Siapa yang tak nak bahagia, setiap bakal pengantin pasti mengimpikan majlis yang sempurna dengan kehadiran orang tersayang bagi meraikan terciptanya sebuah ikatan. Namun tak semua mampu mengecap nikmat itu.
Inilah yang terjadi kepada gadis berusia 27 tahun, Kayley Stead yang berasal dari Swansea, United Kingdom. Dia yang sepatutnya melangsungkan pernikahan dengan tunangnya, telah ditinggalkan pada hari mereka sepatutnya disatukan.
Menurut perkongsiannya dalam sebuah video, “Bridesmaid dan maid of honour mula-mula mengetahui perkara tersebut pada 7 pagi hari kami sepatutnya disatukan. Apabila saya tahu, saya tidak panik. Saya merasakan yang dia akan datang. Kemudian saya menelefon bakal bapa mentua untuk memastikan yang tunang saya selamat.
“Kemudian bakal ayah mentua menelefon saya semula setelah bercakap dengan anaknya. Dia memberitahu yang tunang saya selamat tetapi tidak akan datang ke majlis perkahwinan kami.”
ARTIKEL BERKAITAN: Solekan 5 Majlis Perkahwinan Diraja Brunei Untuk YM Dayang Syafiqah Cukup Elegan, Ini Rahsianya
Dalam video tersebut juga, dapat dilihat dua orang bridesmaid cuba menenangkan keadaan dan tampil ke hadapan altar untuk memberitahu tentang perkara yang terjadi. Mereka juga meminta agar tetamu terus ke dewan makan untuk menikmati jamuan yang telah disediakan dan juga bergembira pada majlis tersebut.
Kayley ternyata patah hati dan tidak percaya perkara sebegitu boleh terjadi kepada dirinya. Namun diam mahu kekal positif dan meneruskan majlis. Gadis hebat ini menguatkan diri dan dengan berani dia tampil ke majlisnya sendirian dan meneruskan agenda kerana semuanya sudah tersedia.
Ujar Kayley lagi, “Bila melihat kembali pada foto dan video yang dirakam, banyak momen manis yang hadir dari kesedihan yang melanda. Pada mulanya saya sangat sedih kerana perkahwinan itu bukan sekadar perkahwinan tetapi masa depan yang kami telah rancang bersama-sama.
“Saya perlu memahami dan menerima situasi itu dalam masa beberapa minit. Keadaan itu sangat-sangat menekan emosi saya. Saya berfikir adakah saya akan bersedih dan pulang ke rumah, atau meneruskan majis dan bersama dengan orang-orang yang saya sayang dan menikmati hari sebaik mungkin.”
Dalam video yang dipaparkan di laman instagramnya, Kayley dilihat meraikan hari tersebut bersama dengan keluarga dan teman baiknya. Tetamu yang hadir juga benar-benar menikmati makanan yang disediakan dan turut menari bersama.
Keyley berkongsi yang kejadian yang terjadi kepada dirinya ini, tidak akan merubah pandangannya tentang perkahwinan. Dia tetap akan berkahwin suatu hari nanti dan tidak mahu kejadian malang ini menjadi penghalang kepada masa hadapannya. Dia bersyukur kisahnya ini sampai kepada ramai orang dan ada yang terinspirasi dengan kekuatannya.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: (1), Kredit foto: Instagram Kayley Stead