89% Kes Rogol Terjadi Di Rumah, Bapa Kandung Antara Si Pelaku Utama

Share

Tentu sebahagian dari kita  masih ingat kes seorang bapa yang merogol anaknya  ketika menunaikan ibadah umrah bersama-sama. Bermula dari tahun 2015, perbuatan  keji itu berterusan termasuklah ketika bulan Ramadan.

Bapa paling keji ini menghadapi sebanyak 632 pertuduhan jenayah sehingga menjadi berita luar biasa akhbar di negara ini.Trauma anaknya mulai beransur apabila bapa keji ini dijatuhkan hukuman penjara 48 tahun.

Hari ini, jenayah berada di sekeliling kita. Penjenayah hanya menunggu ruang dan peluang untuk melakukannya.

Menyebut isu rogol, jenayah ini sangat keji. Ia harus diberi perhatian dan diperbincangkan oleh masyarakat. Isu rogol bukan soal anak kau atau bukan anak aku tetapi keprihatinan masyarakat perlu wujud untuk mengelak trauma berpanjangan kepada mangsa.

Pendedahan eksklusif dari Majalah Remaja Online ini bakal membuatkan jantung anda tercabut.

Jika kita memikirkan bahaya wujud di luar, dalam rumah yang sepatutnya menjadi selamat sebagai tempat berlindung, sebenarnya jauh lebih tidak selamat buat anak-anak dan gadis remaja khususnya mereka di bawah usia 15 tahun ke bawah.

Kenapa?

Pendedahan dalam satu temuramah bersama  Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita & Kanak-Kanak  dari Ibu Pejabat Polis DRaja Malaysia Bukit Aman, Supt Siti Kamsiah Hassan, 48  bakal membuatkan kita terfikir, betapa kroniknya hati manusia bertopengkan nafsu ini.

Jenayah ada di mana-mana dan penjenayah hanya menunggu peluang tersebut – Supt Siti Kamsiah Hassan

Statistik dikeluarkan oleh unitnya memaklumkan, 89 peratus jenayah rogol di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun antara 2015-2017  berlaku dalam rumah  dan perogolnya sangat dekat dan dikenali oleh mangsa sendiri. Hanya 11 peratus jenayah ini  terjadi dari persekitaran luar.

Siapa pelaku paling keji yang merosakkan masa depan anak-anak ini? Sebagai gadis  bawah umur, rasa takut, tidak berdaya selain tidak tahu hendak mengadu kepada siapa selepas jenayah ini terjadi antara asbab jenayah rogol ini terus meningkat.

Bapa paling tinggi lakukan jenayah ini

Ternyata carta paling keji ini  diungguli oleh bapa kandung yang menanam benih terhadap anak sendiri dengan peratusan sebanyak 25.5 peratus.  Keji dan sungguh kejam!

Mungkin tidak pernah puas atau cuba menunjuk “handal” habis anak-anak dalam usia sangat muda menjadi mangsa kebinatangan ini. Bapa yang disifatkan sebagai pelindung dan bakal wali kepada anak perempuan ini ternyata musang berbulu ayam.

Haruan makan anak. Barangkali kali istilah haruan makan anak ini wajar ditukar kepada istilah PEROGOL DALAM RUMAH. Benarlah kata orang, di kalangan manusia ada juga berperangai binatang tetapi dalam kelompok binatang tiada seperti manusia.

 

 

 

Ternyata berdasarkan statistik bagi ketiga-tiga jenayah rogol, sumbang mahram dan seks luar tabie, kebanyakan kes melibatkan orang yang mangsa kenali.

So girls, beware dengan persekitaran kerana jenayah boleh bertukar pada bila-bila masa.

Siasatan akan dilakukan jika ada aduan

Dalam pada itu, jelas Supt Siti, pihak polis akan memulakan siasatan berdasarkan aduan.

“Sesetengah kes dilaporkan oleh ibu kepada mangsa. Ada juga dari lain-lain seperti saudara mara dan sebagainya. Sepatutnya, dalam menangani isu rogol ini, satu tindakan segera wajib diambil kalau kita tahu lebih awal.

