“Dr Saya Mahu Ubat Cicak”, Doktor Syer Pengalaman Rawat Pesakit Bangla Kecacingan Tapi Apa Yang Disebutnya…

Share

Kisah tentang pekerja asing yang cuba bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik ada ketikanya mampu membuat kita tersenyum sendirian. Tersalah sebutan, tidak jelas dan ada ketikanya kita sendiri tidak faham apa dipertuturkan.

Lebih teruk, ada ketika, kita sendiri terikut-ikut lenggok mereka berbicara khususnya ketika membuat order di kedai mamak jika pekerjanya sah-sah dari India. Itu belum lagi berhadapan dengan pekerja dari Bangladesh, Myammar dan sebagainya.

Pengalaman seorang doktor, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan yang berkongsi kisahnya merawat seorang pesakit Bangladesh jika dibaca boleh menjadi berita yang menghiburkan hati. Walau pun mengalami kecacingan, namun lelaki itu menyebut cacing sebagai cicak. Dan bila doktor membetulkan sebutannya sebagai cacing, dengan teruja dia menyebutnya sebagai dacing pula!.

Nampaknya warga asing khususnya yang mahu memasuki negara ini perlu diwajibkan mempelajari bahasa Melayu dengan betul sebagai satu syarat tambahan. Betul tak dan apa pandangan korang?

Baca perkongsian yang ditulis oleh Dr Kamarul di fb mengenai kisah seorang lelaki Bangladesh ini.

Seorang pesakit warganegara Bangladesh datang ke klinik. Muka dia gelisah. Belum sempat duduk ke kerusi dalam bilik konsultasi, dia sudah minta ubat.
“Doktor, saya mau ubat itu…cicak!” pintanya.
“Hah? Cicak? Sini mana ada ubat cicak” balas aku.
“Mana boleh beli itu ubat cicak?” soalnya.
“Kenapa awak mahu ubat cicak? Rumah awak banyak cicak ke?”
“Ini macam, doktor. Semalam, saya itu berak, cicak ada keluar” jawabnya sambil mengerut dahi.
Kening aku pun turut berkerut dengar jawapan diam Meremang bulu roma aku terbayang cicak menggelitik keluar daripada dubur. Hish! Geli geleman!
“Itu haiwan, panjang, kici-kici, tanah tinggal. Cicak, kan?” soalnya untuk kepastian selepas lihat reaksi aku
“Oooooooo…itu CACING!” ujar aku.
“Ya! Itu! DACING!” responnya teruja
“Huish! Cacinglah! Dacing tu lain. Awak, jangan macam-macam.”

*****
KECACINGAN

Lazimnya, kecacingan berlaku apabila telur atau larva cacing memasuki badan melalui laluan fecal-oral (najis ke mulut). Ia berkaitan dengan kebersihan air dan makanan. Oleh demikian, kanak-kanak mudah terkena kecacingan. Namun begitu, kecacingan bukan sahaja boleh berlaku pada kanak-kanak, bahkan juga pada orang dewasa. Malah pada haiwan peliharaan.

Antara tanda-tanda kecacingan:
-Mudah letih dan lesu.
-Perut tidak selesa dan kurang selera makan
-Berat badan menyusut
-Gatal di dubur
– Cacing pada najis

“Bahaya tak kecacingan ni?, doktor”
Kecacingan bukan sahaja boleh berlaku pada usus. Cacing boleh juga mendiami organ-organ dalam tubuh kita, contohnya di paru-paru, mata, serta otak. Seram tak?
Jika seorang kanak-kanak mendapat kecacingan, tumbesaran fizikalnya boleh terganggu akibat penyerapan nutrisi terjejas(malnutrisi). Perkembangan minda juga akan terjejas kerana fokusnya terganggu akibat selalu letih.
Kecacingan yang berpanjangan dan tidak dirawat juga akan menyebabkan kerosakan organ dan boleh masalah kesihatan yang sangat serius. Boleh juga sebabkan kematian jika melibatkan organ yang vital.

“Macam mana nak cegah kecacingan?”
-Amalkan penjagaan kebersihan yang baik. Pastikan kuku sentiasa pendek. Basuh tangan dengan sempurna sebelum makan.
-Minum dari sumber yang bersih— dirawat/dimasak. Kebanyakan kes berlaku akibat penggunaan air tidak terawat dari sumber yang tercemar sisa kumbahan.
-Cuci makanan bersih, terutamanya yang dimakan segar seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Pastikan bahan mentah(ikan/ayam/daging) dimasak sehingga sempurna.
-Haiwan peliharaan perlu dijaga rapi. Kecacingan boleh dijangkiti daripada dan kepada haiwan peliharaan. Bersihkan tempat tinggalnya sekerap mungkin.

“Kalau dah kena kecacingan, apa rawatannya?”
-Ubat cacing disarankan untuk diambil setiap 6 bulan. Ada. ubat berbentuk pil dan ada juga dalam bentuk cecair. Contoh ubat cacing adalah: Albendazole dan Mebendazole.
-Di media sosial, ada tertular petua mengatasi kecacingan menggunakan mandian air asam dan garam, serta mandian sabun khusus. Cara ini tiada bukti tentang keberkesanannya.

Jika simptom-simptom berlarutan selepas pengambilan ubat, maka berjumpalah semula dengam doktor untuk pemeriksaan lanjutan. Khuatir ia kecacingan yang serius atau masalah kesihatan yang lain.

Semoga bermanfaat!

Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Tips Kesihatan dan Perubatan

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros