Pertuan Agong seorang diri (as sole judge) atau atas nasihat.
Beberapa keputusan kes telah membuat pernyataan tentang perkara ini.
Kes Stephen Kalong Ningkan (No.2) (tahun 1968) menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat sekiranya baginda berpuas hati.
Barakbah Lord President, dalam keputusan majoriti menyatakan “….In my opinion the Yang di-Pertuan Agong is the sole judge…”
Walaubagaimana pun, keputusan kes Teh Cheng Poh oleh Privy Council pada tahun 1979 menyatakan tindakan Yang di-Pertuan Agong adalah atas nasihat Jemaah Menteri.
Ini adalah kedudukan undang-undang yang disepakati.
Lord Diplock menyatakan:
“Although this, like other powers under the Constitution, is conferred nominally upon the Yang di Pertuan Agong by virtue of his office as the Supreme Head of the Federation and is expressed to exercisable if he is satisfied of a particular matter, his functions are those of a constitutional monarch and except on certain matters that do not concern the instant appeal, he does not exercise any of his functions under the Constitution on his own initiative but is required by Article 40(1) to act in accordance with the advice of the Cabinet.
So when one finds in the Constitution itself or in a Federal law powers conferred upon the Yang di-Pertuan Agong that are expressed to be exercisable if he is of opinion or is satisfied that a particular state of affair exists or that particular action is necessary, the reference to his opinion or satisfaction is in reality a reference to the collective opinion or satisfaction of the members of the Cabinet, or the opinion or satisfaction of a particular Minister to whom the Cabinet have delegated their authority to give advice upon the matter in question”.
Justeru, menerusi keputusan kes Teh Cheng Poh ini, pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong perlu dibuat atas nasihat Perdana Menteri, atau Jemaah Menteri, atau seorang Menteri yang diberikan kuasa oleh Jemaah Menteri.
Soalan 7: Adakah Keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytihar darurat dan membuat Ordinan semasa darurat boleh dipersoalkan (justiciable)?
Jawapan:
Keputusan kes Stephen Kalong Ningkan (No.2) secara nyata Barakbah Lord President, dalam keputusan majoriti menyatakan “….In my opinion the Yang di-Pertuan Agong is the sole judge and once His Majesty is satisfied that a state of emergency exists, it is not for the court to inquire as to whether of not he should have been satisfied”.
Maksudnya, menurut Ketua Hakim Barakbah, mahkamah tidak boleh mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong.
Pandangan majoriti ini disanggah oleh Ong Hock Thye, Hakim Mahkamah Persekutuan, dalam penghakiman sama. Hakim Ong Hock Thye menyatakan pandangan minoriti.
Beliau menyatakan:
“His Majesty is not an autocratic ruler since Article 40(1) of the Federal Constitution provides that “in the exercise of his function under this Constitution or federal law the Yang di-Pertuan Agong shall act in accordance with the advice of the Cabinet…Article 150 specifically provide that the emergency must be one ‘whereby the security or economic life of the Federation or any part thereof is threatened.. If those words of limitation are not meaningless verbiage….Article 150 does not confer on the Cabinet an untrammeled discretion to cause an emergency to be declared at their mere whim and fancy.”
Maksudnya, Yang di-Pertuan Agong bukan memerintah secara autokratik kerana baginda bertindak atas nasihat.
Dalam pelaksanaan kuasa baginda, mahkamah boleh memeriksa keputusan yang dibuat oleh baginda dan juga Jemaah Menteri ketika membuat proklamasi darurat supaya ia terhad kepada keadaan yang disebut, iaitu keselamatan negara dan kehidupan ekonomi.
Perkara 150 tidak memberikan kuasa budi bicara yang tidak teratur.
Keputusan Teh Cheng Poh, seperti yang dipetik di atas adala juga menyatakan tindakan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 boleh disemak oleh mahkamah.
Selepas keputusan kes Teh Cheng Poh seperti yang dipetik di atas, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dengan memasukkan peruntukan yang secara jelas TIDAK membenarkan mahkamah menyemak keputusan Yang di-Pertuan Agong, atau apa-apa tindakan yang dibuat oleh baginda berkenaan kuasa, fungsi dan peranan di bawah Perkara 150.
