Filem animasi tempatan sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila Ejen Ali The Movie telah terpilih di dalam barisan pencalonan akhir 16 filem yang bakal bertanding untuk kategori Anugerah Filem Animasi Terbaik pada edisi ke-24 Cartoons on the Bay – Pulcinella Awards.
Dijadualkan akan berlangsung pada 3 hingga 5 Disember 2020 di Perscara, Itali, filem ini berjaya menempatkan dirinya sebaris dengan lebih 350 karya animasi hebat dari 20 buah negara serata dunia.
Festival Cartoons on The Bay yang mula diperkenalkan pada tahun 1996 bertujuan untuk mendedahkan himpunan karya animasi Itali, mula mendapat perhatian dan menjadi antara acara terpenting di dalam kalendar industri kanak-kanak antarabangsa.
Panel juri antarabangsa yang terpilih untuk menilai kategori filem pada tahun ini adalah Stefania Ulivi (Wartawan, Corriere della Sera), Arianna Finos (Wartawan, La Repubblica) dan Flavio Natalia (Pengarah dan Wartawan, CIAK).
Ejen Ali The Movie juga turut mendapat pengiktirafan di peringkat Asia Tenggara apabila diberi penghormatan untuk mewakili Malaysia ke ASEAN Film Week 2020 yang akan berlangsing di tiga bandar besar Vietnam iaitu Hanoi, Da Nang dan Ho Chi Minh.
10 negara ASEAN telah diundang untuk mencalonkan filem terbaik mereka melalui pemilihan persatuan filem negara masing-masing selaras dengan tema “ASEAN Cohesion and Proactive Adaptation”. Selaku wakil rasmi negara Malaysia, Ejen Ali The Movie akan dipertontonkan dalam siri tayangan awam secara percuma.
Kejayaan siri animasi TV Ejen Ali yang mula bersiaran pada tahun 2016, telah berjaya meraih keuntungan lebih dari RM30.8 juta di carta pecah panggung Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia, sekaligus menjadi filem pilihan #1 Malaysia pada tahun lalu.
Tahniah diucapkan buat seluruh team produksi Ejen Ali The Movie. Semoga banyak lagi filem-filem tempatan yang akan membawa nama Malaysia ke peringkat dunia.