Diyakini Cantik Asli Tanpa Pembedahan Plastik, Gadis Berusia 22 Tahun Dinobat Sebagai Miss Vietnam 2022

Share

Zaman sekarang susah hendak membezakan mana yang asli, mana yang palsu. Teknologi pembedahan yang begitu hebat membolehkan sesiapa sahaja untuk mendapatkan bentuk wajah sempurna yang diingini. Apatah lagi dalam dunia ratu cantik, sebahagiannya melakukan pembedahan untuk mencapai istilah ‘cantik sempurna’.

Namun berbeza dengan Miss Vietnam, pertandingan yang diadakan sejak tahun 1988 itu hanya menerima peserta yang memiliki kecantikan sejati tanpa melakukan sebarang pembedahan.

Buktinya, dalam pertandingan Miss Vietnam 2022 baru-baru ini, organisasi tersebut telah memilih 56 peserta yang tidak menjalani sebarang pembedahan plastik untuk memasuki peringkat saringan separuh akhir. Dari 56 orang, mereka kemudiannya dikecilkan kepada 35 orang sahaja untuk bertanding secara langsung di pentas akhir.

Nasib akhirnya menyebelahi gadis berusia 22 tahun yang merupakan pelajar jurusan Bahasa Inggeris di Da Nang University. Huynh Thi Thanh Thuy telah berjaya menjadi juara sekaligus bakal mewakili Vietnam ke pertandingan ratu cantik di peringkat antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kita Ada Calon Yang Baik,” – Elaine Daly Berkongsi Kisah Tentang Hatta Dolmat, Lesley Cheam Dan Kerjaya

Seiring dengan kemenangannya, gadis berketinggian 175 cm ini menerima hadiah wang tunai bernilai lebih RM50 ribu serta mahkota emas, bertatahkan 54 mutiara putih dan dihiasi beribu-ribu permata rona emas dan putih.

Trinh Thuy Linh, 21, yang berasal dari wilayah Thanh Hoa dinobatkan sebagai naib juara. Le Nguyen Ngoc Hang, 19, yang berasal dari bandar Ho Chi Minh pula berada di kedudukan ketiga. Dia merupakan seorang pelajar di Universiti Western Sydney di Vietnam dan sebelum ini merupakan peserta top 10 di pertandingan Miss World Vietnam 2022.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen