Diskriminasi Wujud? Wanita Bertudung & Kaum India Paling Kurang Dipanggil Temuduga

Share

Hokay, harap bertenang dan jangan panas hati baca kenyataan ini.

Setahun lagi dah nak masuk Wawasan 2020 (jadi ker, tanya jer!) tapi ternyata sikap prejudis dan prasangka masih wujud di kalangan majikan.

Ia berkaitan soal panggilan temuduga dan kajian dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Swasta, Centre For Governance And Political Studies (Cent-GPS) boleh buat kita berfikir lebih mendalam bahawa DISKRIMINASI PEKERJAAN MASIH WUJUD!

Menurut penyelidik Cent-GPS Zaidel Baharuddin,pihak mereka telah menghantar sebanyak 3,289 resume  bermula Disember 2018 hingga Februari 2019 melibatkan tujuh individu yang “tidak wujud”.

Hasil kajian mendapati kaum Cina lebih banyak dipanggil  manakala wanita bertudung dan kaum India paling kurang dipanggil untuk temuduga.

Sesiapa ada pengalaman begini mesti menyirapkan!

Kecoh suatu ketika dahulu pekerja hotel bertudung di negara ini tidak dibenarkan berada di  front desk hotel atas alasan kebanyakan pelancong menginap datang dari luar negara

Sudah tentu rakyat Malaysia juga tidak melupakan peristiwa gadis hotel dipaksa membuka tudung konon hotel bersifat antarabangsa sedangkan bertudung itu dituntut oleh syariat dan agama.

Jelas Zaidel dalam satu kenyataan di Astro Awani, graduan kaum India dan perempuan bertudung antara kumpulan yang paling tertindas dalam proses pengambilan pekerja bagi sektor swasta.

“Adakah diskriminasi etnik wujud? Ya, namun bukan sahaja bagi kaum Melayu, tetapi kumpulan etnik India yang paling ditindas,” kata penyelidik ini lagi.

Bagi membuktikan berlaku penindasan dalam isu ini, Zaidel berkata, Cent-GPS tidak hanya melakukan kajian secara rambang, sebaliknya, pihaknya turut mengambil inisiatif melalui pengalaman ditindas.

Diskriminasi wujud bagi wanita bertudung di mana dari 500 lebih permohonan hanya 50 sahaja dipanggil interview berbanding 70 bagi yang tidak bertudung

Untuk itu, beliau berkata, dua kakitangan Cent-GPS berbangsa Melayu yang terdiri daripada seorang lelaki dan perempuan telah diberi tugasan ‘berlakon’ sebagai tujuh individu lain yang mewakili jantina dan kumpulan kaum berbeza dalam resume mereka.

Bagaimanapun, jelasnya, kelayakan akademik, penguasaan bahasa dan pengalaman bekerja mereka setaraf dari segi kelayakan dalam tuntutan kerjaya.

Hasil kaji selidik Cent-GPS itu, kata Zaidel, mendapati individu yang paling kurang dipanggil temuduga ialah lelaki India diikuti oleh lelaki Melayu, perempuan India dan perempuan Melayu bertudung.

Menurut Zaidel, dalam kajian itu, sebanyak 3,289 resume telah dihantar bermula Disember 2018 hingga Februari 2019.

Nicola Yeoh dipanggil temudaga sebanyak 240 kali dari 547 resume dihantar manakala Nur Sakina pula hanya mendapat 50 panggilan temuduga sekaligus menunjukkan diskriminasi kerja  wujud di negara ini.

Kesemua jumlah resume itu mewakili permohonan tujuh individu berkenaan yang watak mereka dilakonkan oleh dua kakitangan Cent-GPS.

“Setiap seorang (daripada tujuh individu) menghantar sebanyak 547 resume kepada pelbagai syarikat memohon pekerjaan. Kesemua resume berkenaan memaklumkan pemohon mempunyai latar belakang akademik atau lulusan perniagaan,” ujar Zaidel lagi.

Zaidel juga berkata, kajian Cent-GPS mendapati, pemohon kaum Cina paling banyak mendapat panggilan temuduga.

Bukti itu diperoleh berdasarkan pengalaman kakitangan Cent-GPS yang berlakon sebagai seorang individu berbangsa Tionghua bernama ‘Nicola Yeoh’.

Resume ‘Nicola Yeoh’ sangat laku sehingga dia dipanggil menghadiri temuduga sebanyak 240 kali manakala individu lelaki Cina bernama ‘Gabriel Liew’ pula dipanggil 179 kali temuduga daripada 547 permohonan yang dihantar.

Bagi pemohon kaum India bernama ‘Thivakar’, dia perlu memohon sebanyak 28 kali untuk mendapat satu panggilan temuduga manakala ‘Nicola’ hanya perlu memohon dua kali untuk mendapat satu temuduga.

Selain itu, kajian Cent-GPS mendapati pemohon perempuan bertudung juga menerima nasib yang sama.

“Pemakaian hijab memainkan peranan untuk graduan wanita memohon pekerjaan,” tegas Zaidel.

Kajian firma berkenaan mendapati perempuan Melayu bertudung hanya mendapat 50 panggilan temuduga daripada 547 pemohonan berbanding perempuan Melayu tidak bertudung yang mendapat 70 panggilan temuduga.

Antara penemuan lain daripada kajian itu yang turut menarik perhatian adalah faktor kefasihan dalam bahasa Mandarin.

Kelebihan bertutur bahasa Mandarin adalah kejayaan utama dipanggil temuduga. Tapi biar 7 calon fasih cuma calon berbangsa Cina dipanggil

Walaupun sesetengah persepsi menyatakan bahawa kekuatan berbahasa Mandarin yang menjadi kelebihan bagi graduan kaum Cina, namun kesemua tujuh pemohon turut fasih berbahasa Mandarin dan masih gagal mendapat kadar panggilan temuduga yang setaraf dengan pemohon kaum Cina.

Berikutan kajian itu, Cent-GPS menyarankan agar syarikat-syarikat swasta mengambil iktibar untuk mengurangkan jurang peluang pekerjaan antara kaum.

“Pihak swastu perlu sedar bahawa mereka yang rugi dan kehilangan bakat apabila kaum-kaum tertentu diabaikan hanya sebab warna kulit mereka yang berbeza,” tambah Zaidel.

Cent-GPS menegaskan, kerajaan juga tidak patut menetapkan kuota etnik dalam sektor swasta, sebaliknya, menawarkan insentif kepada pihak swasta serta menggunakan kuasa pasaran untuk menegakkan keadilan bagi semua kaum.

 

 

 

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros