Yes guys, Datuk Seri Najib Tun Razak DISAHKAN bersalah ke atas kesemua tujuh pertuduhan berhubung dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.
Bekas Perdana Menteri keenam negara itu didapati bersalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila pihak pembelaan tidak mampu untuk menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan pihak pendakwaan atas kesalahan salah guna kuasa.
Lalu setelah keputusan diumumkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, masyarakat terus tertanya-tanya what is next ? Apakah proses seterusnya yang akan berlangsung selepas ini dan apakah bentuk hukuman yang akan dijatuhkan kepada Najib?
Menurut siaran langsung di saluran Astro AWANI pada tengah hari ini, seorang hakim jemputan sedikit sebanyak menerangkan mengenai proses perundangan kepada penonton untuk lebih memahami situasi ini.
“Saya berpendapat 2 jenis hukuman yang akan dikenakan adalah hukuman penjara dan denda sahaja.
“Berkenaan proses perundangan yang akan dilakukan selepas ini, pihak pembelaan yang diketuai oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah terlebih dahulu akan memberikan hujah dengan sebab munasabah mengapa hukuman yang dikenakan harus dikurangkan kepada kadar minima dari segi jumlah denda dan tempoh penjara. Perlu diingat, ini adalah atas budi bicara hakim.
“Saya juga merasakan pihak pembelaan akan cuba mengemukakan justifikasi sekiranya hukuman ke atas ketujuh-tujuh pertuduhan boleh dijalankan serentak. Dengan cara ini, hukuman boleh dikurangkan.
“Selesai saja hujah dari pihak pembelaan, tiba giliran pihak pendakwaan pula untuk mengemukakan hujah mereka terhadap rayuan pihak pembelaan. Sudah tentu, mereka akan menangkis rayuan yang dikemukakan. Mengapa seorang penjenayah yang telah disahkan bersalah perlu mendapatkan simpati daripada pihak hakim – itu adalah antara perkara yang akan mereka perkatakan.
“Sebelum ini, kes yang pernah saya kendalikan hanyalah melibatkan orang kebanyakan, ini pula adalah kes yang melibatkan seorang bekas Perdana Menteri. Rayuan pihak pembelaan saya kira akan disertakan dengan status Datuk Seri Najib sebagai bekas Perdana Menteri yang pernah terlibat dalam pelbagai aktiviti yang membawa kebaikan kepada rakyat,” terang beliau lagi.