Wabak pandemic COVID-19 yang melanda satu dunia merupakan cabaran buat barisan petugas hadapan khususnya anggota perubatan. Jika diukur kepenatan harus dilalui dan masa yang dikorbankan, hanya Allah mengetahuinya. Namun memikirkan ia satu amanah dan tanggungjawab memastikan pesakit selamat pulang ke pangkuan keluarga, soal letih itu mereka ketepikan.
Tiada ucapan dapat dibalas apabila setiap kebaikan diberikan ucapan terima kasih. Pasti penat lelah itu terasa terbayar.
Perkongsian dari seorang doktor ini, Dr Zila Ali amat menyentuh hati. Pemberian wang RM5 diberikan oleh anak tahfiz di bawah jagaannya yang positif COVID-19 cukup mengharukan. Bukan soal wang kerana nilainya cukup kecil tetapi sikap baik budi ditunjukkan anak tahfiz ini membuatkan para ibu yang mempunyai anak amat tersentuh. Ini kerana dirinya dididik dengan baik dan begitu berbudi bahasa. Bibirnya tak pernah lekang dari menguntum senyuman dan mulutnya juga tak pernah jemu menyebut terima kasih di atas apa saja bantuan diberi terhadapnya.
Bacalah perkongsian doktor ini. Dalam kita memikirkan kluster kayangan yang agak demand, masih ada insan yang baik budi dan hatinya.
Tersentuh hati …
Warkah dari anak tahfiz yang dikuarantin di sini. Siap bagi RM5 untuk doktor.
Terima kasih nak.
Menjaga kamu adalah satu hikmah. Bukan beban. Perangai baik tutur bicara yang sopan. Mulut sentiasa menyebut terima kasih. Walau berhimpit 24 orang sedewan. Tidur atas tilam. Tak ada aircond pun. Sentiasa senyum bila jumpa.
Tiap hari alunan al-Quran terdengar di dewan. Malam Jumaat siap bertahlil bersolat hajat. Siap dititipkan doa untuk doktor semoga doktor sentiasa murah rezeki dan dikurniakan kesihatan yag baik.
Siap nak doakan doktor ditambah anak lagi. Cukuplah nak. Insya allah 2 aje sekarang😘
Tq nak. Doktor doakan kamu semua sentiasa dilindungiNya.