Misi jihad kecil usahawan kosmetik, Datuk Alha Alfa untuk membantu saudara seagama di Palestin telah dipermudahkan menerusi dua buah kontena mengandungi pelbagai bantuan kemanusian yang sedang dihantar me Rafah.
Ketika ditemui sewaktu konsert minggu kelima program The Hardest Singing Show, Alha memaklumkan dirinya membelanjakan duit sendiri untuk turun padang mulai 10 Jun hingga 17 Jun untuk program kemanusiaan yang memasuki kali kedua ini.
Pemilik nama penuh Abdul Al Halim Al Fadzil ini berkata dia ingin berada di sama agar dapat melihat sendiri bantuan itu selamat diterima ke tangan rakyat Palestin.
“Kita akan melihat apa keperluan-keperluan yang masih boleh kita usahakan selain dari apa yang sudah dibentangkan oleh rakan NGO kami.
“Ini merupakan bantuan kali kedua. Yang pertama kita bagi sumbangan melalui air drop.
“Sekarang kami masih menunggu giliran dalam masa terdekat untuk mereka benarkan masuk.
“Kalau nak masuk bukannya senang-senang (boleh masuk ke dalam negara Palestin) tetapi menerusi hubungan kita yang berada di sana katanya (jalan masuk) akan dibuka mengikut perancangan. Buat masa ini masih belum ditentukan berapa haribulan.
“Saya akan pastikan bila berada di sana, semua sumbangan kita boleh masuk ke sana,” katanya.
Sebagai pemegang amanah daripada penyumbang, pasukan Alha memilih hendak pergi sendiri dan melihat keadaan di sana dengan NGO yang menjalinkan kerjasama dengannya untuk misi ini termasuklah Cinta Gaza Malaysia dan AICT Global.
Antara bantuan yang berada dalam dua buah kontena tersebut adalah khemah, pakaian dan makanan.
FOTO: Instagram @alhaalfa