Nama Najib Asaddok memang tidak asing lagi di Malaysia, terkenal sebagai jurulatih pemasaran dalam talian yang telah membimbing ramai peniaga untuk berjaya.
Najib, 39, atau nama sebenarnya Mohd Najib Asaddok sebelum ini pernah membuat sesi ‘live’ dan dihujani dengan pertanyaan seorang pengguna laman sosial yang bertanyakan soalan berunsur provokasi iaitu;
ARTIKEL BERKAITAN : Kenali Pemilik MAMASAB Bakery, Bekas Juru X-Ray Kini ‘Jutawan Kek’
‘Apa bisnes Najib yang sudah berjaya sehingga dia layak mengajar orang lain mengenai ilmu pemasaran?’
Lalu, sesi itu mendapat komen beberapa pengguna laman sosial lainnya yang mempertikai kejayaan diraih hanya dengan ‘menjual air liur’ semata-mata. Najib yang juga pengasas syarikat Momentum Internet Sdn Bhd sejak 2014 tak mahu ambil pusing segala komen yang dilontarkan.
“Saya juga orang biasa yang mempunyai emosi dan perasaan. Dalam masa sama, ramai lagi memberikan komen positif dan sokongan yang mana mereka berkongsi kisah kejayaan dalam perniagaan selepas mengikuti kelas saya.
“Bagi saya, ini lebih menggembirakan serta memberi semangat pada saya,” kata Najib yang sebenarnya mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan sejak di bangku sekolah.
“Pada usia 11 tahun ayah saya meninggal dunia. Ketika itu mak hanya pekerja kilang dengan pendapatan RM300 hingga RM500 sebulan. Malah, sejak kecil lagi saya bersama lima beradik lain tinggal dengan datuk. Dengan bantuan datuk juga, kami adik beradik cukup makan, pakai dan sekolah.
DARI SEKOLAH SUDAH BERNIAGA
“Dari sekolah lagi saya sudah berniaga dengan terbabit sebagai ketua koperasi di sekolah menengah. Pada 2004 saya sudah mula membuat perniagaan jualan langsung yang mana ketika itu masih menuntut di sebuah universiti awam tempatan.
“Kemudian, pada 2006 hingga 2008 saya terbabit dengan perniagaan menjual produk kesihatan. Saya buat jualan di sekolah, buka ‘booth’, masuk ekspo dan beberapa pejabat kerajaan. Dalam masa sama, sepanjang tempoh itu juga saya mula menjadi pelatih dengan memberi latihan kepada orang yang mahu mula berniaga.
“Semua yang saya buat ini bukan semata mata minat, tapi terpaksa sebab saya berasal daripada keluarga susah,” katanya yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi termasuk menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Perniagaan dan Pengurusan (MBA) di Anglia Ruskin University kampus Kolej FTMS Cyberjaya (2018).
Malah, Najib kini sedang menuntut di peringkat Kedoktoran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (DBA) di Open University Malaysia (OUM).
Daripada seorang jurujual, Najib membuat anjakan dalam kerjayanya apabila menukar strategi dengan terbabit dalam perniagaan secara dalam talian pada 2009. Berbekalkan pendapatan mencecah RM30,000 hingga RM50,000 sebulan, Najib mula dihimpit rakan dan orang sekeliling bagi mendapatkan rahsia kejayaan itu.
“Semua kawan bertanya macam mana saya boleh jualan hingga mencecah angka itu. Dari situ saya buat bisnes ‘coaching’ atau latihan hingga sekarang. Kebanyakan orang faham apabila berniaga hanya secara ‘offline’. Apabila mereka mula menyedari perniagaan dalam talian, saya ajar mereka cara nak bermula termasuk penggunaan ayat yang sesuai untuk tarik minat pelanggan.
“Alhamdulillah, pada 2020 saya membuat satu kelas berskala besar yang dihadiri 5,500 individu yang terdiri daripada usahawan pelbagai industri dan latar belakang. Pengalaman yang ada sepanjang terbabit dalam perniagaan dalam talian saya kongsikan kepada mereka. Ini juga berkat hasil saya berguru dengan Datuk Wira Dr Azizan Osman,” katanya.
Najib juga apabila menerusi syarikatnya dia sudah berjaya membantu lebih 400,000 usahawan menerusi e-book, video, buku, kelas dalam talian dan ‘offline’ yang dibuat secara percuma.
Baru-baru ini juga, syarikatnya memperoleh sijil Sirim ISO 9001:2015 yang membuktikan hasil kerja keras kakitangan Momentum yang mengikut segala prosedur.
Najib juga dinobatkan Anugerah Orang Muda Johor oleh DYAM Tunku Mahkota Johor selain menerima Anugerah Kepimpinan dalam Pemasaran peringkat Antarabangsa di Dubai tahun ini.
“Alhamdulillah, saya sudah berjaya membelikan sebuah rumah buat mak dan ibu bapa mertua. Pada 2019, saya hantar mak menunaikan haji. Baru-baru ini pula, saya membawa membawa isteri dan kedua mentua menunaikan haji. Rezeki nak tolong keluarga, Allah permudahkan semuanya,” katanya lagi.
Untuk rekod artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan
BACA LAGI : Bermula Dengan Percutian Di Jeju, Wanita Ini Kini Usahawan Pelancongan Berjaya Korea
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.