Masalah mulut berbau sering dikaitkan ketika seseorang itu berpuasa kerana bakteria hidup disebabkan oleh lebihan makanan yang tidak dibersihkan di antara celahan gigi. Selain itu, ia juga berlaku kerana berpunca daripada kekurangan air liur.
Memanglah ada hadis yang mengatakan “Demi diriku berada ditangannya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi” (Hadis Riwayat Bukhari No: 1771), tetapi mungkin orang disekeliling kita tidak selesa pula kan?
Sebenarnya mulut berbau ketika berpuasa ada sebabnya dan ia juga boleh dielakkan dengan beberapa cara seperti yang telah dikongsi oleh Dr. Kamarul Ariffin di laman Twitternya.
Jom kita lihat antara cara yang boleh mengelakkan mulut berbau ketika berpuasa.
1. Minum air secukupnya
Antara salah satu sebab mulut berbau adalah kerana kekeringan pada mukosa dalam mulut akibat kekurangan iar semasa berpuasa. Maka, semasa sahur korang perlu minum air kosong secukupnya agar badan sentiasa terhidrat dan mulut tidak kering.
2. Elak kopi atau teh untuk sahur
Kopi dan teh adalah bahan yang menggalakkan penghasilan air kencing. Jika kita minum teh dan kopi, maka kita akan hilang banyak air melalui air kencing. Ia boleh menyebabkan dehidrasi dan secara tidak langsung menyumbang kepada mulut berbau.
3. Kurangkan bercakap
Terlalu banyak bercakap boleh menyebabkan mulut kelembapan dari mulut mudah tersejat, lalu menyebabkan mulut menjadi kering. Selain itu, bernafas melalui mulut juga akan menyebabkan mulut menjadi kering dan nafas berbau.
4. Ambil karbo secukupnya
Ada sesetengah orang cuba untuk mengurangkan berat badan secara intensif semasa Ramadan. Mereka berpuasa dan tidak mengambil karbo dan gula, ia secara tidak langsung memaksa tubuh mendapatkan tenaga secara ketosis. Ini boleh menyebabkan nafas berbau busuk.
5. Gosok gigi dan lidah
Antara penyumbang mulut berbau adalah kehadiran bakteria dalam mulut. Jadi gosoklah gigi sebelum tidur dan selepas sahur. Gunakan floss untuk bersihkan sisa makanan di celahan gigi. Bersihkan lidah dengan memberusnya. Boleh juga guna larutan pembersih mulut.
6. Pastikan tiada gigi rosak
Jika semua cara di atas telah diikhtiar tetapi mulut masih berbau juga, korang dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor gigi. Masalah pada gigi atau gusi juga boleh menyebabkan mulut berbau, contohnya karang gigi.
Ha, selepas ini korang boleh cuba tip yang telah dikongsikan ini untuk manfaat bersama. Jangan jadikan alasan mulut berbau kerana berpuasa ya. Hiks!
Sumber: (1)