Masalah hilang pekerjaan seakan sudah menjadi satu kebiasaan semasa keadaan ekonomi yang tidak stabil sekarang.
Dengan penularan Covid-19, banyak syarikat tempatan termasuklah syarikat gergasi terpaksa menukar strategi perniagaan masing-masing hingga menyebabkan ramai pekerja yang kehilangan punca pendapatan setelah dibuang.
Antara yang teruk terjejas adalah kakitangan kru kabin syarikat penerbangan tempatan yang rata-rata terpaksa akur dengan keputusan syarikat untuk mengecilkan skala.
Tiada istilah malu untuk mencari rezeki baharu demi kelangsungan hidup.
Jika dulu kacak dan jelita menjalankan tugas di atas awan biru. Kini fokus mereka hanyalah untuk memajukan perniagaan sendiri setelah ramai yang tidak tahan menganggur.
Salah seorang daripada yang terkesan adalah pramugara yang dikenali sebagai Fahmi. Baru-baru ini, dia berkongsi di laman Twitter mengenai dirinya setelah diberhentikan kerja setelah enam tahun menabur jasa.
Menerusi posting tersebut, dia menerima keputusan pemberhentian dengan hati yang terbuka dan menganggap ia adalah masa untuk merehatkan diri daripada dunia penerbangan. Enam tahun berkhidmat sebagai kru kabin senior bukanlah satu tempoh masa yang sekejap
Tidak berputus asa, pemuda berkenaan mengambil inisiatif membuka perniagaan sendiri.
Dia yang mempunyai lulusan ijazah dalam bidang Fisioterapi daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) mula menceburkan diri secara serius dalam bidang kesihatan dan spa perawatan wajah khas untuk lelaki.
“Rancang nak buat secara sambilan sementara tunggu COVID-19 habis dan industri kembali pulih, sekali kena buang dah. Jadi terpaksa buat sepenuh masa.
“Jangan risau, saya ada ijazah Fisioterapi dari UiTM dan latihan dua bulan untuk perawatan spa wajah,” katanya.
Berikutan itu, warganet memberikan kata-kata semangat buat Fahmi untuk terus melangkah ke hadapan walaupun berdepan dugaan.
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.
Beginilah semangat anak muda yang diharapkan terus berusaha memajukan diri walaupunberdepan dengan keadaan ekonomi yang gawat ketika ini.
Cari kelebihan yang ada pada diri sendiri dan jangan pernah bandingkan kemampuan korang dengan orang lain. Paling penting, rajin dan selalu berusaha. Betul tak?