Drama Korea It’s Okay To Not Be Okay telah pun melabuhkan tirainya malam semalam.
Ditayangkan sejak 20 Jun 2020, drama 16 episod ini hangat diperkatakan di media sosial sebelum ini kerana mesej yang dibawa menyentuh kehidupan harian masyarakat yang mempunyai masalah jiwa dan pendekatan tentang penyakit autism yang jarang ditayangkan dalam drama Korea.
BACA: K-Drama It’s Okay To Not Be Okay Sentuh Elemen Kesihatan Mental, Ajar Penonton Teknik Butterfly Hug
Mengisahkan tentang kisah cinta antara Moon Kang Tae (Kim Soo Hyun) sebagai petugas kesihatan di wad psikiatri yang tidak mempunyai waktu untuk cinta, sementara Ko Moon Young (Seo Ye Ji), seorang penulis buku anak-anak yang berjaya meski pun menderita gangguan keperibadian antisosial dan tidak mengenal cinta.
Pada 8 Ogos lalu, drama romantik ini mencapai rating penonton tertinggi sehingga kini dan menurut Nielsen Korea, siaran drama tersebut mendapat penilaian purata sebanyak 6.5 peratus dan kemuncak sebanyak 7 peratus sekali gus menduduki tangga pertama dalam slot waktunya di semua saluran kabel.
Ini merupakan kali pertama drama It’s Okay to Not Be Okay berjaya melepasi angka 6 peratus sejak ditayangkan pada Jun lalu.
Lebih menarik lagi, drama ini merupakan kemunculan pertama Kim Soo Hyun memegang watak utama selepas dia menamatkan latihan ketenteraan. Walaupun sempat tampil sebagai cameo di Hotel del Luna dan Crash Landing On You, kami percaya penonton juga masih teruja untuk melihat aksinya memegang watak utama dalam drama bersiri ini.
Lantaran daripada itu, episod akhir It’s Okay To Not Be Okay ini menjadi trending di Twitter dan ramai yang berpuas hati dengan happy ending drama ini.
Banyak mesej yang dibawa sepanjang 16 episod dan sudah tentu drama ini bukanlah ‘biasa-biasa’ kerana ia memaparkan nilai-nilai murni kepada semua lapisan masyarakat.
Sumber: Soompi, Twitter