“Dosa” Ini Selalu Orang Perempuan Buat Selepas Solat, Baru Raih Pahala Tapi Berdosa Semula

Share

Solat itu tiang agama dan ia wajib dikerjakan oleh mereka yang sudah baligh. Di akhirat, solat adalah perkara pertama ditanya di alam kubur dan sesiapa yang meninggalkannya secara sengaja bermakna dia sudah meruntuhkan sebahagian tiang agamanya. Solat juga dikatakan mampu mendidik jiwa manusia untuk sentiasa bersyukur kepada Allah taala.

Tapi bagaimana jika baru habis solat kita tetap berdosa kembali? Tentu kita tertanya-tanya kenapa baru selesai solat tapi berdosa kembali.  Pernah tak kita perasan, apabila kita solat di ruang surau atau masjid kita dapat lihat sebahagian wanita yang memakai tudung berbual-bual dengan rakan dikenalinya.

Agak kerap sebenarnya bila di dalam surau kita akan terganggu dengan suara orang berborak-borak sesama rakan mereka selepas habis solat. Ada juga perbuatan itu dilakukan sebelum nak ambil wudhu. Ada saja cerita dikongsi, dari kisah beli baju apa. Nak makan apa, kisah anak dan pelbagai kisah lain. Sambil pakai tudung, sambil tu la mulut tak henti-henti diselang seli dengan ketawa bagai.

Di sebalik isu ini, REMAJA menemuramah Ustaz Mk Azman mengenai hukum berborak dalam surau atau masjid sehingga mengganggu tumpuan jemaah lain untuk beribadah atau yang sedang solat ketika itu.

Mungkin kita anggap perbuatan itu biasa-biasa sahaja tetapi mungkin bila kita baca apa hukumnya harap kita berubah selepas ini ya sis. Tak salah nak berborak tapi buatlah di luar surau atau masjid, jangan sampai suara berborak kita itu mengganggu orang yang sedang solat. Bayangkan dalam satu suasana surau yang agak kecil, time itulah kita sibuk nak berborak dengan kawan, sudahnya habis suara kita didengari semua.

Ruang solat yang agak sempit untuk jemaah wanita membuatkan suara lebih mudah didengari dengan kuat. Gambar sekadar hiasan.

Apa hukumnya?

Menurut Ustaz Mk Azman, hukumnya adalah BERDOSA.

Bila kita berbual-bual hal dunia sehingga mengakibatkan tumpuan jemaah lain hendak bersolat, kita adalah manusia yang berdosa.

“Ini kerana kita dilarang bercakap soal dunia di dalam masjid atau surau kerana di dalam rumah Allah ini, kita hanya digalakkan beribadah sahaja. Kalau hendak berborak hal dunia, kita harus keluar dengan segera dari ruang solat tersebut. Ruang solat adalah tempat untuk bersolat di mana orang lain mencari kekhusyukan dari Allah dan bukannya bercakap soal dunia.

“Baca Quran dengan kuat dan masa yang sama orang hendak sembahyang pun dikira berdosa kerana mengganggu tumpuan orang apatah lagi berborak hal dunia. Baca Quran itu pahala tetapi jika sampai mengganggu orang lain sudah dikira berdosa.

“Apa tah lagi kita hendak bercakap-cakap soal dunia yang lain. Dunia Allah ini luas dan kita digalakkan untuk berborak mengenainya tetapi bukan di dalam masjid atau surau,” katanya menjelaskan tindakan berborak itu seperti menghilangkan i’zzah atau kemuliaan rumah suci Allah.

Dalam pada itu, Ustaz Mk Azman menjelaskan, perbuatan berborak dan bakal mengganggu tumpuan jemaah lain untuk bersolat perlu dihentikan serta merta.
Ditanya bagaimana untuk menegur orang yang sedang berborak dan masa yang sama tidak menyakitkan hati mereka, Ustaz Mk Azman menjelaskan cukuplah dengan mengangkat tangan ke bibir, tanda kita mahu mereka berhenti berborak.

“Jangan sampai terkeluar perkataan yang boleh menyakitkan hati orang lain hanya kerana kita hendak menegur perbuatannya itu,” katanya.

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros