Dituduh Penyebab ‘Pembunuhan’ Beramai-Ramai, Penunjuk Perasaan Menumbangkan Tugu Ratu Victoria Dan Ratu Elizabeth II

Share

Penjajahan keluarga DiRaja British sememangnya sangat terkenal di seluruh dunia, bahkan seuatu ketika dahulu mereka memerintah 25 peratus kawasan darat di seluruh dunia. Penjajahan ini dilihat sebagai satu penaklukan yang menonjol kekuasaan dan juga peluang bagi keluarga DiRaja ini mengaut hasil bumi bagi membangunkan negara mereka sendiri.

Penjajahan mereka bukan sahaja mengaut hasil bumi tetapi memecah belahkan kehidupan manusia. Sebagai contoh di Malaysia sendiri, ketika British memerintah mereka menggunakan sistem segregasi pekerjaan dan penempatan berdasarkan kaum agar sistem ekonomi serta muafakat antara kaum terpisah.

Kasut kanak-kanak dan barang mainan diletakkan sebagai simbolik di hadapan sekolah berasrama yang mana Kaloomps yang menjadi tempat penemuan kubur besar. Sumber gambar: The Guardian

Terbaharu di Kanada, penemuan kubur besar tanpa tanda yang menempatkan 215 mayat di bekas tapak sekolah berasrama yang digunakan oleh Gereja Katolik untuk mengumpul kanak-kanak orang asli mengejutkan rakyat negara itu. Kisah sedih sekolah itu sebenarnya telah menjadi satu peristiwa berdarah bagi masyarakat orang asli Kanada. Sekolah tersebut digunakan untuk mengumpulkan kanak-kanak orang asli dan mengajar mereka agar berasimiliasi dengan budaya baharu dalam usaha untuk menghilangkan identiti mereka sebagai orang asli.

Selama 165 tahun, sekolah-sekolah ini memisahkan kanak-kanak orang asli secara paksa dari keluarga mereka, menyebabkan mereka kekurangan zat makanan serta penderaan fizikal dan seksual dalam apa yang disebut oleh Suruhanjaya Kebenaran dan Pendamaian sebagai pembunuhan budaya pada tahun 2015.

Tugu Queen Elizabeth II yang menyembah bumi. Sumber gambar: Sky News

Geram dengan kebenaran yang terbongkar tentang sekolah Kristian ini, di Winnipeg orang ramai bersorak ketika tugu Ratu Victoria dijatuhkan di luar bangunan kehakiman daerah Manitoba. Penunjuk perasaan, yang kebanyakannya memakai pakaian berwarna oren, juga menendang patung itu dan menari di sekitarnya. Selain itu, tugu Ratu Elizabeth II yang berada berdekatan juga dijatuhkan.

Ratu Elizabeth II sehingga kini menjadi ketua negara Kanada, walaubagaimanapun negara itu diperintah oleh Perdana Menteri. Moyang Ratu Elizabeth II, Queen Victoria memerintah Kanada dari tahun 1837 sehingga 1901 yang mana ketika itulah sekolah-sekolah Kristian ditubuhkan. Selain daripada penunjuk perasaan yang bertindak menumbangkan tugu-tugu ini, rakyat Kanada juga menuntut Pope memohon maaf terhadap apa yang disebabkan oleh sekolah asrama Kristian Katolik itu.

Sumber: (1), (2)

Published by
Fiezreen