Sekali lagi anak tempatan mengharumkan nama negara apabila Dr Masliza Mahmod telah melakar sejarah menjadi wanita pertama Malaysia yang dinaikkan pangkat sebagai Profesor Madya bagi Perubatan Kardiovaskular di Universiti Oxford, United Kingdom baru-baru ini.
Menurut Jabatan Perubatan Radcliffe di Universiti Oxford, penyelidikan Dr Masliza memfokus kepada penggunaan pengimejan resonans magnetic kardiovaskular (CMR), teknik-teknik spektroskopi bagi pengesanan awal kelainan jantung serta mencari rawatan baru untuk pesakit kardiomiopati, kegagalan jantung, penyakit injap aorta dan diabetes mellitus.
Doktor berusia 47 tahun dari Batu Pahat, Johor itu kini menganggotai Jawatankuasa Pemandu Pasukan Petugas Penyelidikan Kegagalan Jantung British Society of Cardiovascular Magnetic Resonance (BSCMR).
Difahamkan juga Ahli Royal College of Physicians (MRCP) dari London ini memiliki Ijazah Sarjana Perubatan Dalaman (MMed) dari Malaysia dan ijazah perubatan awal (MBChB) dari Universiti Otago, New Zealand.
Kejayaan beliau disambut baik oleh rakyat Malaysia dan rata-rata daripadanya turut berbangga dan mengucapkan tahniah.
Moga lebih ramai anak muda Malaysia yang menjadikan kejayaan Dr Masliza Mahmood ini sebagai inspirasi buat mereka lebih berjaya mengejar cita-cita.
Sumber: Astro Awani