
Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak begitu stabil sejak dua tahun akibat pandemik COVID-19, ramai individu yang terkesan terutamanya daripada segi kewangan. Oleh yang demikian, masing-masing cuba untuk mengehadkan perbelanjaan dan membuat pembelian dengan bijak.
Seperti yang kita semua sedia maklum, kenderaan adalah antara keperluan terpenting dalam kehidupan seharian. Bagi mereka yang baharu sahaja mendapat pekerjaan dan ingin membeli kenderaan, mungkin ada yang berniat untuk membeli kereta terpakai dek kerana ingin meminimumkan perbelanjaan, lebih-lebih lagi dalam situasi getir seperti sekarang.

Tidak salah jika ingin membeli kereta second hand, tetapi ada banyak perkara yang korang kena ambil kira sebelum memilih. Pembeli wajib memeriksa kondisi kenderaan terlebih dahulu sebelum meneruskan pembelian.
Apa yang perlu kita elakkan adalah membeli kereta yang pernah terlibat dalam kemalangan. Macam mana korang nak tahu cara untuk mengelakkan daripada terbeli kenderaan tersebut?

Perkara pertama yang harus korang lakukan ialah untuk mendapatkan pengesahan sama ada kereta terpakai itu pernah melalui tuntutan insurans atau tidak.
Korang perlu mencatat nombor chassis atau Vehicle Identification Number (VIN) kereta berkenaan. Masukkan nombor ini di laman web MyCarInfo dan ikut langkah-langkah yang diberikan dan seterusnya korang boleh dapatkan Vehicle Check Report (laporan pemeriksaan kereta).

Walau bagaimanapun, cara ini tidak begitu 100 peratus tepat sama ada kereta berkenaan pernah terlibat dengan kemalangan atau tidak kerana mungkin sahaja pemilik sebelum menggunakan wang sendiri untuk membaiki tanpa menggunakan insurans. Ini adalah cara bagi sesetengah pemilik supaya rekod NCD (no claim discount) bersih suci.
Macam mana pula nak kesan kereta yang pernah ditenggelami banjir?
Situasi ini sedikit sukar untuk dikesan, namun masih ada beberapa petanda yang boleh korang periksa. Korang mungkin boleh cari petanda kecil seperti kesan tanah, lumpur atau pasir di dalam kereta. Selain itu, kereta mangsa banjir juga mungkin ada kesan kulat pada kerusi atau fabrik pintu. Jika ruang enjin ada kesan lumpur atau berpasir, ia boleh jadi petanda yang kereta tersebut pernah jadi ditenggelami banjir.

Cara ini mungkin tidak dapat disahkan 100 peratus namun setidaknya ada usaha-usaha yang boleh korang lakukan untuk tidak tersalah membeli kereta terpakai.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: (1)
https://www.youtube.com/watch?v=lStme5i2ZCw&t=393s
Atlet Malaysia Tambah Bersemangat! Battleground Malaysia: Road To Gold Antara Usaha KBS Untuk Meraih Pingat Emas Olimpik