Hal ini terdapat pada Perkara 150(8) yang menyatakan:
Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan Persekutuan ini –
(a) hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut Fasal (1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan; dan
(b) tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan
(i) sesuatu Proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu perisytiharan yang dibuat dalam Proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1):
(ii) kuat kuasa berterusan Proklamasi itu;
(iii) mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B); atau
(iv) penerusan kuat kuasa mana-mana ordinan itu.
Walaupun begitu, Fasal 8 ini belum diuji di mahkamah.
Soalan 8: Apakah kuasa Yang di-Pertuan Agong berkaitan Pengisytiharan Darurat?
Jawapan:
Kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 mengenai pengisytiharan darurat termasuk kuasa untuk membuat proklamasi yang berlainan atas alasan berlainan atau keadaan berlainan.
Ini bermaksud Yang di-Pertuan Agong boleh membuat beberapa proklamasi darurat pada masa sama atau pada masa berlainan.
Hal ini terdapat dalam Perkara 150(2A).
Soalan 9: Bilakah Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan Darurat?
Jawapan:
Yang di-Pertuan Agong boleh boleh mengisytiharkan dan menguatkuasakan darurat ketika Majlis Parlimen masih ada, sama ada semasa berlaku persidangan atau tidak, atau ketika Parlimen telah dibubarkan.
Soalan 10: Apakah peranan Yang di-Pertuan Agong semasa Darurat?
Jawapan:
Sekiranya proklamasi dibuat semasa Majlis Parlimen tidak bersidang serentak, Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan undang-undang, yang dinamakan Ordinan, sekiranya baginda berpuas hati hal atau keadaan tertentu menyebabkan perlu bagi baginda mengambil tindakan serta merta. Ini disebut dalam Perkara 150(2B).
Maksud “Majlis Parlimen tidak bersidang serentak” boleh difahami dalam fasal (9) Perkara 150, yang memperuntukkan “Majlis-Majlis Parlimen hendaklah dikira sebagai bersidang HANYA jika ahli setiap Majlis itu masing-masingnya berhimpun bersama dan menjalankan urusan Majlis”.
Sekiranya Parlimen telah mula bersidang secara serentak, kuasa Yang di-Pertuan Agong terhenti dan kuasa perundangan dipulangkan kepada Parlimen.
Sekiranya Parlimen telah kembali bersidang secara serentak, semua kuasa membuat undang-undang kembali kepada Parlimen walaupun keadaan darurat masih berlangsung.
Walaubagaimana pun, Parlimen boleh membuat Ordinan untuk memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat undang-undang (keputusan Privy Council dalam kes Teh Cheng Poh).
Soalan 11: Adakah parlimen boleh membuat undang-undang semasa darurat?
Jawapan:
Semasa keadaan darurat ini Parlimen boleh membuat Ordinan jika didapati oleh Parlimen dikehendaki bagi tujuan darurat dan prosedur perundangan boleh diketepikan.
Undang-undang ini adalah sah walaupun ia tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kes En Keok Cheng, Wylie C.J menyatakan, “The true effect of Article 150 is that, subject to certain exceptions set out therein, Parliament has, during an emergency, power to legislate on any subject and to any effect, even if inconsistencies with articles of the Constitution (including the provisions on fundamental liberties) are involved”.
Fasal (2C) Perkara 150 menyatakan “…Parlimen berkuasa membuat undang-undang, tanpa menghiraukan tatacara perundangan atau tatacara lain yang dikehendaku diikuti, atau perkadaran jumlah undi yang dikehendaki diperoleh dalam mana-mana satu Majlis Parlimen”.
Lihat juga Perkara 150(5), yang mana Parlimen boleh membuat undang-undang tanpa persetujuan atau keizinan, atau tanpa perundingan bersama mana-mana pihak sebagaimana disyaratkan oleh undang-undang.
Parlimen tidak boleh membuat Ordinan darurat dalam beberapa perkara tertentu sahaja, iaitu Hukum Syarak (Undang-Undang Islam), adat Melayu atau undang-undang atau adat anak Negeri di Sabah dan Sarawak.
Parlimen juga tidak boleh membuat Ordinan yang tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan dalam perkara berhubungan dengan agama, kewarganegaraan atau bahasa. (Lihat 150(6A)).
Proklamasi darurat dan Ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong semasa darurat hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen apabila keduanya bersidang serentak
.
Soalan 12: Apakah kesan Ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong semasa Darurat?
Jawapan:
Ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong itu adalah berkuat kuasa dan berkesan seolah-olah ia adalah Akta Parlimen.
