
Dr. Amalina Bakri sering mendapat perhatian di media sosial kerana kejayaannya sebagai ahli perubatan di luar negara menarik perhatian dan rasa bangga oleh masyarakat di Malaysia.
Terbaharu, pakar bedah ini telah menerima penghargaan dalam kategori profesion di UK Women of the Future Award 2021 dan memuat naik gambar bersama suaminya di majlis penganugerahan itu.
Menerusi hantaran di laman Instagramnya, Dr. Amalina berbesar hati menerima anugerah itu dan berasa rendah diri kerana dikelilingi wanita-wanita muda dari Britain yang hadir dalam pelbagai bidang.
“Saya amat berbesar hati menerima anugerah ‘Highly Commended’ dalam kategori Profesion di 🇬🇧 UK Women of the Future Award 2021. Saya berasa sangat rendah hati kerana dikelilingi oleh ramai wanita muda di Britain, peneraju dalam bidang perubatan, undang-undang, teknologi, sains, kejuruteraan, sukan, dan banyak lagi. Tahniah kepada finalis dan pemenang lain, anda semua adalah wira-wira!” jelas beliau.
Rata-rata pengikut di laman instagramnya turut berasa bangga dan mengucapkan tahniah atas pengiktirafan yang diterima ini.
Kami di Remaja juga ingin mengucapkan tahniah buat Dr. Amalina Bakri dan semoga kejayaannya ini dapat memberi semangat buat anak muda di Malaysia untuk lebih terus berjaya dan kecapi impian mereka.
Sumber: (1)
Sukar Dapat Pekerjaan, Remaja Ini Nekad Gantung Iklan Untuk Cari Kerja

Dalam situasi pandemik seperti hari ini, tidak dinafikan peluang pekerjaan adalah terhad, lebih-lebih lagi kepada graduan yang baru menamatkan pelajaran. Mana kan tidak, individu berpengalaman juga ada yang dibuang kerja gara-gara ekonomi yang terjejas teruk akibat COVID-19.
Situasi ini turut dirasai oleh seorang pemuda berusia 24 tahun yang terpaksa tampil dengan idea ‘gila’ dengan memasang placards untuk mengiklankan dirinya bagi mendapatkan pekerjaan.
Lelaki yang dikenali sebagai Haider Malik itu merupakan graduan Ijazah kelas pertama dalam bidang perbankan dan kewangan dari Universiti Middlesex.

Sebelum ini, dia sudah menghadiri banyak temuduga menerusi aplikasi Zoom, namun dia tidak berpuas hati kerana tidak dapat mempamerkan personalitinya secara menyeluruh.
Disebabkan masalah kesempitan wang, Haider kemudiannya ke Canary Wharf, sebuah lokasi tumpuan sektor kewangan dan membeli sekeping papan putih dari kedai alat tulis berhampiran dan menampal kod QR.
Melalui kod QR itu, orang ramai atau majikan boleh mengakses profil peribadi dan latar belakang pendidikannya di LinkedIn.

Haider sampai ke stesen itu sebelum pukul 7 pagi lagi dan pada pukul 9.30 pagi, dia telah menerima mesej yang memintanya datang ke temu duga untuk memegang jawatan sebagai Treasury Analyst di Canary Wharf Group.
Selepas sesi temu duga itu, Haider mendapati profil LinkedIn miliknya menjadi perhatian dan selama tiga hari berturut-turut telefon bimbit lelaki itu tidak berhenti berdering menerima tawaran.
Beberapa hari kemudian, Haider menerima panggilan untuk sesi kedua temu duga bersama Canary Wharf Group dan pada petang itu juga dia telah mendapat khabar baik apabila diterima bekerja di syarikat itu.
Dalam keadaan seperti sekarang sudah tentu ramai yang terdesak melakukan apa sahaja untuk mendapatkan pekerjaan. Dengan usaha yang dilakukan ini, Haider telah berjaya mendapat perhatian banyak syarikat untuk menawarkan pekerjaan kepadanya.
Benarlah kata pepatah, usaha tangga kejayaan!
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Kucing Peliharaan Di Jerman Akhirnya Boleh Keluar Rumah Selepas 3 Bulan Terkurung

