Doa Terakhir Iringi Peletakan Jawatan Perdana Menteri Malaysia

Share

 

Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasminya telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.

Menerusi satu sidang media yang dipancarkan di televisyen dan media sosial, keputusan ini dibuat setelah kehilangan sokongan majoriti ahli Parlimen. Lalu, beliau telah melepaskan jawatan tersebut dan begitu juga dengan seluruh anggota Kabinet mengikut Perlembagaan Persekutuan.

ARTIKEL BERKAITAN : KJ Sahkan Letak Jawatan, Apa Nasib Program Imunisasi Nasional? – REMAJA

Katanya, beliau telah berikhtiar bersama-sama kerajaan yang dibentuknya selama ini untuk menguruskan Malaysia dalam musim pandemik sejak tahun lalu lagi.

“Kami telah menguruskan pandemik, menyediakan program vaksinasi dan pemulihan ekonomi. Tetapi ikhtiar ini tidak berhasil. Disebabkan ada pihak yang rakus merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan saudara-saudari sekalian.”

Tambah beliau, peletakan jawatan akibat kehilangan sokongan majori ini merupakan satu episod baharu dalam sejarah perjuangan politiknya. Jika enam tahun lalu, kalau korang masih ingat, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri setelah beliau pertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dengan skandal penyelewengan 1MDB.

Selepas beliau terus berjuang selama ini, hari ini beliau kembali akur apabila hari ini menandakan hari terakhir perjuangan beliau sebagai seorang Perdana Menteri.

“Saya redha dengan ketentuan Ilahi ini. Jawatan yang saya pikul ini bukanlah untuk bermegah. Ia datang dengan bebanan tanggungjawab yang amat berat. Saya memimpin negara dalam krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia serta dunia sebelum ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon keampunan di atas kekhilafan dan kelemahan saya sepanjang saya menjadi Perdana Menteri. Saya dan rakan jemaah menteri telah cuba melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi kehidupan semua dalam tempoh krisis masa ini.

“Namun sebagai manusia, pastinya ada kesalahan dan kesilapan. Jadi saya memohon ribuaan ampun dan maaf.”

Buat kali terakhirnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengetuai bacaan doa sebagai seorang Perdana Menteri Malaysia. Berikut adalah bacaan beliau sebentar tadi.

*

Ya Allah, ya Rahman ya Rahim.

Engkau kurniakanlah kerahmatan kepada kami. Engkau lindungilah keselamatan dan keamanan negara kami. Engkau peliharalah kesihatan dan kesejahteraan hidup kami. Engkau lenyapkanlah penyakit Coronavirus dari muka bumiMu ini, ya Allah.

Ya Allah, ya Rahman ya Rahim.

Engkaulah yang mempunyai segala kepujian. Engkaulah yang berhak menerima segala kesyukuran. Engkaulah yang memiliki segala pemerintahan.

Di tangan Engkaulah, segala kebajikan. Kepada Engkaulah kembali segala urusan.

Rabbana atina fiddunya hasanah, wa fil akhirati hasanah, waqina a’za bannar.

*

BACA LAGI : Apa Akan Jadi Setelah PM Muhyiddin Yassin Letak Jawatan? Ini Yang Remaja Kena Tahu – REMAJA

Dengan peletakan jawatan ini, Malaysia seharusnya berfikiran ke hadapan dan bersiap sedia untuk berdepan pandemik sekarang. Bukan jawatan politik yang harus diletakkan di bawah skop pemerhatian kita.

Apa yang lebih penting adalah sejauh mana Malaysia mampu memerangi segala cabaran baik dari aspek kesihatan, keselamatan, ekonomi dan penambahbaikan kesejahteraan semua rakyatnya dari semasa ke semasa.

Published by
FZ