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan pembentukan pasukan projek Road to Gold dengan objektif untuk menyelaras usaha negara bagi meraih pingat emas di Sukan Olimpik.
Jawatankuasa ini akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Belia dan Sukan YB Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri (Dr.) Norza Zakaria.
Dengan mengambil kira struktur dan kaedah pelaksanaan projek Olimpik sebelum ini serta baki tempoh hanya setahun sahaja bagi menghadapi Olimpik Paris pada tahun hadapan, jawatankuasa ini akan menyediakan rangka kerja jangka panjang meliputi Paris 2024 dan Los Angeles 2028.
Jawatankuasa ini akan bekerjasama dengan Program Podium sedia ada yang mana ia memberi tumpuan kepada program persediaan atlet elit meliputi latihan harian, latihan di luar negara.
Program itu termasuk lebih pendedahan kepada pertandingan dalam dan luar negara, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri.
Manakala bagi Sukan Paralimpik, program emas para atlet diteruskan di bawah Program Podium di peringkat Majlis Sukan Negara (MSN).
Jawatankuasa Road to Gold ini akan memperkasakan Program Podium sedia ada yang diketuai oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) melalui pemantauan di peringkat Kementerian.
Ini akan mengukuhkan lagi jawatankuasa yang akan memberi fokus kepada menghapuskan sekatan, mengatasi had sedia ada dan menyediakan sokongan tambahan untuk bakal pemenang pingat negara.
Sokongan tambahan yang diperlukan akan disesuaikan mengikut keperluan setiap individu yang berpotensi melalui konsultasi dengan atlet dan jurulatih masing-masing serta tidak terhad kepada sokongan fizikal sahaja malah bagi keseluruhan kesejahteraan diri atlet.
Keperluan ini akan diberikan tertakluk kepada semakan berkala dan komitmen daripada atlet yang berpotensi untuk memenangi pingat.
Semua pelantikan adalah atas dasar sukarela, sebagai sebahagian daripada usaha pembinaan negara (nation-building) secara kolektif.
Di samping itu, Jawatankuasa ini juga akan secara aktif membina kerjasama strategik dengan sektor korporat agar mereka turut terlibat dalam projek nasional utama ini.
Peranan Chef de Mission dan timbalannya juga akan mencerminkan asas Jawatankuasa ini yang terdiri daripada pentadbir berkepakaran dan atlet bertaraf dunia.
Turut melengkapi Jawatankuasa ini ialah personaliti atlet utama negara iaitu Timbalan Chef de Mission, Datuk Nicol Ann David, Datuk Wira (Dr.) Lee Chong Wei dan legenda hoki, Datuk Mirnawan Datuk Haji Nawawi.


Mereka telah dipilih atas kepakaran serta pengalaman mereka yang tidak ternilai dan menjadi jambatan kukuh antara jawatankuasa dengan atlet Road to Gold yang dipilih.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League iaitu Datuk Stuart Ramalingam yang juga Ahli Lembaga Pengurusan MSN pula akan memegang jawatan sebagai Penyelaras Projek bagi jawatankuasa ini dan dibantu oleh Pn. Michelle Chai.
Latar belakang Datuk Stuart menjadikannya calon yang sesuai kerana peranan itu memerlukan kepakaran bagi menjalinkan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan secara strategik dalam memastikan objektif Jawatankuasa tercapai.
Kedua-dua Datuk Stuart dan Michelle membawa bersama mereka pengalaman kerja yang luas dengan badan dan agensi sukan antarabangsa.
Tugas segera Jawatankuasa ini adalah untuk mengenal pasti keperluan tambahan yang diperlukan bagi menjayakan misi meraih emas di Olimpik.
Jawatankuasa ini dianggotai oleh gabungan pentadbir dan bekas atlet seperti berikut:
Pengerusi bersama
YB Hannah Yeoh
YBhg. Tan Sri (Dr.) Norza Zakaria
YBhg. Datuk Haji Hamidin bin Haji Mohd. Amin (Ahli Majlis FIFA), Chef de Mission
YBhg. Datuk Nicol Ann David, Timbalan Chef de Mission
Penyelaras Projek
Datuk Stuart Ramalingam
Pn. Michelle Chai, Pembantu Penyelaras Projek
Ahli Jawatankuasa:
YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan
En. Ahmad Faedzal bin Mohd. Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara (ISN)
YBhg. Dato’ Ahmad Najmi bin Abdul Razak
YBhg. Datuk Wira (Dr.) Lee Chong Wei
YBhg. Dato’ Mirnawan bin Datuk Haji Nawawi

Layari laman sesawang https://www.kbs.gov.my/home dan juga media sosial KBS untuk menyertai inisiatif ini.
Battleground Malaysia: Road to Gold merupakan sebuah inisiatif bersama Kementerian Belia dan Sukan yang diperkasakan menerusi program Rakan Muda iaitu Rakan Ekspresi dan Rakan Muzik!
Battleground Malaysia: Road to Gold akan dihoskan dalam tiga bahasa oleh Sherry Alhadad, Dennis Yin dan Saint TFC manakala selebriti versatile iaitu Zizan Razak akan memegang tanggungjawab sebagai juri.
Saksikan Battleground Malaysia: Road to Gold menerusi Astro RIA (Saluran 104) & SHOWCASE (Saluran 413) setiap Jumaat, 10 malam. Rancangan ini juga boleh distrim di aplikasi Astro Go.
Untuk info, Pertandingan ini memaparkan empat kapten tarian terkemuka yang ditugaskan untuk memilih troopers seramai sepuluh orang berdasarkan kebolehan menari mereka.
Kapten-kapten ini terdiri daripada pemenang pingat emas Sukan SEA acara Breaking iaitu Lego Sam, wakil Malaysia ke Sukan SEA, Khenobu, ahli kumpulan muzik 3P (Threee Production) Danny Lee dan juara Astro Battleground 2010 & 2011, Seven.
Mereka akan membentuk pasukan masing-masing dengan menguji kemahiran penari-penari yang bertanding menerusi pelbagai cabaran.
Rancangan ini turut membawa penari-penari dari pelbagai latar belakang untuk bertarung dengan gaya street dance mereka. Hanya penari yang terhandal akan kekal dalam pertandingan ini.
Astro akan mengadakan grand finale secara langsung pada 3 November di mana hanya pasukan tarian terhandal akan bertanding di hadapan juri-juri antarabangsa.
Pasukan juara akan membawa pulang RM100,000, manakala naib juara akan menerima RM30,000. Selain daripada itu, peserta-peserta dalam pasukan juara akan bersaing sesama sendiri untuk memenangi hadiah tambahan RM25,000.
Terjerat Bisnes MLM, Buat Pinjaman RM30 Ribu. Akibatnya, Wanita Ini Hampir Muflis

Sistem perniagaan yang mengamalkan konsep pemasaran pelbagai peringkat atau popular dikenali sebagai multi-level marketing (MLM) menjadi modus operandi pelbagai jenis perniagaan di Malaysia. Jika kita hendak kenal dengan perniagaan jenis ini mudah sahaja, mereka yang cuba merekrut anda sebagai rakan perniagaan baharu atau ‘downline’ akan menabur janji manis dengan segala bentuk kemewahan.
Pendapatan yang dijanjikan boleh mencecah sehingga ke lima angka dengan insentif seperti melancong ke luar negara dan juga dihadiahkan kereta mewah antara keindahan yang menjadi senjata untuk mencari individu menyertai perniagaan tersebut. Hakikatnya, yang berjaya ke atas hanyalah segelintir sahaja. Konsepnya mudah, semakin banyak ‘downline’ semakin kayalah orang yang di atas.
REMAJA menemubual Nadia Nadzaruddin,34, yang pernah terjerat dengan perniagaan ini pada tahun 2017. Diyakinkan oleh teman sendiri untuk menyertai sebuah perniagaan MLM yang fokus menjual pelbagai produk dari korset, produk kecantikan, produk kesihatan, produk penjagaan kereta sehinggalah pes makanan, dia kini menanggung beban hutang RM30 ribu dan hampir muflis kerana terjerat dengan bisnes tersebut. Segala janji yang ditabur pada awal menyertai bisnes tersebut umpama menanam tebu dipinggir bibir oleh si sahabat.
“Mulanya saya terjebak dengan bisnes MLM ini kerana mahu mencari pendapatan tambahan walaupun sudah bekerja ketika itu. Impian hanyalah mahu ada wang sampingan yang boleh dilakukan secara sambilan dan santai pada masa yang sama boleh menjana satu lagi pendapatan yang lain,” kongsinya apabila ditanya bagaimana dia boleh terdetik untuk menyertai bisnes berkonsepkan MLM.
Pendapatan yang dijanjikan setiap bulan menjadi faktor kenapa wanita kecil molek ini terpedaya dan dikaburi dengan janji manis yang ditabur. Ditambah pula dengan semangat berkobar untuk mencari pendapatan tambahan menjadikan dia meneruskan niat untuk melibatkan diri.
“Saya menyertai dengan perniagaan ini lebih kurang setahun. Pada bulan pertama, memang saya dapat wang insentif seperti yang dijanjikan dan merasa pendapatan tambahan yang sangat ekstra. Tetapi selepas itu kalau saya mahu kekalkan pendapatan seperti yang saya dapat ketika bulan pertama, saya perlu melakukan jualan barang contohnya sebanyak RM15 ribu kemudian barulah boleh dapat pendapatan yang seperti yang diperolehi ketika bulan pertama.
“Tapi bagaimana saya nak jana nilai penjualan sebanyak itu? Biasalah, dalam sistem MLM kita tak boleh buat bisnes seorang diri. Saya kena cari orang bawah, jadi bila ada orang bawah baru boleh berkembang. Sebenarnya, ketika itu saya sudah perasan yang apabila lagi ramai orang bawah yang kita dapat rekrut maka lagi banyak jualan yang boleh dibuat dalam sebulan,” ujarnya menceritakan pengalamannya.
Yang manis semua ditabur, yang pahit semua disorok. Inilah yang boleh REMAJA katakan mengenai mereka yang mahu mencari orang bawahan untuk menampung jualan mereka. Menurut Nadia lagi, segala kepayahan untuk melakukan jualan dan juga keburukan tidak diceritakan oleh individu yang merekrut dirinya. Apa yang dihujahkan adalah nilai wang yang banyak yang bakal diperoleh. Bila sudah menyertainya barulah dia tersedar yang ia tidak seindah yang dijanjikan.

