Takziah diucapkan kepada keluarga kelima-lima pelajar USAS yang rentung akibat kemalangan maut dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora.
Semua mangsa dilaporkan terperangkap selepas berlaku kebakaran melibatkan sebuah kereta dan dua buah treler.
ARTIKEL BERKAITAN : 5 Pelajar USAS Jadi Korban Kemalangan Dengan Trelar Di Terowong Menora
Kemalangan sebegini bukan kali pertama didengari dan sering kali melihat kemalangan maut membabitkan lori dan kereta. Ada sesetengah kenderaan dilihat gagal memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan kenderaan besar ini.
Tahukah, untuk mengelak kemalangan maut dengan kenderaan besar ini kita harus mengetahui blind sport atau titik buta lori adalah sangat besar hingga mereka gagal melihat kenderaan yang datang dari belakang dan tepi sebelah kiri.
TITIK BUTA
Apa yang dimaksudkan dengan titik buta? Titik buta merupakan kawasan sekeliling kenderaan yang tidak dapat dilihat secara langsung oleh pemandu. Ia merupakan salah satu punca berlakunya kemalangan jalan raya.
Bukan hanya lori tetapi semua kenderaan mempunyai titik buta dan yang membezakan adalah jarak setiap satu darinya. Tidak semua pemandu dapat melihat kenderaan yang mengikutnya terlalu rapat atau pun sedang memotong. Ia disebabkan oleh reka bentuk sesebuah kenderaan dan juga penglihatan pemandu yang terbatas.
Namun yang paling bahaya dan perlu diambil tahu ialah berkongsi jalan raya dengan lori. Ini kerana lori mempunyai titik buta yang sangat besar.
Elakkan berada pada posisi ini kerana jika pemandu treler kehilangan kawalan ke atas kenderaan tersebut ataupun terpaksa menukar lorong dengan tergesa-gesa, korang akan dihimpit oleh kenderaan berat tersebut tanpa disedari pemandu. Kalau dah kena himpit tak kira kereta model apa yang korang pandu memang bawa-bawalah mengucap.
Memotong Treler
Jika korang terpaksa memotong, pastikan memotong dengan secepat mungkin. Jangan terhegeh-hegeh ataupun berada pada kedudukan selari untuk jangka masa yang lama. Lagi lama korang ada di posisi tersebut, lagi terdedahlah kepada risiko kemalangan.
Letupan Tayar Treler
Satu lagi ialah bahaya letupan tayar kenderaan berat. Tayar kenderaan berat bukan hanya bersaiz besar tetapi ia juga mempunyai tekanan yang tinggi berikutan berat bebanan yang dibawa serta suhu operasi yang tinggi.
Letupan tayar juga akan mengakibatkan pemandu hilang kawalan dan membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain. Jika korang mengesan kenderaan berat dengan masalah pada bahagian tayar beri ruang untuk mereka dan jarakkan kenderaan korang pada kedudukan yang selamat.
Serpihan Tayar Treler
Bukan itu sahaja, serpihan tayar yang tertanggal juga adalah cukup merbahaya. Biasanya serpihan ini berpunca dari penggunaan tayar celup yang sudah lama. Ia merupakan satu alternatif untuk menjimatkan kos pembelian tayar baharu tetapi sama seperti tayar baharu ia mempunyai had kegunaannya tersendiri. Sampai masanya ia perlu diganti baharu.
Perhatikan Kesan Gelincir Tayar
Jika korang kurang yakin dengan bahaya yang dibawa oleh kenderaan-kenderaan berat, cuba perhatikan kesan gelinciran tayar di atas jalan raya.
Kalau di Lebuhraya Karak, kesan tayar ini bukan hanya ada di permukaan jalan tetapi juga terdapat pada bahagian benteng pembahagi jalan. Maknanya pernah ada kenderaan berat lain yang telah memanjat dinding penahan mengalahkan Spiderman. Tanda-tanda ini juga berfungsi sebagai amaran yang ada nahas pernah berlaku di situ dan sewajarnya diambil perhatian oleh pemandu lain.
Apapun takziah kami ucapkan buat keluarga mangsa kemalangan ini dan Al-fatihah ( dengan bacaan ) untuk semua yang terkorban.
So hati-hati guys, moga korang boleh memandu dengan lebih cermat di masa hadapan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber : Info grafik : JPJ