Genggam bara api biar sampai jadi arang…
Semestinya untuk mencapai apa yang kita impikan, terutamanya bergelar penuntut universiti ada cabarannya tersendiri yang perlu kita hadapi dengan lapang dada. Namun, pada akhirnya, segala pahit getir, asam garam kehidupan sebagai seorang mahasiswa pasti akan membuahkan hasil.
Sama seperti salah seorang bekas peserta Akademi Fantasia 4 (AF4) ini, kini dia mampu menarik nafas lega apabila ‘kepayahan’ dilalui sejak 2017 memberikan hasil berbaloi apabila berjaya menggenggam segulung doktor falsafah (PhD) dalam jurusan muzik dari University of Liverpool, England pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Jadi Salah Seorang Penerima Master UPSI! Arja Lee Titip Rasa Syukur
Menerusi sebuah hantaran di entri Instagram, penyanyi Diddy Hirdy yang dilihat mengenakan jubah konvokesyen mendedahkan rasa sebak dan terpaksa menahan air mata lelakinya ketika di atas pentas apabila terkenang semula pelbagai dugaan yang dihadapinya sepanjang perjalanan untuk menamatkan pengajiannya di bumi asing.
Selain itu, pelantun lagu popular Hilang itu berkongsi, pengalaman dilaluinya sebelum ini umpama pengorbanan yang akhirnya berbayar.
“Semua orang gembira dan senyum bila naik atas pentas. Diddy pun lakukan perkara yang sama. Cuma jauh disudut hati menahan sebak dan air mata (bunyi macam dramatik), tetapi itulah realitinya. Wallahi…
“Terkenang perjalanan PhD yang penuh berliku dan yang tak pernah surut dengan dugaan. The ultimate
dugaan apabila kami sekeluarga dijangkiti Covid-19 pada tahun lepas semasa bulan puasa bila mana dah nak tunggu PhD viva sahaja.“Yang paling berat, bila isteri Diddy sampai masuk ke hospital kerana Covid-19 dan tahap oksigen dia pernah juga turun. Tetapi Alhamdulillah, Allah itu maha penyayang. Kami semua diberikan semula kesihatan yang baik dan yang paling penting, saya lulus viva dengan mudah (ikut perasaan dan pengalaman saya lah),” coretnya panjang.
Dalam pada itu, Diddy yang kini bertugas sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah, turut menzahirkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada yang Maha Esa apabila ‘bersetuju’ untuk dirinya bergelar titile seorang doktor falsafah.
“Dan momen ini adalah momen bersejarah yang bukan sahaja meraikan kejayaan, tetapi mengenang perjalanan yang diibaratkan tidak pernah sudah ujiannya. Sebab itulah Diddy menangis bila lulus viva PhD. Sampai sekarang masih membuatkan Diddy sebak bila mengenangkan semua ini. Terima kasih Allah,” ujarnya lagi.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Diddy Hirdy