REMAJA tertarik untuk mengetahui keputusan nekad dirinya sampai sanggup melakukan pinjaman sebanyak RM30 ribu semata-mata untuk lebih maju di dalam perniagaan MLM. Bukan sedikit nilai wang tersebut.
“Yang mencadang untuk saya membuat pinjaman adalah orang yang merekrut saya juga, dia meyakinkan saya untuk membuat pinjaman dan ada stok saya sendiri agar tidak perlu bersusah-payah mengambil stok setiap kali ada pembelian kerana stok sudah ada dalam simpanan sendiri. Ketika itu tengah teruja dan dikaburi dengan janji manis duit yang akan diperolehi, memang saya tak berfikir panjang.
“Kesudahannya apabila tiada orang bawahan yang hendak beli memang tidak terjual produk-produk itu semua. Sebab sebenarnya yang membeli dari kita adalah orang yang direkrut sebagai ‘downline’ juga. Kalau nak tahu, ketika saya membuat pinjaman untuk membeli stok tersebut saya ada pinjaman lain yang berbaki hanya RM5 ribu sahaja, jadi dengan wang pinjaman baharu, saya tutup hutang lama dan menganggung hutang lain pula,” ujarnya dengan nada sedikit kesal atas keputusan yang dibuat ketika itu.
Menurut Nadia lagi, sahabat yang merekrut dirinya berjaya melayakkan diri untuk mendapat insentif trip pelancongan ke luar negara sebaik sahaja dia melakukan pembelian produk bernilai RM20 ribu untuk dijadikan stok. REMAJA terbayang dan tertanya-tanya, jadi apabila stok yang banyak tidak terjual, apakah yang dilakukan oleh individu yang merekrut yang dikenali sebagai upline untuk membantu downline mereka?
Jawab Nadia, “Bayangkan ketika itu saya hanya mampu menjual lebih kurang lapan produk sahaja sebulan. Upline ketika itu tidak berbuat apa-apa, hanya terus menyokong dan memberitahu berapa ramai yang perlu dicari untuk membeli. Ada kelas coaching dilakukan menerusi aplikasi whatsapp, mereka berkongsi input namun tidak ada istilah untuk mereka membantu kita mencari downline. Mula-mula rasa terkapai-kapai, tetapi selepas itu saya cuba memahami dan mencuba untuk menjual.
“Sehinggalah stok-stok semua tidak terjual. Saya guna untuk kegunaan sendiri dan beri kepada ahli keluarga secara percuma selain jual dengan harga yang jauh lebih murah berbanding kos. Kesudahannya, secara jujur bila dah sampai tarikh luput, saya kumpulkan di dalam kotak dan buang di tong sampah.”
Apa hendak dikata, nasi sudah menjadi bubur. Perkara yang boleh dilakukan oleh Nadia adalah bangkit untuk berdepan dengan kesilapan yang dilakukannya. Pada permulaan dia perlu membayar sehingga RM800 sebulan bagi membayar semula pinjaman, namun kini dengan bantuan Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit dia hanya membayar RM350 sahaja sebulan. Jika lalai dalam melakukan pembayaran dia boleh dikenakan status muflis. Apabila nama sudah tersenarai di dalam sistem AKPK adalah sukar baginya untuk melakukan sebarang pinjaman walaupun bergaji besar.
Nadia berpesan, “Jangan sesekali tertipu dengan perniagaan yang menjanjikan keuntungan yang luar biasa apatah lagi dengan sistem yang perlu mencari downline. Kini, kalau saya terdengar rakan-rakan atau ahli keluarga yang mahu menyertai perniagaan MLM saya akan berpesan kepada mereka supaya tidak mengulangi kesilapan yang saya lakukan.”
Kepada pembaca REMAJA di luar sana, jadikan kisah wanita ini sebagai satu pengajaran agar tidak terlalu ralit melihat kemewahan yang dipaparkan sesetengah modus operandi perniagaan sehingga menjerat diri sendiri. Kejayaan itu bukan datang bergolek, duit juga tidak terbang melayang begitu sahaja. Kaji dahulu jenis perniagaan yang hendak diceburi. Konsep perniagaan yang perlu mencari downline lebih kepada menyusahkan, jika tidak berjaya merekrut orang dan ditambah pula lambakan stok yang tidak terjual, siapakah yang bakal tanggung rugi? Tepuk dada tanya selera.
*** Penulis pun pernah diperdaya teman kononnya nak keluar makan. Sekali dibawanya ke tempat ceramah MLM, disitulah ada makan-makan. Memang ramai sungguh manusia. Bermacam dakyah digunakan, kononnya jadi kaya hantar mak ayah ke Mekah. Berjaya dalam bisnes boleh memandu BMW, boleh beli rumah banglo bertingkat-tingkat. Umph! Terus penulis keluar dewan, panggil teksi dan balik rumah. Sebab kawan tu yang jemput! Tapi khabarnya, kawan tu masih lagi pakai kereta lama takde pula berganti Mercedes Benz!
+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
PdPR Terus 25 Hari, SPM 2021 Pula Tunda Ke Tahun Hadapan

