Dul Jaelani Sebak Kenangkan Ahmad Dhani, Konsert Dewa 19 Masih Jalan Lancar

Share

 

Tanpa kelibat salah seorang vokalis asal band popular Indonesia, Dewa 19 iaitu Ahmad Dhani, konsert reunion yang berlangsung semalam di Shah Alam tetap berjalan lancar meskipun dihambat emosi.

 

Dianggap besar kemungkinan sebagai konsert terakhir Dewa 19 oleh Ahmad Dhani sendiri semasa sidang media yang berlangsung tahun lalu, tiada siapa boleh meramalkan yang Ahmad Dhani sendiri tidak akan berada di konsert semalam. Not even the man himself.

Ini berikutan penahanan vokalis berusia 47 tahun itu pada awal minggu ini selepas dia dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan oleh Mahkamah Jakarta Selatan kerana menyebarkan kata-kata kebencian dalam laman sosial.

Lalu, spekulasi menyebut anaknya yang juga seorang ahli muzik, Abdul Qodir Jaelani (19) atau lebih dikenali sebagai Dul Jaelani akan menggantikan posisi bapanya itu.

Ternyata, semalam Dul lancar memainkan keyboard sambil ditemani ahli kumpulan Dewa 19 yang lain seperti Ari Lasso, Once Mekel, Andra Junaidi, Yuke Sampurna dan yang lain-lain.

Namun, selepas mereka memainkan klip pesanan ringkas daripada Ahmad Dhani di skrin LED, Dul tak dapat menahan sebak meski masih meneruskan mainan keyboard untuk 1-2 lagu.

Pesanan tersebut berbunyi, “Baladewa (gelaran peminat Dewa 19) di Kuala Lumpur, doakan saya kuat. Semoga dalam waktu terdekat, kita akan bertemu di Kuala Lumpur. Mohon doa Baladewa di seluruh Malaysia, terima kasih.”

Sewaktu Ari Lasso menyanyikan lagu ‘Hadapi Dengan Senyuman’ dan ‘Kan Membawamu Kembali’, kelihatan air mata Dul mengalir juga. Ari pula cuba menyanyikannya dengan lancar sambil merekod momen tersebut dengan telefon pintarnya – mungkin untuk diberikan kepada Ahmad Dhani sebagai pemangkin semangat.

 

Namun tak lama selepas itu, Dul kembali tenangkan diri dan sempat menyanyikan lagu ‘Angin’ bersama Once Mekel.

***

Konsert Dewa 19 Reunion in Malaysia semalam mengumpulkan semula ahli Dewa dan Dewa 19 untuk mengembalikan nostalgia lagu-lagu lagenda seperti Dewi, Pupus dan Risalah Hati selepas album pertama mereka, Dewa 19 pada tahun 1992.

 

Published by
FZ