“Tapi ada juga kes di mana ibu bertindak menyembunyikan kes kerana bimbang bercerai, diceraikan atau hilang tempat perlindungan. Dalam kes melibatkan kanak-kanak bawah umur, pihak polis biasanya akan membuat siasatan rapi. Membawa mangsa ke hospital, menjalani ujian dan dalam masa sama, kes ini akan dipanjangkan ke pihak JKM untuk sesi perlindungan dan kaunseling.

“Kita membantu mereka untuk pulih dari trauma. Sokongan emosi sangat penting buat mangsa. Pada usia mereka, sesetengahnya belum faham tentang apa yang berlaku,” katanya lagi.

Akta Digubal Lebih Melindungi Kanak-Kanak

Dalam memastikan nasib kanak-kanak di bawah umur terus dilindungi, mulai Julai tahun ini, satu akta baru yang lebih spesifik dalam menangani kesalahan seksual terhadap kanak2 telah dikuatkuasakan iaitu Akta  Kesalahan Seskual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Akta ini juga turut memperuntukkan seksyen kesalahan pornografi dan pengantunan kanak-kanak yang sebelum ini tiada diperuntukkan di dalam mana-mana undang-undang di Malaysia. Malah di bawah akta ini juga memperuntukkan hukuman penjara dan sebat tambahan jika pelaku jenayah adalah orang yang diberi amanah seperti guru, ahli keluarga, pengasuh dan lain-lain.

“Akta ini bukan sahaja memperuntukkan hukuman penjaranya lebih tinggi bahkan diperuntukkan hukuman sebatan, “katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Kanak-kanak seharusnya dilindungi

Ibu Takut Buat Aduan Kerana Takut Diceraikan Selain Hilang Mata Pencarian

Dalam pada itu Supt Siti turut memaklumkan, ada sesetengah kes jenayah rogol di rumah tidak diadukan kerana ibu berasa takut hilang punca pendapatan.

“Dalam sesetengah jenayah rogol di rumah, pelaku menggunakan kuasa utamanya. Mereka mengugut untuk bertindak lebih jauh jika kes diadukan kepada pihak berkuasa. Masa yang sama, pelaku juga bertindak sebagai penyara keluarga. Ibu atau isteri yang tidak bekerja selalu berasa serba salah dalam hal ini kerana mereka tiada sumber pendapatan.

 

“Kita sangat berharap stigma ketakutan ini dapat diatasi agar jenayah ini dapat dikurangkan,” katanya yang terus mengingatkan masyarakat untuk lebih berhati-hati kerana jenayah sentiasa wujud.

“Penjenayah biasanya menunggu peluang. Mereka tahu bila hendak bertindak. Masa yang sama, jika jenayah bermula dari rumah, pelakunya menggunakan kuasa yang ada. Jadi pihak polis amat berharap masyarakat sekeliling lebih peka demi memastikan kanak-kanak di bawah umur ini dilindungi sepenuhnya.

 

Bantulah anak-anak teraniya ini

Apa Peranan Kita Sebagai Masyarakat?

Apa tanggungjawab sosial kita sebagai masyarakat? Jika kita ternampak sesuatu yang mencurigakan, mengetahuinya, mendengar cerita dan lain-lain lagi, buat aduan segera ke balai polis. Biar pihak polis jalankan siasatan dengan teliti dan jika benar wujudnya jenayah, hukuman pasti akan dijatuhkan.

Buat gadis remaja di luar sana, hati-hati dengan jenayah rogol ini. Jangan takut buat aduan jika pernah terjadi kepada anda.

Sokongan kawan jika mengetahui hal ini, jangan segan untuk cerita pada guru agar satu siasatan dapat dilakukan. Jangan sampai kawan anda terlibat menjadi mangsa rogol, cabul atau liwat.

Jika anda pelajar universiti, pergi saja buat laporan ke balai polis. Jangan malu untuk bertindak.

Jenayah rogol dari rumah ini perlu dibanteras sehabis-habisnya.

Rumah seharusnya menjadi tempat selamat, bukan neraka dunia buat gadis di bawah umur.

Jom sertai kempen ini:-#StopPerogolDalamRumah.

TONTON VIDEO DI BAWAH TENTANG JENAYAH MENAKUTKAN INI!

 

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros