Sebuah perkahwinan bagaikan tidak lengkap tanpa kehadiran cahaya mata, namun rezeki itu datang sama ada cepat mahupun lambat sahaja.
Sama seperti pasangan lain, pelakon dan pengacara, Zulin Aziz mengimpikan untuk memiliki cahaya mata sendiri selepas genap setahun mendirikan ruman tangga bersama suami tercinta, Farhan Norzaini.
Luahan tersebut diungkap pelakon drama Ramadan Yang Hilang itu menerusi sebuah hantaran di Instagram miliknya sempena menyambut ulang tahun perkahwinan pertama bersama suami.
ARTIKEL BERKAITAN: Mia Ahmad Dedah Wajah Cahaya Mata Ketiga, Pilih Nama Imaani Mohd Izham Tarmizi
“Jika tak keberatan, doakan semoga kami dikurniakan zuriat. Semoga doa-doa kita diperkenankan, amin Ya Rabb,” tulisnya.
Dalam coretan itu juga, Zulin sempat mendedikasikan ucapan teristimewa buat pasangan, setelah genap setahun melayari fasa perkahwinan bersama.
“Setahun usia perkahwinan mengajar kita tentang mengenali satu sama lain. Menerima kurang lebin setiap dari kita. Memahami, terbiasa.
“Bawa ke tahun-tahun seterusnya. Makin lama makin cinta. Kita sederhana tapi bahagia. Syukur Ya Allah,” titipnya sambil meluahkan rasa cinta dan berdoa agar kekal selamanya bersama suami tersayang.
Luahan penyanyi lagu Dan Ketika Itu tersebut sekali gus itu mengundang pelbagai reaksi daripada para peminat dan rakan artis selain mereka dilihat memberi sokongan agar doanya dimakbulkan kelak.
“Amin, semoga Zulin dan suami dikurniakan zuriat secepat mungkin. Jangan penat berdoa,” komen seorang pengikutnya.
“Buat pejuang garis dua (golongan wanita yang berusaha mendapatkan zuriat), semoga dikurniakan zuriat pada tahun ini, amin,” komen pengikut lain.
“Selamat ulang tahun perkahwinan babe. Semoga kekal bahagia hingga ke syurga dan saya doakan awak dikurniakan rezeki anak yang ramai selepas ini, amin,” titip rakan penyanyi, Idayu.
Sekitar hujung September tahun lalu, Zulin mendedahkan dia sebenarnya baru sahaja mengalami keguguran sebulan sebelum itu, iaitu pada bulan Ogos.
Sekadar informasi, pasangan merpati dua sejoli itu selamat mendirikan rumah tangga dengan sekali lafaz pada tanggal 20 Februri tahun lalu, selepas dua tahun mengenali hati budi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Zulin Aziz