Ia boleh berkesan sehingga dibatalkan. Setelah Parlimen bersidang, Ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.
Ordinan tersebut boleh diteruskan sekiranya diluluskan dan hendaklah dihentikan sekiranya tidak diluluskan oleh Parlimen.
Sekiranya Ordinan tersebut tidak diluluskan oleh Parlimen, ia tidak memberi kesan ke atas apa jua yang berlaku sebelum itu menurut kuat kuasa Proklamasi darurat atau Ordinan.
Bahkan, ketidaklulusan oleh Parlimen juga tidak menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membuat proklamasi darurat yang lain atau Ordinan yang lain bagi tujuan darurat lain tersebut. (Yang di-Pertuan Agong boleh membuat beberapa proklamasi pada masa sama atau pada masa berbeza, atas sebab yang sama atau atas sebab yang berbeza).
Soalan 13: Bolehkah Yang di-Pertuan Agong membuat Ordinan Perbekalan (Bajet)?
Jawapan:
Melihat kepada kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong, yang mana baginda boleh, sekiranya perlu dan baginda berpuas hati, memasyhurkan apa-apa ordinan semasa dua Majlis (Dewan) Parlimen tiada atau tidak bersidang serentak, maka sekiranya baginda berpuas hati dan perlu bagi memasyhurkan apa-apa perbelanjaan negara, baginda boleh berbuat demikian.
Namun setiap Ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dibentangkan kepada kedua Majlis Parlimen setelah keduanya bersidang serentak.
Ordinan tersebut boleh dirungkaikan oleh resolusi yang dibuat oleh Parlimen. (Lihat Perkara 150(2) dan (3)).
Soalan 14: Bilakah Darurat akan Berakhir dan siapa yang mengumumkan darurat telah berakhir?
Jawapan:
Perkara 150 tidak menyebut secara nyata tentang isu pengungkaian (annulling) proklamasi darurat – bila dan siapa.
Perkara 150(3) menyebut secara tidak langsung, “Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) … hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi…” Frasa yang bergaris ini menunjukkan pengungkaian (annulment) suatu proklamasi dan undang-undang darurat yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong itu boleh dibuat melalui resolusi yang diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen.
Kes The Cheng Poh menyatakan:
“The power to revoke, however, like the power to issue a proclamation of emergency, vests in the Yang di-Pertuan Agong, and the Constitution does not require it to be exercised by any formal instrument. In their Lordships’ view, a proclamation of a new emergency declared to be threatening the security of the Federation as a whole must by necessary implication be intended to operate as a revocation of a previous Proclamation, if one is still in force.”
Soalan 15: Apakah akan berlaku kepada Ordinan yang dibuat semasa darurat apabila darurat berakhir?
Jawapan:
Ordinan yang dibuat bagi tujuan darurat hendaklah terhenti berkuatkuasa setelah tamat tempoh enam bulan dikira dari tarikh Proklamasi Darurat terhenti berkuat kuasa.
Maksudnya Ordinan tersebut boleh berkuat kuasa lagi sehingga habis tempoh enam bulan dari tarikh darurat berakhir. (Lihat Perkara 150(7)).
Surabaya Benarkan Pernikahan Berlainan Agama Tanpa Tukar Kepercayaan
![](https://cdn.remaja.my/2022/06/VHA6djWp-Featured-Image-1-9.jpg)
Isu pernikahan berlainan agama dan sesama jenis sekian lama telah menjadi isu perdebatan sensitif di negara-negara Asia terutama dalam rantau Nusantara ini.
Ini memandangkan faktor agama dan budaya masyarakat di sini tegas melarang kedua-dua jenis pernikahan ini kecuali sekiranya pasangan memeluk agama Islam.
Lalu apabila sepasang suami isteri berlainan agama di Surabaya, Indonesia dilaporkan media seberang telahpun bernikah setelah mereka memperolehi kelulusan permohonan daripada Pengadilan Negeri (PN) Surabaya, seperti dijangka, ramai pihak tampil memberikan pendapat masing-masing terhadap kelulusan yang diberi.
PN Surabaya dalam kenyataan mereka mengakui ini adalah kali pertama ia meluluskan permohonan pernikahan rakyat di sana yang berlainan agama. Pegawai Am PN Surabaya, Suparno semalam berkata, keputusan sama pernah diberi sebelum ini tetapi di Jakarta.
