Emas & Rekod Dunia! Hadiah Terindah Ziyad Zolkefli Sempena Hari Merdeka

Share

 

Stadium Olimpik kembali menjadi saksi kehebatan atlet paralimpik Malaysia.

Pingat emas yang pernah diperolehi atlet olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Rio lima tahun lalu menerusi acara lontar peluru F20 telah berjaya dipertahankan di Tokyo 2020 sebentar tadi menerusi lontaran sejauh 17.94 meter.

Ini sekaligus menjadikan Ziyad sebagai wakil Malaysia pertama dalam sejarah yang berjaya mempertahankan pingat emas di Sukan Paralimpik selama dua kali berturut-turut.

Tambah manis lagi apabila Ziyad turut mencatatkan rekod dunia baharu sekaligus memecahkan rekod kebangsaan yang pernah dilakukan oleh Adi Alifuddin Hussin di Palembang, Indonesia pada tahun 2011.

Ziyad meninggalkan dua orang pesaing terdekatnya dari Ukraine dengan agak jauh. Pingat perak dimenangi Maksym Koval dengan lontaran 17.34 meter manakala Oleksandr Yarovyi berpuas hati dengan pingat gangsa setelah melakukan lontaran 17.30 meter.

Ini juga merupakan pingat emas kedua dan pingat ketiga Malaysia di Sukan Paralimpik  Tokyo 2020. Emas pertama telah disumbangkan oleh atlet powerlifting, Bonnie Bonyun Gustin, manakala sebutir pingat perak juga hadir dari arena powerlifting semalam menerusi Jong Yee Khie.

ARTIKEL BERKAITAN : Skuad Powerlifting Mantap! Ini Jurulatih Di Sebalik Kejayaan Atlet Malaysia Di Paralimpik – REMAJA

Tentunya, rakyat Malaysia sedang meraikan kecemerlangan Ziyad ini yang dianggap sebagai hadiah terindah buat negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 pada hari ini. Tahniah Ziyad Zolkefli!

Published by
FZ