Kemunculan pelakon jelita, Nelydia Senrose di majlis ijab kabul adiknya, Raysha Rizrose kepada Nabil Jeffri semalam telah mencuri tumpuan ramai dek imej berbaju kurung.
Sedari siang hari, pelakon filem Jebat itu sudahpun memuat naik beberapa hantaran bagi berkongsi momen-momen persediaan dia bersama adik-beradiknya termasuklah Uqasha bagi majlis Raysha dan Nabil itu.
Perasaan gembira, bangga dan sedih saling bercampur-baur memandangkan Raysha merupakan adik yang mereka sayangi dan pimpin menyertai industri seni menerusi pencarian Dewi Remaja 2014/2015.
Pada sebelah malamnya pula, Nelydia tampil dengan persalinan elegan yang cukup bersesuaian dengan imejnya yang kini berhijab.
ARTIKEL BERKAITAN: Dewi Remaja 2014/2015, Raysha Rizrose Bergelar Isteri Nabil Jefri Dengan Sekali Lafaz – REMAJA
Memilih busana baju kurung kuning cair hasil rekaan Zaimi Zulkafli (yang juga bertanggungjawab menyiapkan persalinan pertunangan Raysha pada 22 Disember lalu), Nelydia disamakan sebilangan warganet dengan gaya wanita daripada kerabat diraja Melayu.
Daripada penggayaan hijab jenis bawal hinggalah ke hujung sepatu jenama Monolo Blahnik yang disarungkan olehnya, kejelitaan Nelydia memang tidak dapat disangkal.
Catat Zaimi Zulkafli dalam satu perkongsian di Instagram, beliau meraih inspirasi untuk baju kurung moden ini sewaktu bercuti di Gili Trawangan yang merupakan sebahagian daripada kepulauan ‘triplet’ Gili di Barat Laut Lombok, Indonesia.
Ia diilhamkan daripada rona langit senja ciptaan Ilahi yang molek disusun dengan lapisan awan keperangan.
“Kurung Terawangan ini Zaimi Zulkafli menerapkan lapisan atau layering pada pemakai untuk kelihatan sopan dan evergreen.
“Nama Nelydia Senrose juga disemat dalam penghasilan cetakan kain sutera ini.
“Benda indah selalunya berharga tetapi kita lupa keindahan yang Allah beri lebih daripada nikmatnya,” ulas pereka fesyen tersebut.
Rata-rata mengagumi hasil tangan jenama Zaimi Zulkafli ini termasuklah Raysha sendiri selaku pengantin perempuan.
“Satu lagi ciptaan hebat daripada kamu. Power lah Zaimi,” katanya.
Sesiapa yang ingin kelihatan ‘royal’ ibarat Nelydia Senrose, bolehlah mula kumpul bajet untuk mendapatkan sentuhan Zaimi Zulkafli, hehe..
BACA LAGI: Cantik Bagaikan Bidadari, Rupanya Hanya Sebulan Siapkan Baju Nikah Raysha Rizrose… – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.