Sesi pengumuman secara langsung oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi saluran Didik TV pada pagi hari ini telah mendapat reaksi yang bercampur-aduk daripada masyarakat, terutamanya di kalangan para pelajar sekolah dan ibu bapa.
Dalam sesi tersebut, Dr Radzi Mohd Jidin telahpun mengesahkan jangkaan ramai pihak apabila perlaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan terus disambung bagi tempoh 25 hari lagi apabila sesi persekolahan dibuka semula pada 13 Jun bagi kumpulan A dan 14 Jun bagi Kumpulan B.
Kumpulan A yang dimaksudkan ialah negeri-negeri seperti Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Manakala, negeri selebihnya seperti Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Putrajaya & Labuan, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah dan Sarawak pula tergolong dalam Kumpulan B.
Arahan sesi PdPR selama 25 hari itu akan berkuat kuasa hinggalah tiba cuti pertengahan penggal pada 16 dan 17 Julai kelak.

“Kemudian, pada 16 Julai hingga 25 Julai, ada satu lagi cuti pertengahan penggal dan (sesi persekolahan) akan dibuka semula selepas 25 dan 26 Julai.
“Apakah pendekatannya pada waktu itu, kita akan umumkan sebelum sekolah dibuka pada 25 dan 26 Julai nanti,” katanya.
Tunda SPM Ke 2022
Dalam pada itu, Dr Radzi juga memaklumkan bahawa peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan dibawa ke bulan Mac 2022.
Sementara itu, ujian lisan dan amali sains SPM 2021 pula akan dilaksanakan pada bulan Februari 2022 iaitu kira-kira sebulan sebelum peperiksaan bertulis.
Penundaan SPM dari akhir tahun ini ke bulan Mac 2022 ini adalah demi memberikan ruang persediaan yang cukup bagi para pelajar serta tenaga pengajar sepanjang tempoh sembilan bulan bermula sekarang. Jelasnya, perkara ini telah diputuskan selepas pertimbangan keadaan dan cabaran semasa pada tahun ini.
Terdahulu, Dr Radzi telah mengumumkan bahawa keputusan peperiksaan SPM 2020 akan diumumkan pada 10 Jun ini secara sistem mesej atau di laman web.
ARTIKEL BERKAITAN : Alert! Keputusan SPM 2020 Bakal Diumumkan Pada Khamis Depan, Ini Cara Untuk Semak.. – REMAJA