Dulu Datin Emylia Rosnaida, Kini Giliran Gadis Sabah Harumkan Nama Malaysia Di Pertandingan Miss Tourism International

Share

Nama Phoebe Ong Yi Huui mungkin belum terkenal lagi, namun gadis berusia 25 tahun ini menggalas tugas berat apabila dia terpilih untuk mewakili Malaysia ke pertandingan Miss Tourism International 2022 yang diadakan di Kuching, Sarawak.

Pheobe yang merupakan graduan jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dari University of Kent, United Kingdom bakal berentap dengan 39 lagi peserta lain yang datang dari seluruh dunia untuk merebut gelaran utama.

Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, pertandingan Miss Tourism International mula-mula diperkenalkan pada tahun 1994 dan merupakan sebuah pertandingan ratu cantik yang berpangkalan di Malaysia. Pertandingan ini mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Ketika itu, Datin Emylia Rosnaida merupakan pemenang pertama yang mewakili Malaysia untuk ke peringkat antarabangsa. Nasib menyebelahinya, wanita anggun ini berjaya menggondol gelaran naib juara.

Datin Emylia Rosnaida dengan mahkota dan sash yang dimenanginya 28 tahun lalu.

Berbalik kepada Phoebe, selepas 28 tahun kini dia merupakan wakilan terbaharu memegang tanggungjawab untuk memahat nama Malaysia selain memperkenalkan negara ini dengan lebih hebat di mata dunia.

Sebelum ini, dia terlebih dahulu memegang gelaran Miss Sabah Tourism 2022 apabila berjaya memenangi pertandingan tersebut di peringkat negeri sebelum menjadi juara di peringkat kebangsaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ini Wajah 9 Wakil Miss Universe Dari Asia Tenggara. Siapa Bakal Mengungguli Mahkota?

Memetik kata-katanya dalam satu hantaran di Instagram, “Saya berasa amat bersyukur dan bertuah kerana dinobatkan sebagai Miss Malaysia Tourism 2022 dan juga tiga gelaran lain iaitu Best in Talent, Miss Charm dan Miss Artisan Bakery. Seluruh perjalanan itu tidak mudah tetapi semuanya berbaloi pada akhirnya

Gadis berketurunan cina ini turut berkongsi bahawa pertandingan mengajar erti pengalaman dan juga persabahatan. “Menang atau kalah bukanlah perkara yang paling penting dalam pertandingan tetapi ia adalah tentang pengalaman yang kami peroleh dan persahabatan yang kami bina.

“Saya sangat gembira dapat mengenali 15 rakan baru dari negeri yang berbeza dan menghabiskan 8 hari yang tidak dapat dilupakan bersama,” ujarnya.

Selain Datin Emylia Rosnaida yang berjaya mendapat gelaran naib juara. Pada tahun 2011, wakil Malaysia, Gabriella Robinson menjadi wakil pertama negara yang menjadi pemenang dan mengungguli takhta pertandingan tersebut.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen