Bak kata pepatah, kecil-kecil cili api tapi jangan disangka tidak berbisa. Pada usia 17 tahun, Muhammad Adi Raimie yang juga mesra dipanggil Adi sudah bergelar sebagai seorang atlet lumba basikal tanah air. Tidak menganggap kelainan upayanya sebagai penghalang, Adi berjaya menjadi salah seorang atlet pelumba basikal skuad Paralimpik negara.
Dan semalam, Adi Raimie membuktikan kecekalannya dengan berjuang sepenuh hati memenangi pingat emas pertama buat kontinjen Asean Para Games negara menerusi acara ujian masa kategori C1, C2, dan C3!
Walaupun bakal berdepan dengan peperiksaan SPM tidak lama lagi, ia tidak menghalangnya untuk fokus dan menghadiahkan sebutir pingat emas yang cukup berharga. Anak sulung daripada tiga orang adik-beradik ini juga merupakan pelumba basikal termuda dalam skuad negara di Para Asean Games.
Sebelum bermulanya Asean Para Games, Remaja telah berkesempatan menemui wira negara ini dan menemu bualnya tentang impian, inspirasi, aspirasi serta rahsia di sebalik perjuangannya dalam sukan lumba basikal.
Bagaimana mula berkecimpung dengan dunia lumba basikal?
Saya mula melibatkan diri dengan sukan lumba basikal semasa berusia 14 tahun. Ia bermula dengan dorongan daripada ayah yang ingin melihat saya melakukan sesuatu yang cukup signifikan dalam hidup. Dia merupakan seorang bekas pemain hoki dan minat saya datang dari dia. Pada mulanya saya aktif dengan badminton. Namun, selepas mengenali basikal hati saya jatuh cinta dan minat saya terus bercambah. Ayah memberi saya pilihan sama ada badminton atau lumba basikal. Dan tanpa fikir panjang saya memilih lumba basikal.
Perasaan ketika pertama kali mewakili negara
Sudah semestinya saya berasa sangat bangga sekali. Saya sudah berjaya buktikan dengan usaha yang kuat sesiapa sahaja mampu berjaya. Saya harap dapat memberikan inspirasi kepada rakan sebaya agar tidak putus asa dan jangan jadikan apa jua kekurangan untuk menghalang kita mencapai kejayaan. Bergelar sebagai pelumba paling muda dalam skuad lumba basikal untuk ASEAN Para Games 2017 sudah cukup membuatkan saya berasa sangat bangga.
Boleh kongsikan rutin latihan harian kamu?
Setiap hari saya akan melakukan latihan di Pusat Kecemerlangan Suka Paralimpik yang terletak di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Pada paginya saya akan ke sekolah dan sebelah petang pula saya akan lakukan latihan. Sekali seminggu kami akan lakukan latihan kayuhan jarak jauh yang dikawal selia oleh jurulatih. Pada sebelah malam pula saya akan habiskan masa mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan kerja sekolah.
Tahun lalu menyaksikan tiga orang atlet Paralimpik meraih pingat emas di Paralimpik Rio 2016. Adakah kejayaan mereka memberikan impak kepada kamu?
Seperti rakyat Malaysia yang lain, saya berasa sangat bangga dengan kejayaan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly. Pingat emas yang dibawa pulang oleh mereka dari bumi Rio telah menjadi satu fenomena. Mereka memberikan isnpirasi kepada saya dan atlet para yang lain untuk lebih yakin dan berjaya. Saya lihat masyarakat juga menjadi lebih membuka mata dan memberikan sokongan buat atlet para. Peranan Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara juga memainkan peranan sangat penting. Semoga sokongan ini berterusan agar saya dan rakan-rakan boleh mencapai kejayaan sama seperti mereka.
Siapakah idola kamu dalam sukan basikal?
Tidak lain tidak bukan Azizulhasni Awang, The Pocket Roxket Man! Saya pernah bertemunya dahulu dan berasa sangat teruja berjumpa dengan idola ini. Dia berpesa agar saya terus berlatih bersungguh-sungguh dan tidak mudah putus asa. Bagi saya dia merupakan pelumba basikal terbaik pernah lahir di bumi Malaysia.
Foto: Izahari Rosli