Enggan Peminat Terus Berteka-Teki, Hyun Bin & Son Ye Jin Umum Akan Berkahwin Mac Ini

Share

 

Hubungan intim di antara Hyun Bin dan Son Ye Jin yang terkenal sebagai peneraju utama drama popular Korea Selatan, Crash Landing On You bukanlah satu perkara asing dalam kalangan peminat mereka berdua. Percintaan pasangan selebriti moden ini amat diikuti rapat oleh industri hiburan di Korea sehinggakan banyak khabar angin berkaitan mereka yang disampaikan dari semasa ke semasa.

“Adakah mereka masih bersama?”

“Adakah mereka bakal berkahwin?”

Apa jua khabar angin yang pernah korang dengar mengenai Hyun Bin dan Son Ye Jin, korang tidak dapat menafikan betapa sepadannya pasangan ini apabila digandingkan bersama.

Selama mereka bersama, banyak momen-momen manis yang menyaksikan mereka menikmati masa temu janji romantik serta bercuti bersama yang berjaya dihidu oleh media di sana.

Terbaru pada hari Rabu, Son Ye Jin; 40 telah meleraikan segala ura-ura yang bertebaran menerusi akaun rasmi Instagram beliau dengan mengumumkan perkhabaran mengernai perancangan perkahwinan mereka berdua pada bulan Mac 2022!

Beliau telah memuat naik sekeping foto berupa gaun putih ‘miniature’ diikuti dengan kapsyen panjang lebar untuk memberitahu berita gembira itu kepada peminatnya.

“Sebelum menulis surat ini, saya agak bimbang mengenai cara untuk meluahkan perasaan saya. Saya ingin menceritakan kisah yang indah-indah kerana ia amat berharga dan penting untuk saya.

“Saya telah menemui seseorang untuk bersama-sama menghabiskan sisa hidup saya. Ya, benar tekaan anda. Dia seorang yang mesra dan saya berasa tenang hanya dengan keberadaannya.

“Saya tidak pernah menjangkakan seorang lelaki dan perempuan boleh bertemu, berkongsi perasaan dan membina masa depan bersama.. Kami berdua tiba ke saat ini secara semulajadi.”

“Terima kasih kepada semua pihak yang menjadikan perhubungan kami sebagai takdir kami. Kamu semua, berkatilah masa hadapan yang akan kami cipta bersama. Dan kepada para peminat yang sentiasa menyokong saya, saya tidak mampu untuk membalas kasih sayang yang telah anda tunjukkan kepada saya. Saya hanya mampu unuk bersyukur.

“Saya ingin menjadi seorang pelakon dan insan yang lebih matang. Namun ia tidak semudah yang saya sangkakan. Satu hari nanti, saya berharap akan berjaya mencapai impian tersebut.

“Jujurnya, saya berharap agar anda gembira pada setiap hari,” catatnya.

*

Hyun Bin turut tidak terkecuali untuk memuat naik kenyataannya; juga menerusi akaun Instagram beliau. Dengan menggunakan foto yang menunjukkan pasangan itu berpegangan tangan, ia berbunyi, “Hello, ini ialah Hyun Bin. Adakah anda semua sihat?”

“Saya menulis demi berkongsi keputusan yang paling penting pernah saya lakukan dalam hidup saya; pertamanya, buat para peminat yang sentiasa mengambil berat walaupun syaa mempunyai banyak kekurangan. Saya pasti sebahagian daripada kamu sudah dapat mengagak (mesej) saya bukan?

“Ya, saya bakal berkahwin dan perlahan-lahan melangkah ke fasa kedua dalam hidup saya. Saya telah membuat keputusan ini dengan insan yang selalu membuatkan saya tersenyum. 

“Saya berharap kamu akan menyokong keputusan kami ini dengan rasa gembira dan penuh kasih sayang. Saya juga berharap kamu semua sihat dan gembira hinggalah satu hari nanti kita dapat bertemu dan bertanya khabar,” catatnya.

Dalam pada itu, agensi yang mewakili pasangan itu berkata bahawa majlis perkahwinan mereka bakal dilangsungkan secara tertutup di Seoul pada bulan Mac dan ia hanya akan dihadiri oleh ibu bapa Son Ye Jin dan Hyun Bin serta kenalan rapat mereka.

Terdahulu, REMAJA pernah melaporkan mengenai perhubungan Hyun Bin dan Son Ye Jin telah diumumkan secara rasmi pada 1 Januari 2021.

ARTIKEL BERKAITAN : Pelakon ‘Crash Landing On You’ Sah Bercinta! Ini 3 Lagi Couple Luar Set – REMAJA

Sejak itu, pasangan itu lebih terbuka untuk menunjukkan bahawa mereka sememangnya adalah pasangan sejati.

Published by
FZ