Sekiranya semalam lepasan SPM 2020 telah meraikan kejayaan mereka menamatkan zaman persekolahan dengan menerima keputusan peperiksaan masing-masing, hari ini, berita yang sedikit merundumkan semangat pelajar telah diterima daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
ARTIKEL BERKAITAN : Covid-19 Bukan Penghalang, Keputusan SPM 2020 Terbaik Dalam 5 Tahun – REMAJA
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan telah mengumumkan pembatalan Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) yang pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 27 Ogos ini.
Keputusan pembatalan PSRA dibuat berikutan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) fasa pertama di seluruh dunia. Selain itu, pihak JAIS turut memantau peningkatan jumlah kes jangkitan serta kematian akibat wabak COVID-19 yang masih tinggi pada setiap hari.
Justeru, pembatalan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk terus melandaikan lekuk penularan wabak. Ia juga demi melindungi para pelajar, guru, petugas peperiksaan, ibu bapa dan mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan perlaksanaan peperiksaan secara fizikal.
BEGITUPUN, JAIS akan melaksanakan kaedah pentaksiran baharu yang setara sebagai pengganti kepada peperiksaan PSRA.
Ini akan membantu pemilihan pelajar ke tingkatan 1 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) bagi sesi kemasukan 2022.
BACA LAGI : Permohonan Ke IPTA, Lepasan SPM 2020 Boleh ‘Update’ UPU Online Mulai 15 Jun – REMAJA
Pembatalan ini tentunya sedikit sebanyak akan mematahkan semangat para pelajar terutamanya serta ibu bapa dan guru yang telah bertungkus lumus menyiapkan diri bagi menghadapi PSRA.
Tambahan pula, tanpa cara pembelajaran formal yang tidak dijalankan pada tahun ini, tentunya usaha pelajar dan guru telah dilipatkali gandakan dalam penyampaian pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). REMAJA turut tertanya mengapa PSRA tidak ditangguhkan saja seperti yang dilakukan kepada peperiksaan SPM 2020.
Apapun, korang janganlah merasa sedih. Seperti yang JAIS umumkan, akan ada peperiksaan yang akan dijadikan sebagai pengganti.
SUMBER : Bernama