“Wajib tidak boleh ditolak,” – Hakim PN Surabaya
Jelasnya, ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan oleh hakim, Imam Supriyadi sebelum memberi kelulusan. Pertama, pernikahan berlainan agama tidak dilarang berdasarkan Undang-Undang Nombor 1 Tahun 1974 di Indonesia. Ia juga ‘lulus’ jika menurut Pasal 35 Huruf A Undang-Undang Nombor 23 Tahun 2006 mengenai Pentadbiran Kependudukan.
*
Untuk pengetahuan, pengantin lelakinya beragama Islam manakala pasangannya beragama Kristian. Mereka menyerahkan permohonan pernikahan agama berbeza kepada PN Surabaya, Jawa Timur pada 13 April 2022 dan ia diluluskan pada 26 April 2022.
Sebelum ini, mereka pernah cuba mengikat tali pernikahan pada bulan Mac namun ia tidak diperakui serta ditolak oleh jabatan Perkhidmatan Penduduk dan Pendaftaran Awam Tempatan di sana. Pada waktu itu, mereka telah diijab kabul secara Islam dan pada hari sama, mereka disatukan juga mengikut kepercayaan agama Kristian.
*
Dalam pada itu, Setiausaha Jenderal Majelis Ulama Indonesia (Sekjen MUI) iaitu Amirsyah Tambunan pada hari ini meminta PN Surabaya untuk membatalkan pernikahan pasangan tersebut.
Katanya, pernikahan berlainan agama adalah bertentangan dengan aturan negara dan ia hanya boleh disahkan jika mengikut salah satu aturan agama dan kepercayaan – sama ada mengikut agama Islam atau Kristian.
“Dengan perkahwinan berbeza agama maka terjadinya pertentangan logik gukun kerana selain berbeza agama, (ia) juga berbeza kepercayaan yang dianuti calon pasangan suami isteri; dalam hal ini harus ditolak dan dibatalkan,” katanya.
Hhm, macam-macam ya zaman sekarang ini.
Sebelum ini, ada saja kisah perkahwinan berlainan agama, budaya dan latar belakang yang telah mencuri perhatian REMAJA.
ARTIKEL BERKAITAN : Wanita Dituduh Murtad , Menteri Agama Respon Isu Kahwini Kapten Hoki India – REMAJA
BACA LAGI : Berkahwin Secara Islam, Anak Gadis Bill Gates Selamat Jadi Isteri Jutawan Muslim – REMAJA
Sumber : CNN Indonesia
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Pengeluar Madu Manuka No.1 New Zealand Buka Store Di Malaysia, 10 Khasiat Konsistan Amalkan!
![](https://cdn.remaja.my/2022/06/Untitled-design-2022-06-24T112424.091.jpg)
Rasanya, fenomena mengamalkan pemakanan madu semakin menjadi-jadi dalam kalangan orang kita. Lebih-lebih lagi sejak ramai yang menyedari kebaikan memakan sekali sarang lebah kerana manfaatnya lebih banyak sekaligus mendapat nikmat yang tidak terhingga saat mengunyah sepah madu itu sendiri.
![Pengeluar Madu Manuka No.1 New Zealand Buka Store Di Malaysia, 10 Khasiat Konsistan Amalkan!](https://cdn.remaja.my/2022/06/madulebah.jpg)
Untuk tujuan perubatan, ramai jelas tentang manfaatnya untuk memulih (sebagai penawar) serta mencantikkan fizikal luar dan dalaman manusia.
Tapi katanya ‘Manuka Honey’ dari New Zealand ini lagi berkhasiat. Betul ke?
Berbeza daripada madu yang lain, ternyata Madu Maduka punya khasiat berlipat kali ganda yang cukup istimewanya, selain harganya cukup membuatkan korang berfikir banyak kali untuk membelinya.
Kenapa Mahal?
Madu Manuka dihasilkan dari nektar bunga pokok Manuka yang tumbuh liar di hutan yang masih lagi subur dan tidak tercemar di New Zealand.
Spesies berbeza tumbuhan itu tumbuh di bahagian lain dunia namun ia tidak menghasilkan bunga diperlukan dalam pembuatan madu, menjadikan Manuka lebih mahal dengan balang kecil dijual sehingga ratusan dolar.
