Ejen Dan Agen. Apakah Perbezaan Kedua-Dua Perkataan Ini?

Share

Banyak pengguna bahasa khususnya para pelajar bertanya tentang perbezaan antara kata “agen” dengan “ejen”. Pada kesempatan ini, kedua-dua kata akan dijelaskan agar pengguna bahasa faham dan tidak melakukan kesalahan bahasa pada masa akan datang.

Kedua-dua perkataan “agen” dan “ejen” merujuk perkataan daripada bahasa Inggeris yang sama iaitu agent.

Namun, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kedua-dua perkataan ini merujuk bidang yang berbeza.

Ejen: Orang (syarikat dan sebagainya) yang menjalankan perniagaan untuk orang lain, orang yang diupah dan digunakan untuk mewakili dalam urusan jual beli.

Agen: Sesuatu yang menyebabkan berlakunya tindak balas (proses dan sebagainya)

Lihat perbezaan antara kedua-dua perkataan ini dalam ayat di bawah:

  1. Puan Rosnah ejen insurans yang dipercayai.
  2. Asid ialah agen kimia yang penting.

Secara ringkasnya, “ejen” merujuk manusia manakala “agen” merujuk bukan manusia. “Ejen” digunakan untuk orang, wakil syarikat dan sebagainya manakala “agen” kebiasaannya digunakan dalam bidang sains dan teknologi untuk menggambarkan berlakunya sesuatu proses atau tindak balas. Kesimpulannya, kedua-dua perkataan ini digunakan mengikut konteks dan bidang yang berbeza.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Atikel ini ditulis oleh NOR FAZILAH BINTI NOOR DIN

Published by
Penulis Jemputan