Bukan manusia sahaja yang terkesan dengan perintah berkurung, haiwan pun sama terkesan!
Cuma istimewanya, perintah berkurung yang satu ini tidaklah disebabkan oleh pandemik COVID-19. Sebaliknya, ia adalah perintah berkurung khas yang dikenakan demi memeliharan spesis haiwan yang terancam.
Ia berlaku di sebuah bandaraya di Jerman bernama Walldorf di mana pihak berkuasanya telah mengenakan perintah berkurung khas terhadap kucing peliharaan untuk terus berada di rumah masing-masing selama tiga bulan bagi melindungi sejenis spesis burung terancam.


Burung jenis Crested Lark atau dalam bahasa saintifiknya, Galerida Cristata itu terpaksa dilindungi disebabkan statistik kematiannya secara semula jadi pada setiap tahun.
Biarpun tiada bukti kukuh mengatakan kucing peliharan menjadi punca utama kematian burung Crested Lark ini, namun perintah berkurung khas masih dikenakan sebagai tindakan berjaga-jaga selama musim pembiakan burung itu.
Haih, kucing peliharaan juga dipersalahkan! Hehe
Akibatnya, selama tiga bulan lalu, kucing-kucing peliharaan di Walldorf hanya dibenarkan keluar dari rumah tidak melebihi dua meter dan perlu diikat dengan tali leher atau leash.
Sekiranya ada kucing peliharaan yang ditangkap melarikan diri dari rumah dalam tempoh perintah berkurung khas itu, pemiliknya terpaksa menghubungi talian khas dan akan dikenakan denda jika kucing tersebut ditemui.

Akhirnya selepas tiga bulan ‘terseksa’, pihak berkuasa Walldorf mengembalikan semula kebebasan kepada kucing-kucing peliharaan di sana sejak Isnin lalu.
Usaha ini mungkin nampak mulia di atas kertas demi melindungi spesis burung ini. Bagaimanapun, para aktivis haiwan rata-rata mengkritik perintah berkurung khas yang dikenakan kerana ia sebenarnya boleh menjejaskan kesihatan kucing yang terperangkap selama itu.
Macam-macam ya! Sabarlah si comel.
SUMBER : Persatuan Diraja Britain untuk Perlindungan Burung (RSPB)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Gadis Melayang Dari “Fly Over” Di Bangsar Sempat Bisik Sesuatu Sebelum Koma, Kini Kritikal

Seorang gadis, Intan Noor Balqis kini berada dalam keadaan kritikal selepas dilihat “terbang” dari jejambat berhampiran LRT Abdullah Hukum, Bangsar sebelum tubuhnya terhempas di hadapan sebuah kenderaan dalam satu kejadian kemalangan petang semalam. Dipercayai jarak ketinggian tempat remaja ini terjatuh dari jejambat ke jalan raya adalah kira-kira 20 meter.


Dalam kejadian petang semalam kira-kira 3.30 petang, Intan yang berusia 20 tahun, menetap di PPR Kerinchi menaiki motosikal untuk ke tempat kerjanya di San Francisco Coffee di Nu Sentral (mangsa masuk kerja jam 4 petang) sebelum dilihat tiba-tiba tubuhnya terhempas di atas jalan raya, betul-betul di hadapan sebuah kereta yang sedang menunggu lampu isyarat menukar warna hijau.
Akibat kejadian ngeri ini, mangsa mengalami patah tulang belakang, patah betis, tangan dan juga jari selain telapak tangan mengalami keretakan selepas terjatuh dari ketinggian 20 meter tersebut.
Sebelum koma dan kini berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Intan Noor Balqis sempat menceritakan detik sebenar bagaimana kemalangan ngeri ini menimpanya.



