Program vaksinasi di Malaysia masih lagi giat dijalankan dan setakat 24 Ogos 2021, seramai 13,580,934 individu telah pun lengkap menerima dua dos vaksin, manakala 18,631,593 individu telah mendapatkan dos pertama.
Namun begitu, isu vaksin ini masih lagi hangat diperdebatkan sama ada daripada keberkesanannya atau pun kesan sampingan yang bakal dihadapi oleh penerima vaksin.
Terbaharu, seorang ahli bekam mendakwa kononnya darah individu yang sudah vaksin akan berubah warna mengikut jenis vaksin yang diambil.
Dakwaan itu dinafikan oleh seorang doktor yang dikenali sebagai Dr Suhazeli Abdullah yang menjelaskan bahawa warna darah yang keluar selepas vaksin TIDAK dipengaruhi oleh jenis vaksin, tetapi ia bergantung kepada individu berkenaan, sama ada vaksin atau tidak vaksin.
Darah yang daripada kulit kita akan membeku mengikut masa yang tertentu. Sama ada warna cerah atau pekat kehitaman, berbeza-beza. Namun, kebanyakan manusia adalah sama.
Contohnya orang yang mengalami anemia (Hemoglobin sel darah merah rendah); darah mereka akan nampak lebih cerah, cair dan berplasma. Sekali imbas nampak bernanah. Bagi yang berpenyakit Polycytemia pula, darah mereka kelihatan pekat dan kurangnya plasma.
Oleh itu, orang awam dinasihatkan agar tidak mudah keliru dengan pihak tertentu yang membuat testimoni keadaan darah bekam selepas divaksin.
Untuk pengetahuan korang juga, vaksin dicucuk ke dalam otot bahu, bukannya bawah kulit. Sedangkan darah yang keluar daripada rawatan bekam adalah darah bawah kulit sahaja (dermis dan epidermis).
Doktor ini juga menasihatkan agar jangan bekam di tempat suntikan vaksin. Ia kemungkinan akan menyebabkan kesan sampingan makin teruk seperti bengkak, radang, ruam kemerahan, kesakitan tempat cucuk dan jangkitan kuman lain jika tidak dijaga kebersihan bekas luka bekam. Kalau nak bekam juga boleh, tetapi lakukan dibahagian tubuh yang lain.
Semoga penjelasan yang diberikan oleh doktor ini dapat memberikan pencerahan buat semua. Jangan mudah terpedaya dengan dakwaan-dakwaan individu yang tidak pakar dalam bidang ini.
Sumber: (1)