Hujan lebat yang melanda negara dijangka bakal berlarutan sehingga Mac ini berikutan fasa monsun Timur Laut telah pun bermula. Beberapa negeri juga dilaporkan turut terjejas dengan banjir dan antara yang terkesan teruk adalah negeri Pahang Darul Makmur.
Banyak video yang tular di media sosial memaparkan situasi sebenar yang berlaku kepada mangsa banjir dan paling menyayat hati apabila melihat keadaan mereka, terutamanya anak kecil dan barangan berharga hanyut begitu sahaja.
Tidak kurang juga dengan kenderaan yang terkandas akibat kereta dinaiki air. Perkara ini antara yang paling dirisaukan kerana kos untuk menyelenggara kereta yang ditelenggami air ini bukannya murah.
Ekoran daripada situasi ini, Team Automotif GiatMara Bentong Pahang telah berkongsi beberapa tip SOP kenderaan yang boleh korang ikut ketika waktu banjir ini.
Antaranya adalah seperti berikut:
1. Tanggalkan terminal bateri dan keluarkan daripada kereta supaya tidak berlaku ‘short circuit’ pada sistem elektronik
2. Kenal lokasi ECU (Electronic Control Unit) untuk Engine Management Control- Tanggalkan dan simpan ditempat selamat
3. Tutup paip ekzos supaya tidak dimasuki air
Dengan melakukan SOP ini, dijelaskan bahawa kos membaiki dapat dikurangkan sekiranya kereta korang ditenggelami air 100 peratus. Sekiranya air banjir dah surut, cuci komponen elektronik dengan air bersih supaya tidak berlaku karat.
Bagi korang yang tinggal di kawasan berisiko banjir, mungkin ini adalah cara terbaik untuk sekurang-kurangnya korang menjaga kereta daripada berlaku sebarang kemungkinan.
Apa-apa pun kami doakan agar semua mangsa banjir dilindungi dan semoga mereka terus kuat melalui ujian ini.
Sumber: Armada Bersatu Bentong