Dulu Punggung Gerutu Jadi Punca, Terkini Rendam Baju Lama Asbab Pasangan Muda Bercerai

Share

Pada tahun 2018, Hannah Yeoh yang ketika itu menjadi Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pernah mendedahkan di Parlimen 23 punca pasangan muda bercerai.

Walau nampak lucu tapi memalukan untuk disebut oleh bekas Timbalan Menteri ini ialah punggung pasangan yang menggerutu menjadi sebab utama pasangan muda bercerai.

Ternyata, di tahun 2020, punca-punca remeh masih lagi menduduki carta utama punca pasangan muda berusia di antara 25-30 tahun di bawah usia perkahwinan lima tahun memilih untuk meleraikan ikatan perkahwinan.

Jika dulu punggung menggerutu tapi trend terkini, rendam baju terlalu lama hingga berbau jadi asbab cerai. Bukan itu saja, kegilaan pasangan mengadap gajet terlalu lama juga jadi punca bercerai hari ini.

Errmmm…

Fakta itu mungkin menakutkan bagi korang yang belum berumahtangga tapi jika tidak benar-benar bersedia tak usahlah berkahwin awal. Ye tak?

Pilihlah berkahwin bila korang dah benar-benar yakin dapat menjadi imam solat pada isteri di rumah, solat 5 waktu yang tak pernah ditinggalkan selain faktor lain. Tapi kalau perkahwinan sekadar untuk rasa seronok selain nafsu, alangkah ruginya kehidupan.

Memetik sumber dari Harian Metro, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, trend cerai di kalangan pasangan di bawah usia lima tahun sebabnya nampak remeh. Malah kebanyakan kes dilaporkan membabitkan tuntutan cerai oleh pihak suami.

Menurut Musa, antara alasan yang kedengaran lucu, tetapi menjadi punca perceraian adalah sikap pasangan seperti tidak mencuci pakaian atau merendamnya terlalu lama dalam baldi hingga berbau.

Katanya, alasan lain diterima adalah berpisah disebabkan tabiat pasangan yang taasub dengan permainan video dan leka bermain telefon bimbit.

"Pelbagai alasan diberikan pasangan, tetapi trend terkini menunjukkan punca perceraian berkait rapat dengan penggunaan aplikasi di telefon pintar.

"Antaranya Facebook (FB), Instagram (IG), WhatsApp, Messenger dan lain-lain lagi.

"Kewujudan teknologi ini juga menyebabkan suami memilih melafazkan cerai dengan cara yang lebih moden iaitu menerusi medium berkenaan," katanya.

Musa berkata, biarpun lelaki berhak menceraikan isteri, mereka seharusnya berfikir panjang sebelum mengambil keputusan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN, BACA SINI
23 Alasan MENGARUT Pasangan Muda Tuntut Cerai, #1 Punggung Isteri Menggerutu & Minta 30 Set Persalinan Pakaian
Cinta Sejati, Sehidup Semati! Suami Isteri Meninggal Selang 2 Hari Di Madinah Ketika Umrah
Brad Pitt & Jennifer Buktikan 4 Sebab ‘Exes’ Boleh Berkawan

Lelaki pemimpin & jangan ikut emosi

"Ada sebab mengapa Allah SWT beri kuasa talak kepada suami dan satunya daripadanya adalah kerana lelaki adalah pemimpin dan lazimnya tidak bertindak mengikut emosi.

"Namun, situasi sekarang berbeza kerana segelintir lelaki pula dilihat mengikut emosi sedangkan seburuk mana pun isteri, suami sepatutnya bertahan.

"Jika mahu bercerai sekalipun, biarlah mengikut prosedur yang betul, bukannya dengan melafazkan talak di luar mahkamah," katanya.

Menurut Musa, hal itu mungkin berlaku disebabkan kuasa menjatuhkan talak adalah hak mutlak suami dan kecenderungan segelintir lelaki melihat keburukan pasangan mereka.


Katanya, faktor lain adalah kerana kurangnya pengalaman dalam mengendalikan masalah atau konflik rumah tangga hingga memilih untuk berpisah.
"Usia perkahwinan yang masih baru menyebabkan mereka belum mencapai tahap kematangan dalam rumah tangga.

"Berdasarkan rekod persatuan dan aduan diterima, kes ini lazimnya membabitkan lafaz talak yang dijatuhi di luar mahkamah.

"Setiap kali aduan sampai ke pengetahuan persatuan, kita akan meminta ahli (pengamal undang-undang syariah) untuk mengendalikan kes," katanya.
Menurut Musa, ahli persatuan iaitu peguam syarie yang mengendalikan kes akan mengesyorkan pasangan terbabit rujuk semula.

"Segelintir pasangan lembut hati, tetapi ada juga tetap dengan pendirian mereka," katanya yang berpengalaman sebagai peguam syarie sejak 1999.

Published by
Almaswa Haji Che Ros