Sebelum ini tular tentang isu doktor kontrak di hospital kerajaan kerana para doktor kontrak ini tidak mendapat jawatan tetap setelah berkhidmat sebagai doktor selama bertahun lamanya. Isu ini sebenarnya bukanlah perkara baharu, sebaliknya sudah berlarutan sejak 20 tahun yang lalu.
Namun apa yang berlaku pagi tadi, kumpulan doktor kontrak di hospital kerajaan telah pun mengadakan protes di seluruh negara bagi menuntut jaminan pekerjaan dan peluang kerjaya yang lebih baik.
Menerusi sesi live yang dibuat oleh Sinar Harian, dilihat sekumpulan doktor membawa plakad dengan tulisan antaranya “Fight for our Healthcare System’s Future”, “We want permanent job”
dan “We want career security”.Menurut seorang doktor yang dikenali sebagai Doktor Omar, beliau telah berkhidmat di Hospital Shah Alam selama 5 tahun. Jelasnya, walaupun ada pihak atasan yang melarangnya untuk melakukan protes itu, namun beliau dan beberapa lagi rakan doktor tetap ingin memperjuangkan hak mereka.
Jelasnya lagi, lebih daripada separuh doktor di Hospital Shah Alam adalah doktor kontrak dan jika mereka semua berhenti, siapa yang bakal merawat pesakit yang ada?
“Kami hanya ingin meminta hak yang sama rata dan peluang untuk melanjutkan pelajaran. Kita kena faham jadi doktor ini dari satu generasi ke generasi yang lain, pelapis negara. Doktor yang berumur 50 tahun nanti akan bersara dan siapa yang akan menggantikan tempat mereka? Adik-adik inilah yang akan menggantikan mereka. Tetapi mereka telah dinafikan hak,”
“Kami ada menerima mesej sekiranya melakukan protes ini akan dikenakan tindakan tatatertib, kata dua daripada kami, sama ada saya dah tamat perkhidmatan bulan 12 ini atau saya akan ditamatkan perkhidmatan pada bulan Ogos ini. Beza empat bulan sahaja, sebab itu kami turun,”
“Sejujurnya, saya melakukan ini adalah untuk adik-adik saya, ramai lagi doktor muda yang menerima nasib yang sama. Kita tengok rakyat mengadu tunggu lama, rawatan lambat, semuanya kita dah tahu sebab kekurangan doktor. Bukan hanya doktor, tetapi petugas kesihatan yang lain seperti jururawat dan pembantu doktor,” jelas doktor itu lagi.
Tidak lama selepas doktor itu ditemu bual oleh wartawan, mereka disuruh berhenti oleh pihak polis.
Difahamkan, antara lokasi tunjuk protes yang lain turut dilakukan di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Hospital Melaka, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh, Hospital Sultanah Aminah ( HSA) Johor Bahru, Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu dan Hospital Pulau Pinang.
Sama-samalah kita berdoa agar doktor kontrak ini mendapat keadilan dan pembelaan kerana jika lebih ramai doktor berhenti, makin tidak teruruslah sistem perubatan di negara kita.
Sumber: (1)