Khasiat Madu Manuka
Madu Manuka popular kerana kandungan dan nutrisi yang boleh menyembuhkan pelbagai penyakit, dari penyakit ringan hingga yang serius. Jika madu biasa mengandungi besi, kalsium, kalium dan beberapa jenis vitamin B, madu Manuka miliki khasiat lain yang bermanfaat.
Kajian yang dijalankan oleh pakar madu lebah dan juga seorang pakar mikrobiologi yang tersohor, Dr. Peter Molan dari Unit Penyelidikan Madu, University of Waikato, New Zealand selama lebih daripada 25 tahun mendapati bahawa Manuka mempunyai kelebihan yang tiada pada madu lain iaitu mengandungi agen antibakteria “UMF”.
10 Khasiat lain Madu
- Mengurangkan Angin Dalam Badan – Jika anda mengalami kembung perut ataupun perut rasa kurang selesa, minumlah segelas air suam bersama madu. Serta-merta anda dapati angin semakin kurang dan rasa selesa.
- Meningkatkan Sistem Imunisasi – Madu asli mengandungi enzim, vitamin dan mineral. Ianya mempunyai kesan anti bakteria luaran serta dalaman sekaligus meningkatkan sistem ketahanan diri.
- Membuang Toksin – Daripada mengambil kopi, cuba amalkan minum air suam yang hangat bersama madu setiap pagi, kalau boleh ketika perut masih kosong. Jangan lupa, hirisan lemon untuk memberikan tenaga sepanjang hari.
- Kulit Makin Cantik – Ini semua orang tahu, amalan minum madu setiap hari baik untuk kulit anda. Apabila banyak toksin disingkirkan melalui perkumuhan, darah dan oksigen dapat berjalan dengan lancar dalam tubuh badan. Malahan juga, menjadikan kulit cantik dan semakin berseri.
- Kulit Wajah Cerah – Madu mempunyai banyak ciri-ciri antibakteria dan anti-kulat. Itu sebabnya, minum campuran madu bersama ais suam hangat membantu menyembuhkan jerawat dan mencegah jerawat. Malahan juga, membantu mendapatkan kulit yang cerah dan sempurna.
- Awet Muda – Khasiat yang terkandung di dalam madu dikatakan dapat menentang radikal bebas. Ia bersifat antipenuaan. Minum madu bersama perahan lemon atau madu bersama air suam. Ia bukan sahaja melawas malah membantu membuang toksin dalam tubuh.
- Mengurangkan Berat Badan – Setiap kali rasa mahu makan benda yang manis, ambil sahaja madu kerana manisnya datang daripada gula secara semulajadi. Untuk pengetahuan anda, madu juga dapat mengurangkan 64% kalori dalam badan.
- Pulihkan Sakit Tekak – Anda batuk dan sakit tekak? Cuba minum madu bersama air suam, ianya akan melegakan rasa gatal pada tekak. Begitu juga jika anda demam, amalan ini dapat mengurangkan panas dalam badan.
- Daya Ingatan – Manfaat madu yang lain adalah madu akan meningkatkan fungsi otak. Cuba untuk mengambil madu secara rutin satu sudu makan sebelum tidur, maka daya ingat anda semakin tajam.
- Bibir Hitam – Bagi anda yang mengalami masalah bibir gelap atau hitam, sapukan madu pada bibir setiap malam. Sebaik sahaja bangun tidur, bersihkan bibir dengan air suam. Lakukan secara konsisten sehingga.
Berita baik untuk penduduk Lembah Klang, Comvita, pengeluar Madu Manuka No. 1 New Zealand yang mempunyai hampir lima dekad pengalaman profesional dalam penternakan lebah, telah membuka kedai pertamanya di Malaysia yang bertapak di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Sejak permulaannya pada tahun 1974, Comvita telah berkembang menjadi sebuah syarikat Madu Manuka terkemuka dan dipercayai ramai di New Zealand yang berteraskan penyelidikan sains dengan budaya warisan yang kukuh.
Sempena pembukaan kedai pertamanya di Pavilion Bukit Jalil, Comvita menjemput orang ramai untuk menyertai acara ‘Journey of Health and Taste’ untuk alami rahsia terbaik di Aotearoa New Zealand.
Jadi apa lagi, jom la cepat-cepat dapatkan makanan sunnah ini. Untuk maklumat lanjut mengenai acara ini, sila layari www.comvita.com.my/JourneyOfHealthAndTaste/.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.