REMAJA menemui kakak mangsa, Norfairiyuslina Mohd Fauzi, 33 tahun untuk berkongsi kejadian ngeri ini sementelah adiknya memerlukan sejumlah besar wang untuk membeli peralatan besi bagi menyelamatkan nyawanya.
Menurut Norfairi, dia hanya mengetahui kejadian menimpa adiknya petang semalam selepas menerima panggilan telefon dari kawan adiknya.

“Dalam jam 4 lebih saya dapat panggilan mengatakan adik kemalangan. Bila pergi ke hospital untuk melihat keadaannya, adik masih sempat berbisik berkongsi bagaimana kejadian kemalangan itu berlaku.
“Katanya, ketika berada di atas jejambat tersebut (berhampiran LRT Adullah Hukum sebuah kereta Myvi berwarna hitam mencelok di hadapannya secara tiba-tiba sebelum adik bertindak brek secara kecemasan (nombor kenderaan tidak dapat dibaca kerana keadaan terlalu pantas).
“Akibat brek mengejut (atas faktor keselamatan) adik yang menunggang motosikal di bahagian tepi telah tersasar sedikit ke besi pembahagi jalan dan tiba-tiba terasa dia tubuhnya melayang ke bawah.
“Dia sempat cakap sakit sangat. Helmetnya tak pecah pun, cuma retak. Malah semasa di hospital, dia masih boleh bercakap berkongsi kejadian menimpanya. Petang semalam patutnya adik menjalani pembedahan memasukkan besi di betis dan tangan tapi tiba-tiba jantungnya lemah. Bacaan dari 50 turun ke 30 sehingga memaksa doktor komakan adik bagi membolehkan jantungnya yang bengkak berehat,” katanya yang tidak dapat maklumat lain kerana adiknya kini berada dalam keadaan koma.


Perlukan duit untuk pembedahan memasukkan besi
Memaklumkan yang adiknya sudah dua tahun bekerja di premis kopi terkenal itu di Damansara, Norfairi memaklumkan yang adik sepatutnya bercuti semalam tetapi kerana ingin mencari duit tambahan, adiknya membuat kerja lebih masa dan pengurusnya memaklumkan yang adik perlu bertugas di Nu Sentral.
“Kami tahu kejadian ini pun kerana ada seorang pekerja San Francisco Coffee ternampak warna pakaian dipakai adik ketika kemalangan itu. Dia bergegas membantu dan kemudian memaklumkan kepada pengurusnya. Malah dia yang tolong uruskan semuanya termasuk membantu sehingga adik selamat dibawa ke hospital,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Norfairi berkata, adiknya itu memerlukan kira-kira RM5000 dengan kadar segera bagi membolehkan pembedahan memasang besi di betis yang patah selain patah di tangan. Malah kos hampir RM5000 ini turut termasuk memasang wayar untuk pemantauan di jantung sebanyak RM1200 (namun kos ini tidak termasuk pembedahan tulang belakang yang patah).
“Kalau ada sedikit bantuan dari orang ramai bagi pembedahan adik ini, ia boleh meringankan bebanan kami sekeluarga. Saya sendiri tidak bekerja dan kini sarat hamil lapan bulan. Kami duduk di flat ini tiga beradik. Mak dari Kelantan pun sudah dalam perjalanan ke sini. Manakala ayah pula sudah meninggal dua tahun yang lepas,” katanya memaklumkan yang adiknya itu merupakan anak ketiga dari lima beradik. Dua lagi adiknya masih bersekolah.
Bagi anda yang prihatin dan mahu meringankan bebanan keluarga ini bagi membiayai pembedahan memasukkan besi adiknya, boleh hulurkan bantuan ke Maybank atas nama Norfairiyuslina binti Mohd Fauzi di akaun 164128644778.
INFO TERKINI, memandangkan bantuan dari orang ramai mula diterima, pihak MAYBANK mencadangkan agar akaun baru jenis Premier dibuat kerana akaun saving ada limit traksaksi.
Nie akaun baru kakaknya, Norfairiyuslina 514123682947.