Pelakon berkaliber, Syafiq Kyle mendedahkan dia dan cinta hatinya yang juga aktres jelita, Mimi Lana dijangka bakal mendirikan rumah tangga selepas perayaan Aidilfitri tahun ini.
Memohon doa yang baik-baik, naib juara Hero Remaja 2011/2012 memaklumkan dirinya kini hanya menantikan hari bahagia mereka tiba memandangkan segala persiapan sudah hampir siap dilakukan.
ARTIKEL BERKAITAN: Tahniah! Syafiq Kyle & Mimi Lana Berlayar Ke Fasa Pertunangan
“Doakan saya. Insya-Allah selepas Aidilfitri. Kita lepaskan bulan puasa dan hari raya terlebih dahulu.
“Alhamdulillah saya kini cuma menanti hari bahagia saja. Bukan nak cakap persiapan sudah 100 peratus siap tapi semuanya dalam keadaan terkawal,” kata Syafiq.
Memetik laporan Harian Metro, pelakon filem Pusaka itu turut menyatakan dirinya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga dan percaya mereka mampu menjalani kehidupan rumah tangga dengan harmoni.
“Saya dengan pasangan dah lama kenal. Jadi nak ke fasa seterusnya, saya rasa lebih tersusun dan mampu menguruskan masa dengan baik.”
“Pengalaman juga banyak membantu kami. Jadi tiada masalah untuk memikul tanggungjawab ini.
“Tambahan selepas berkahwin aktiviti seni akan berjalan seperti biasa. Pihak produksi pun faham dengan jadual kerja kami berdua,” ujar Syafiq lagi.
Terdahulu pada 21 Januari 2023, Syafiq bersama keluarganya telah merisik Mimi dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup di kediaman dramatis itu.
Pasangan itu mula berkongsi tentang hubungan istimewa mereka sekitar tahun 2019. Bagaimanapun, sekitar Mei 2020, hubungan mereka dikatakan putus sebelum kembali terjalin beberapa bulan kemudian.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Mimi Lana & Syafiq kyle